Setiap orang mempunyai kondisi kulit yang berbeza dan atas alasan itu, wujud pelbagai jenis produk dan kaedah penjagaan diri.

Sama ada kaedah organik mahupun moden, kepercayaan individu terhadap penjagaan kecantikan juga bergantung kepada keberkesanannya selepas ia digunakan.

Konsep penjagaan diri berteraskan alam semula jadi menjadi intipati dalam perkongsian pengasas produk Fresh, Lev Glazman yang berkongsi rahsia rejim kecantikan yang telah diamalkannya sejak kecil.

Menurut Glazman, sejak kecil dia sering melihat cara ibunya melakukan penjagaan kulit dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi yang ada di dapur. Sejak itu, dia juga sering mengikut dengan menggunakan apa sahaja bahan yang terdapat dalam simpanan rumahnya.

“Setiap kali ke dapur, saya akan melihat ke dalam peti sejuk dan meneliti bahan yang boleh saya gunakan untuk penjagaan kulit. Sama ada timun atau buah-buahan semuanya telah saya cuba tempelkan ke muka.

Inspirasi

“Tetapi bahan yang paling dekat dengan ibu dan saya dalam penjagaan kecantikan adalah gula perang mentah. Ibu selalu menggunakannya untuk menyembuhkan luka dan calar pada badan saya. Itu menjadi inspirasi buat saya dalam penghasilan produk kami,” katanya semasa berucap pada pelancaran kedai konsep Fresh Beauty Shop di Suria KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, jenama Fresh adalah inspirasi zaman lampau yang menggabungkan ritual kecantikan tradisional dengan sains moden untuk menghasilkan rangkaian rejim kecantikan untuk semua jenis kulit dan ia menjadi sebahagian daripada formula perkongsian penjagaan diri sejak tahun 1991.

Fresh merupakan rangkaian produk kecantikan diri yang terdiri daripada produk penjagaan wajah, badan, rambut, wangian, kosmetik dan lilin.

Ia menggunakan bahan organik yang baharu seperti gula, soya, teh kombucha, pokok teratai, ros dan sake selain menjadi yang pertama mendorong penggunaan bahan-bahan semula jadi pada konsentrasi tinggi seperti 50 peratus tanah liat umbrian dan sitrus.

Keselamatan

Fresh bermula dengan sebuah kedai kecil yang berkembang kepada jenama antarabangsa dengan mengekalkan identiti rejim kecantikan tradisional dalam konsep moden.

Penghasilan Fresh juga menitikberatkan keselamatan dan keberkesanan sebagai keutamaan. Glazman melarang lebih 5,000 bahan sebagai kandungan dalam produknya selain mematuhi peraturan keselamatan yang ketat.

Bagi menghasilkan produk terbaik, pihaknya juga mengambil masa sehingga enam tahun untuk dikembangkan.

Baru-baru ini Fresh mengetengahkan pengalaman membeli-belah yang unik dengan memperkenalkan kedai konsep Fresh Beauty Kitchen.

Dibuka di ruang legar tengah pusat beli-belah Suria KLCC pada 21 hingga 30 Jun lalu, Fresh Beauty Kitchen meraikan bahan-bahan semula jadi yang poten dalam suasana interaktif seperti bistro direka memberikan pengalaman unik.

Menurut Pengurus Besar Jenama Wilayah, Winnie Tay, tetamu dijemput untuk memulakan perjalanan yang membawa mereka melalui perjalanan ke pelbagai bahagian bermula parti taman ros dan sensorial bar hingga kitchen table serta kombucha cafe.

“Setiap stesen menonjolkan produk penjagaan kulit ikonik Fresh dan bahan-bahan yang memberi inspirasi kepadanya.

“Kami sangat teruja untuk membawa pengalaman baharu kepada tetamu dengan cara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini,” ujarnya.