Sejak membuka akaun Instagram pada tahun 2014, anak ketiga daripada empat beradik itu sentiasa mengemaskini info-info fesyen terkini. Gayanya sering menjadi ikutan anak muda.

Oleh itu, tidak hairanlah instagram miliknya diikuti oleh 42,400 orang dan menjadi salah seorang individu berpengaruh (influencer) di laman sosial.

Jejaka berketinggian 175 sentimeter itu turut tidak ketinggalan mengikut acara-acara fesyen yang diadakan sekitar ibu negara.

Kehadirannya di acara tersebut dengan identiti tersendiri turut mendapat perhatian daripada pereka dan jenama-jenama fesyen tempatan.

Justeru, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Mara, Melaka itu diberi peluang untuk menjadi model bagi jenama-jenama terkemuka tempatan seperti Haziq Affandi, Nerdunit, Zefikscollection, Kitnac dan Halim Asmuni.

Kini, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu juga aktif menjalankan perniagaan kecantikan bersama kakaknya sejak lapan bulan yang lalu bagi produk Shampoobyir.

Ikuti temubual Kosmo! bersama Muhamad Ismail yang akan mengupas mengenai gaya dan fesyen.

KOSMO!: Apakah gaya yang paling anda gemari?

MUHAMAD ISMAIL: Dahulu saya menggemari pakaian formal kerana ia kelihatan sangat kemas. Kini, saya lebih menyukai gaya fesyen jalanan kerana sangat selesa dan lebih santai sesuai dengan jiwa anak muda.

Saya juga suka memadankan baju dan seluar agar ia kelihatan lebih ranggi dan segar.

Apakah penampilan yang paling anda titikberatkan?

Saya sangat mementingkan penjagaan kulit wajah dan ia hendaklah berada dalam keadaan bersih, sihat dan segar. Selain itu, rambut juga memainkan peranan penting dalam menyerlah gaya saya yang sukakan fesyen jalanan.

Apakah warna kesukaan anda?

Saya menggemari warna coklat, hitam, putih dan biru. Kebanyakan baju saya terdiri daripada rona-rona ini kerana ia sesuai dengan kulit serta personaliti saya yang ceria.

Apakah aksesori yang paling digemari?

Beg silang. Saya boleh masukkan banyak item di dalamnya malah ia senang dibawa ke mana sahaja. Kedua, saya suka jam tangan.

Siapakah idola anda dalam berfesyen?

Saya meminati gaya Harry Edward Styles yang merupakan penyanyi kumpulan One Direction, penulis lirik dan pelakon. Dia suka menampilkan gaya maskulin dan ranggi.

Seorang lagi idola saya ialah Vieuhara iaitu instafamous dari Brazil. Saya suka mengikuti gaya fesyen jalanannya malah dia juga mempunyai jenama sendiri.

Pendapat anda tentang fesyen anak muda pada masa kini?

Anak-anak muda dilihat lebih gemar dengan gaya santai, selesa dan bebas.

Mereka juga bijak menggayakan fesyen mengikut cita rasa masing-masing malah mempunyai imej tersendiri yang lain daripada kebiasaan.

Apakah perancangan anda pada masa akan datang?

Saya ingin berjaya dalam bidang perniagaan dan mempunyai jenama fesyen sendiri.