Debut koleksi Mc Vogue X Elfira Loy menampilkan empat rekaan berkonsepkan pakaian moden untuk golongan wanita dengan cita rasa berteraskan nuansa, sopan, anggun dan kekal bergaya yang diilhamkan sendiri oleh Elfira.

Menurut Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, kerjasama ini melambangkan sentuhan feminin dan elegan yang sentiasa menjadi pilihannya dalam berfesyen.

“Koleksi ini adalah hasil cetusan ilham saya dan kreativiti pereka pakaian Mc Vogue. Ia adalah gaya minimalis dengan sentuhan elegan bagi menyerlahkan gaya dan karakter wanita dalam berfesyen khususnya buat sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Bertemakan Fairy Forest, koleksi ini menggunakan bahan rona lembut, sejuk, berbulu, manik dan berkilauan dalam menterjemahkan gambaran kisah dongeng yang mengikat kesemua empat rekaan,” katanya ketika ditemui Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Harga

Tambahnya, dengan harga yang mampu milik, koleksi kolaborasi pertama ini juga ditampilkan dengan pelbagai saiz yang bakal memenuhi keperluan semua wanita.

Sementara itu, Elfira yang merupakan penggemar fesyen dan koleksi jenama Mc Vogue menambah, koleksi itu turut menampilkan siluet yang menghargai bentuk badan wanita selain kemasan yang dilakukan pada setiap rekaan tidak keterlaluan.

“Mc Vogue mempunyai deretan rekaan pakaian yang tersendiri namun dalam kolaborasi ini, kami inginkan satu koleksi yang mempunyai aliran yang sama antara saya dan mereka. Keempat-empat rekaan ini merupakan koleksi yang dekat dengan ideologi saya dalam berfesyen.

“Saya optimis dan yakin bahawa koleksi ini akan diterima baik oleh orang ramai. Ia tidak terlalu kompleks atau berlebihan dan menjadikan ia malar segar serta kekal relevan pada bila-bila masa,” ujarnya.

Setiap koleksi dijual pada harga RM299 sepasang dan boleh didapati di semua 20 cawangan Mc Vogue seluruh negara.