BIJAN merupakan pereka kelahiran Tehran, Iran.
BIJAN merupakan pereka kelahiran Tehran, Iran.

Ia merupakan sebuah jenama fesyen mewah yang diasaskan oleh pereka kelahiran Iran, Bijan Pakzad pada tahun 1976.

Begitu pun, jenama fesyen Bijan juga tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat kelas marhaen.

Jenama tersebut menjadi sebutan orang ramai khususnya rakyat Malaysia selepas beg tangan mewah itu menjadi antara barang yang dirampas di kediaman dikaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Sebut sahaja namanya mungkin kedengaran agak lucu, tetapi ketahuilah, butik Bijan iaitu House of Bijan yang terletak di Beverly Hills, California, Amerika Syarikat (as) merupakan kedai paling mahal di dunia.

Malah, slogan Bijan juga mahu jenama itu dikenali sebagai jenama pakaian lelaki termahal di dunia.

Manakan tidak, pelanggan perlu berbelanja sehingga AS$2,500 (RM10,109) semata-mata untuk pakaian tidur sutera, AS$1,500 (RM6,065) untuk minyak wangi, AS$19,000 (RM76,831) untuk jaket burung unta dan AS$55,000 (RM222,406) bagi bagasi kulit buaya.

Tidak cukup dengan itu, bagi sepasang stoking pula boleh didapati pada harga anggaran bermula AS$100 (RM403).

Faktor utama yang menjadikan Bijan berbeza daripada jenama fesyen terkemuka dunia lain adalah dari segi perkhidmatan yang ditawarkan.

“Saya ibarat doktor bagi golongan berprofil tinggi.

“Saya tahu usia pelanggan, nilai, berat, status, isteri, teman wanita, termasuk perkara kegemaran menerusi personaliti yang ditampilkan ketika berkunjung ke butik kami,” katanya kepada The Washington Post pada 1983.

Teliti

Bijan lahir pada 4 April 1940 di Tehran, Iran. Bapanya merupakan seorang usahawan perniagaan besi.

Dibesarkan dalam keluarga kaya, bapanya cukup teliti termasuk menghantarnya ke sekolah berprestij dunia.

Pada mulanya Bijan bersekolah di Switzerland dan kemudian berpindah ke Florence, Itali bagi mendalami selok-belok jahitan pakaian lelaki di sana selama tujuh tahun.

Sejak kecil lagi, dia merupakan seorang kanak-kanak yang cerewet dalam perihal pemakaian.

Berbekalkan suntikan modal sebanyak AS$1 juta (RM4.04 juta) daripada bapanya, Bijan kemudian membuka sebuah butik pakaian wanita di Tehran iaitu Pink Panther.

Pada tahun 1973, Bijan berhijrah ke Los Angeles, AS sebelum menyimpan hasrat untuk membuka butik pakaian lelaki.

“Inspirasi untuk membuka butik pakaian lelaki mula tercetus setelah melihat beberapa gambar golongan lelaki berprofil tinggi sambil mengenakan persalinan pakaian yang mengarut.

“Ketika itu saya rasa terpanggil untuk memperkenalkan kepada dunia mengenai sentimen fesyen sebenar untuk golongan elit,” katanya dalam satu wawancara bersama Los Angeles Times pada 2003.

Cara tersendiri

Menariknya, Bijan memiliki cara tersendiri untuk menarik perhatian khalayak menerusi kempen pengiklanan mencuit hati.

Golongan rabai dan rahib pernah muncul dalam kempen wangiannya bagi mempromosikan haruman bak syurga itu.

Malah, Bijan turut bersama-sama atlet bola keranjang Michael Jordan menghiasi kempen haruman jenamanya sambil melakukan aksi imbangan bola.

Bijan dikenali dengan pelbagai produk haruman mewah, sut, pakaian lelaki, tali leher termasuk beg tangan dan bagasi eksklusif.

Selain menghasilkan rekaan produk fesyen mewah, Bijan turut mereka pistol revolver emas dengan perincian istimewa pada penghujung 1980.

Pemegangnya dibaluti kulit manakala silinder pula bertatahkan emas 56 gram.

Pistol tersebut disimpan di dalam beg pau sebelum dimasukkan ke dalam bekas kristal yang diukir dengan nama pelanggan.

Malah, tanda tangan Bijan dalam ukiran emas juga boleh dilihat pada laras pistol.

Selain itu, Bijan turut berkolaborasi bersama jenama automotif Rolls Royce dengan mengeluarkan kereta konsep siri edisi terhad yang hanya dikeluarkan dalam 30 unit di seluruh dunia.

Ia dihiasi permata putih 611, hiasan dalaman daripada kulit buaya, tanda tangan pelanggan pada bahagian papan pemuka dan juga corak bonet istimewa.

Selama empat dekad jenama itu diperkenalkan, Bijan memiliki prinsip tersendiri bagi memperlihatkan relevan jenamanya.

“Jenama Bijan ini hanya untuk pelanggan yang tidak risau mengenai inflasi.

“Bagaimanapun, kunci utama bagi memastikan personaliti anda tampak cukup kaya dan meyakinkan ialah anda perlu dilamun cinta,” katanya yang hanya menerima pelanggan berdasarkan janji temu.

Rekaan pakaian Bijan sememangnya menjadi pilihan figura berkuasa dunia termasuk kerabat diraja, presiden dunia, taikun usahawan, tokoh politik dan juga selebriti.

Antara nama-nama pelanggan Bijan ialah Ronald Reagan, George H. W., George W. Bush, Bill Clinton, Barack Obama, Tony Blair, Oscar de la Renta, Tom Ford, Giorgio Armani, Al Pacino, Tom Cruise dan Anthony Hopkins.

Bijan meninggal dunia pada usia 71 tahun bersamaan 16 April 2011 akibat serangan strok.

Nicolas
NICOLAS

Sejak itu, anak lelakinya, Nicolas Bijan mengambil alih perusahaan jenama tersebut sambil membawa hala tuju imej baharu.

Nicolas kini memberi penekanan kepada cita rasa golongan elit yang lebih muda dan pada masa sama menekankan gaya mengikut trend.

Sejak Nicolas mengambil alih Bijan, keuntungan jenama itu dilihat meningkat sebanyak dua kali ganda sehingga dianggarkan mencecah AS$30 juta (RM120 juta) pada tahun 2016.

“Bapa saya mampu membina legasi yang lebih lama utuh usia daripada dirinya sendiri.

“Kini, menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan legasi ini bagi memastikan ia terus relevan sepanjang zaman,” katanya.

Nicolas turut dibantu oleh rakan niaga bapanya, Dar Mahboubi, 69, sambil menyasarkan untuk mengembangkan butik tersebut ke peringkat global menjelang lima tahun lagi.

Antara lokasi tersebut ialah Hong Kong, Dubai, London, New York dan Las Vegas.

Nicolas sedar bahawa kunci kepada kegemilangan jenama Bijan tersimpan pada setiap tunjuk ajar yang diberikan sepanjang hayat bapanya dalam bidang perniagaan.

“Dia memiliki personaliti yang cukup hebat, membuatkan saya memerlukan ruang cukup besar untuk diisi.

“Saya mengambil kesempatan untuk menerajui legasi ini bukan sahaja menerusi karier yang dibina olehnya tetapi daripada individu yang telah berkecimpung sejak awal perusahaan ini.

“Bekerja sebagai sebuah pasukan mampu membuatkan kami terus berkembang, sekali gus menyebarkan prinsip yang didukung selama ini,” jelasnya.