Pemegang Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Fesyen dari Kolej Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur itu baru-baru ini menampilkan 43 rekaan baharu menerusi koleksi Spring Summer 2019 di ibu kota baru-baru ini.

Tidak sekadar berbakat dalam menghasilkan rekaan yang unik dengan gaya tersendiri, pemuda itu turut tahu menjahit dan menyifatkan ia kemahiran yang harus dikuasai pereka fesyen.

Koleksi yang dinamakannya Raasleela by Bahadur Couture itu turut mengetengahkan busana yang menerapkan material dan fabrik identiti Malaysia seperti songket, batik dan kain les ala kebaya.

“Ia merupakan antara pencapaian manis saya dalam bidang rekaan fesyen di samping membuka peluang kerjasama dengan selebriti tersohor tanah air seperti Vanidah Imran, Diana Danielle, Raja Ilya, Jaclyn Victor dan Sangeeta Krishnasamy bagi menjayakan acara peragaan fesyen tersebut.

“Busana dres sari menjadi signatur rekaan saya kerana ia bersifat dwifungsi dan boleh disesuaikan untuk gaya tradisional atau moden mengikut tema sesuatu majlis.

“Dalam hal ini, ia mempunyai selendang yang jika dilepaskan boleh menjadi dres dan jika disingkap ia bertukar menjadi sari,” ujarnya kepada Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemuda berdarah kacukan India dan Nepal itu berkata, pemilihan nama Raasleela itu diilhamkan daripada kisah percintaan epik antara Radha dan Krishna.

Pendek kata, Raasleela by Bahadur meraikan rasa cinta dan kasih sayang yang penuh tulus, suci dan tidak bertepi.

“Bagi saya, himpunan busana yang ditampilkan berakar kepada tradisi dan budaya namun pada masa yang sama tidak meminggirkan elemen kontemporari serta cita rasa fesyen bertaraf global.

“Secara peribadi, saya cenderung menggabungkan unsur tradisional dan moden dalam rekaan-rekaan saya. Setiap satunya bukanlah dibuat secara semberono melainkan bersandarkan kepada kajian mendalam.

“Sebagai pereka perlu sentiasa menghasilkan sesuatu yang unik dan rekaan-rekaan baharu. Menjadi matlamat saya juga mendekatkan Bahadur Couture bukan sahaja kepada komuniti India malah kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini,” jelasnya.

Trend warna

Krish memberitahu, beliau juga bertanggungjawab sebagai penata gaya dan penasihat fesyen bagi aktres Sangeeta untuk penampilannya dalam filem.

Pada hematnya, selain pentas peragaan fesyen, filem merupakan platform yang amat baik untuk mempromosikan pereka muda sepertinya sekali gus menggilap bakat mereka untuk berkarya dengan lebih baik.

Dalam pada itu, Krish menjangkakan trend warna tahun 2019 lebih menjurus kepada warna-warna pastel dan semula jadi berbanding rona terang.

Krish paling menyukai warna emas dan putih dalam rekaannya.

Baginya, rona seperti emas merupakan warna semula jadi yang akan menyerlah dengan gabungan tona lebih gelap seperti merah, merah manggis dan coklat.

Berkongsi tip pemilihan warna, beliau menyarankan mereka yang berkulit gelap mengenakan warna-warna pastel dan senyap seperti warna ros debu dan kuning langsat.

Sebagai konsultan gaya, beliau turut ingin menasihati mereka yang ingin menukar imej perlu mempunyai pengetahuan terhadap imej baharu yang dipilih sama ada ia sesuai atau tidak dengan keperibadian diri masing-masing di samping mempertimbangkan penerimaan masyarakat.

“Menukar imej bukan masalah tetapi persoalan penting yang harus ditanya adakah mereka mampu menjadi seseorang yang mereka ingin jadi itu dan perlu berani menghadapi perubahan tersebut,” tuturnya.