Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, jenama yang terkenal dengan skirt berlisu, Larney dan label rekaan bergaya, Locka buat julung-julung kalinya bekerjasama untuk mempersembahkan koleksi Urban Raya 2019 with Larney & Locka.

Larney merupakan jenama fesyen yang diusahakan oleh Zura Zaibidi, 38, sejak lima tahun lalu. Larney dikenali dengan elemen signatur iaitu lisu, lelilit, tutu, draping dan bow yang membawa elemen elegan dalam sentuhan moden.

Locka pula adalah hasil usaha seorang anak muda Shukri Shari, 30, sejak tahun 2015 dan menekankan keaslian, keselesaan serta bersifat tersendiri sebagai faktor utama dalam rekaannya.

Sempena lebaran ini, mereka bersatu hati melahirkan koleksi Urban Raya 2019 with Larney & Locka khusus buat wanita muda yang mementingkan gaya dalam setiap penampilan.

Menurut Zura, selama tiga bulan mereka memerah idea untuk menjadikan gandingan Larney dan Locka menjadi realiti.

“Kami pergi mencari fabrik bersama-sama, melakar rekaan pun sama-sama, malah bila tiba masa untuk menjahit baju pun, kami lakukan bersama-sama.

“Menerusi gandingan ini, kami mahu lahirkan item fesyen yang menjadi pilihan ramai selain boleh didapati dalam satu koleksi,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

50 rekaan

Tambahnya, kolaborasi sulung Larney dan Locka bertemakan Urban Raya itu menampilkan 50 rekaan pelbagai gaya yang menggabungkan dua sentimen fesyen kedua-dua jenama secara keseluruhan.

Sementara itu, Shukri menambah, koleksi kolaborasi ini juga bermain dengan potongan klasik bernafas moden, himpunan warna yang sinonim dengan lebaran dan pilihan fabrik indah seperti renda, batik, songket dan juga corak yang mampu menjadikan si pemakai sebagai tumpuan sewaktu raya nanti.

“Koleksi Urban Raya 2019 with Larney & Locka menjanjikan sesuatu yang unik dan pastinya bergaya. Kami menitikberatkan tentang pemilihan fabrik yang sesuai dan mempunyai faktor tarikan dalam sesuatu rekaan itu.

“Siluet yang diketengahkan juga lebih kepada menghargai bentuk badan wanita selain kemasan dan perincian yang teliti bagi setiap rekaan juga diambil kira dalam koleksi ini,” jelasnya.

Bercerita mengenai tema Urban Raya bagi koleksi ini, ia memaparkan suasana Aidilfitri di kota dengan himpunan helaian yang glamor dan elegan yang pastinya diminati wanita urban yang bekerjaya.

Koleksi itu boleh didapati di laman web Larney dan Locka, kedai pop-up raya di KLCC dan 1 Utama dan butik Locka di 1 Utama, Petaling Jaya.