Begitu juga dengan gadis kelahiran Ampang, Kuala Lumpur, Nur Azimah Abdul Halim, 27, yang teruja untuk mencari persalinan baju kurung pada hari lebaran tahun lalu.

Namun, terdetik kerisauan dalam hatinya membeli baju yang dijual dalam skala besar di gedung atau kedai tertentu.

Hal ini kerana Nur Azimah tidak mahu beraya dengan menggayakan baju yang sama dengan individu lain.

Baginya ia sangat mengganggu dan oleh sebab itulah, Nur Azimah sanggup mencari pelbagai busana istimewa yang mampu mengelak konflik tersebut.

Pencariannya mula membuahkan hasil apabila Nur Azimah terjumpa sebuah jenama tempatan iaitu Mawarred menerusi media sosial Instagram.

“Pertama kali melihat rekaan busana Mawarred yang dipaparkan di Instagram, saya terus tertarik.

“Bagi saya, rekaannya begitu unik ditambah pula dengan perincian yang sofistikated.

“Selang beberapa hari, saya nekad berkunjung ke butik fizikalnya di Plaza Azalea, Shah Alam, Selangor untuk melihat dan merasai sendiri materialnya dari jarak dekat,” kongsi anak bongsu dari empat beradik itu.

Jelasnya, sempena Aidilfitri ini, dia sekali lagi kembali kepada Mawarred untuk mendapatkan busana yang disifatkan sebagai istimewa itu. 

Mawarred mula diperkenalkan ke persada fesyen tanah air sekitar dua tahun lalu.

Koleksi pertama jenama itu yang dilancarkan pada tahun lalu mengetengahkan busana daripada fabrik organza.

Bagi koleksi keduanya yang dilancarkan sempena Aidilfitri kali ini, Mawarred mempertaruhkan keunikan busana baju kurung moden dengan elemen sari dari India.

Pengasasnya, Siti Asha Sulaiman, 28, yang mesra disapa Asha berkata, idea untuk memperkenalkan fabrik sari pada busananya telah lama dipendam.

Segalanya bermula ketika Asha melihat ibunya menjahit sari suatu masa dahulu.

Aspirasi
Asha menyifatkan minatnya itu sudah pun mengalir dalam dirinya setelah sekian lama tanpa disedarinya.

“Zaman dahulu memang tiada busana seperti ini tapi ibu dapat menghasilkannya kerana kemahiran yang dimilikinya.

“Saya cuba mengolah idea tersebut dan akhirnya berjaya menghasilkan busana jauh lebih cantik berbanding sebelum ini.

“Saya jadikan ibu sebagai aspirasi jenama Mawarred dan menyambung legasinya menghasilkan baju kurung yang berasaskan material kain sari.

Tambahnya, kain yang diimport dari India itu mempunyai kelainan yang diperlukan untuk menyerlahkan lagi nilai istimewa busana Mawarred.

Jelas anak kedua daripada empat beradik itu, kelainan yang dimaksudkan itu jelas kelihatan pada deskripsi warna sari yang lebih terang dan menjolok mata.

ika trend busana di Malaysia cenderung ke arah warna-warna pastel, Asha berani mengambil risiko tersebut untuk tampil berbeza. 

Disebabkan itu, koleksi busana Mawarred hadir dalam variasi warna popular tradisi India seperti merah tua, ungu, biru, merah jambu, peach dan emas.

Koleksi kedua
Perusahaan Mawarred bermula dengan bermodalkan hampir RM100,000.

Katanya, dia mengumpul sendiri modal tersebut hasil daripada wang simpanan bekerja sebagai pramugari dan juga perniagaan berasaskan dropship selama hampir setahun.

Walaupun bermula dengan modal yang besar, Asha percaya ia demi memastikan kelangsungan perniagaannya selain boleh memperkenalkan pelbagai lagi rekaan baharu serta elemen tradisional dari India.

Koleksi kedua Mawarred membawakan sebanyak 14 rekaan busana kurung moden dengan cetusan elemen sari.

Setiap satunya dihasilkan dalam kuantiti terhad bagi mengekalkan nilai eksklusif dan menjaga kualiti busana.

Menariknya, nama busana koleksi Aidilfitri kali ini diambil sempena manisan tradisional dari India.

Antaranya seperti Maroon Malpua, Peach Chutney, Silk Ghewar, Sequin Paneer Burgundy dan Black Gold Panipuri.

Dari segi harga pula, koleksi Mawarred boleh didapati pada harga berpatutan serendah RM300 hingga RM500.

Kesemua busana tersebut mesra wuduk dan boleh disesuaikan dengan penggayaan yang pelbagai.

Versatiliti busana yang diperkenalkan Mawarred bukan sahaja boleh digayakan pada hari raya semata-mata malah ia boleh dipakai untuk ke majlis keraian serta ke pejabat.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, Asha ingin memperkenalkan koleksi pakaian kasual moden namun pada masa sama masih mengekalkan elemen kain sari.

Selain itu, Mawarred turut giat menjalankan penyelidikan berkaitan busana pengantin dan berkemungkinan akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Dari segi jaringan perniagaan Mawarred, Asha mahu jenama tersebut mampu bergandingan bersama gedung fesyen terkemuka online seperti Fashion Valet mahupun Zalora menjelang tahun depan.

“Saya percaya jenama Mawarred boleh pergi lebih jauh.

“Oleh itu, perancangan rapi perlu sentiasa dilakukan bagi memastikan jenama ini terus relevan dalam industri fesyen tanah air,” ujarnya.

Sementara itu, kongsi pelanggan setia Mawarred, Datin Suzana Ibrahim, jenama Mawarred mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

“Setiap busana yang diperkenalkan Mawarred sangat cantik dan elegan.

“Dari segi harga pula ia sangat berpatutan jadi saya boleh beli bermacam-macam rekaan daripada koleksi yang diperkenalkan.

“Ia sesuai dengan cita rasa saya malah material yang digunakan juga sangat bagus, sesuai untuk pergi digayakan pada majlis keraian tertentu,” jelasnya.