q

Persoalan seperti warna, corak, tema atau potongan lazimnya sudah bermain-main di fikiran kebanyakan individu yang memilih untuk membuat persiapan awal sama ada sebelum atau pada awal Ramadan.

Lantaran itu, Koleksi Ariani Floraya 2019 daripada jenama tempatan terkemuka, Ariani hadir dengan 70 rekaan busana sedia dipakai meliputi kurung moden polos, kurung cetakan moden dan jubah menerusi Floraya by Ariani Ready To Wear (RTW).

Pengarah Pemasaran Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Datin Farah Haryani Muhammad Philip berkata, kali ini pihaknya mengetengahkan variasi fabrik dan material untuk memberi keselesaan kepada si pemakai.

“Menerusi koleksi ini, kesemua rekaan mengangkat nuansa warna-warna pastel dan terang yang menyerlahkan sisi anggun serta keindahan sifat kewanitaan peminat Ariani.

“Paling penting, tidak sekadar cantik dipandang malah ia juga praktikal digayakan,” ujarnya ketika ditemui Stailo selepas majlis peragaan fesyen yang dihadiri kira-kira 800 tetamu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Atas permintaan pelanggannya, koleksi tersebut boleh didapati dalam saiz plus sehingga 5XL supaya ia dapat digayakan semua wanita sekali gus tidak terhad buat mereka yang bertubuh langsing sahaja.

Mencapai usia 11 tahun musim ini, Ariani turut menampilkan 100 pilihan hijab meliputi segmen selendang dan tudung empat segi serta tudung segera yang mengandungi elemen unsur alam, bunga-bungaan dan abstrak. Kesemuanya dijual pada harga bermula RM69.

“Dalam tempoh ini, Ariani sentiasa menumpukan perhatian terhadap penyelidikan fabrik di samping penstrukturan jalinan material untuk menghasilkan yang terbaik buat pengguna.

Ikon baharu

“Lebih menarik, formulasi tudung segera kali ini didatangkan dengan sentuhan eksklusif kristal Swarovski dan perincian renda bermutu tinggi,” ujar Farah Haryani.

Selain itu katanya, terdapat juga koleksi Ariani Luxe yang merupakan rangkaian hijab premium hasil tangan pereka berpengalaman dengan sentuhan artisan mahir dalam menghasilkan bentuk pola yang juga memiliki perincian Swarovski dan renda.

Bagi koleksi ini, Ariani sekali lagi menjalin kerjasama dengan Ayda Jebat, Mira Filzah dan Bella Dally di samping menampilkan ikon baharu iaitu pengarah serta penerbit, Sheila Rusly.

“Ini merupakan kolaborasi pertama saya bersama Ariani dan sejujurnya saya berasa berbesar hati dan berbangga menerima tawaran ini.

“Saya juga berharap pemilihan saya dapat memotivasikan wanita di luar sana kerana jika saya boleh kelihatan anggun dengan Ariani, anda juga boleh,” kata Sheila.

Dalam pada itu, Floraya by Ariani RTW turut memperkenalkan 14 rekaan kanak-kanak berusia satu hingga 12 tahun yang membolehkan para ibu bergaya sedondon dengan si cilik pada hari lebaran. Ia dijual pada harga bermula RM119.