Berlangsung pada 1 Oktober lalu, reputasi Balenciaga sebagai label kegilaan ramai terutamanya generasi muda kelihatan cukup gah seiring dengan set pentas berkonsepkan digital.

Memperkenalkan koleksi musim bunga/panas mereka untuk tahun 2019, jenama yang berasal dari Sepanyol itu tampil dengan 76 gaya generasi Z sebagai sasaran utama pasaran.

Namun, selain elemen elegan set gua kaleidoskop penghias perjalanan model pada hari itu, ada sesuatu yang lebih menarik perhatian barisan pencinta fesyen.

Kemunculan figura berambut panjang melepasi pinggang beserta kening yang diwarnakan perang pada gaya ke-40 Balenciaga yang diperagakan, membuatkan penonton mula berbisik-bisik.

Mengapa? Lelaki bermata sepet dan berwajah cengkung itu sama sekali tidak pernah langsung dilihat berada di pentas peragaan fesyen walaupun yang bertaraf lebih rendah.

Pendek kata, meskipun kebanyakan model untuk koleksi Balanciaga kali ini hampir kesemuanya muka baharu, kemunculannya yang mengenakan set jaket labuh dihiasi sulaman timbul perkataan Balenciaga bersama seluar slack dan baju-T itu membuatkan ramai pencinta fesyen mula bercakap tentangnya.

“Rambut panjangnya kelihatan pelik. Begitu juga dengan keningnya yang berwarna putih. Namun, karakternya nampak sesuai dengan Balenciaga yang membawa rekaan berkonsep milennial pada koleksi kali ini,” komen seorang pengguna Twitter, Le Beaute sejurus penampilan lelaki tersebut.

Seperti yang dikongsikan oleh beberapa portal fesyen dunia termasuk HypeBeast.com, lelaki tersebut ialah warganegara Jepun, dikenali sebagai Plasma.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Itu perumpamaan tepat yang boleh mewakili Plasma, seorang pencinta gaya jalanan yang sering bersiar-siar di sekitar Keonji, sebuah bandar kecil di Jepun.

Dia cenderung berkarakter pelik seperti rambut yang tidak disikat dan dibiar kusut. Sekali pandang, ada yang mungkin menyangka dia adalah seorang yang mempunyai masalah jiwa.

Kreativiti

Bersama dua orang rakan baiknya, Plasma mungkin dianggap gelandangan kerana pemilihan fesyen yang aneh termasuk sering mengenakan kemeja-T besar, seluar sekali ganda lebih besar daripada tubuh yang kurus malah adakalanya berseluar corak kotak yang saling tak tumpah seperti celana tidur.

Siapa sangka, kreativiti, seni pakaian jalanan yang dibawakan remaja tersebut berjaya menarik perhatian tiga orang kru Balenciaga yang sedang mencari wajah baharu bagi memperagakan koleksi mereka di Minggu Fesyen Paris.

“Saya cuma berjalan di sekitar Koenji apabila tiba-tiba dihampiri tiga orang warga asing yang mempunyai cita rasa fesyen yang sangat tinggi dan memaklumkan bahawa mereka dari Paris dan ditugaskan untuk mengelola uji bakat model untuk Balenciaga.

“Mereka memuji gaya dan merakam foto saya. Lima bulan kemudian, saya menerima tawaran untuk beraksi di pentas peragaan yang sama sekali tidak pernah dibayangkan,” kongsi Plasma mengenai detik permulaannya berada di pentas peragaan tersebut menerusi akaun Twitter.

Unik

Diversiti. Itulah realiti perubahan arena fesyen yang semakin lama semakin terbuka mengenai definisi cantik, tampan serta bijak bergaya.

Tidak klise seperti dahulu yang si peragawan dan peragawati haruslah berkulit putih dan mulus, bentuk badan menarik serta bermata galak untuk layak mengatur langkah di pertunjukan fesyen, zaman kini sudah berubah.

Seperti yang diterangkan oleh Pengarah Kreatif Balenciaga, Demna Gvasalia, setiap manusia mempunyai ciri unik yang tersendiri.

“Kewujudan setiap kita pasti ada peranannya. Begitu juga dengan fesyen. Bergaya bukan untuk orang tertentu semata-mata, sebaliknya fesyen ialah sesuatu yang diterjemahkan dengan lebih baik melalui varian gaya si pemakainya sendiri.

“Memandangkan pelanggan kita juga datang daripada pelbagai latar belakang serta bentuk fizikal yang berbeza, olahan persembahan oleh model juga ‘berbeza’. Apa yang pasti ia pasti mendatangkan hasil yang lebih memukau,” katanya menerusi satu temuramah dengan majalah Re-Edition.

Ironinya, sebelum Plasma, ada beberapa nama yang wajar disebut sebagai model unik, berbeza daripada kebanyakan serta pelik tetapi berjaya.

Antaranya termasuklah Rick Genest atau lebih dikenali sebagai Zombie Boy.

Sesuai dengan gelaran yang dipakainya dalam industri, Genest sememangnya seorang lelaki yang memiliki raut wajah bengis dan menakutkan.

Bukan semula jadi, minat mendalam lelaki Kanada tersebut membuat tatu di setiap genap inci tubuhnya termasuk di bahagian kepala berjaya menyinarkan namanya di persada fesyen dunia.

Di sebalik karakter persis tengkorak hidup, dia dilamar jenama besar seperti Thierry Mugler bagi memperagakan koleksi musim luruh/sejuk 2011.

Kemunculannya diterima ramai dan kariernya terus berkembang maju. Menerusi klip video lagu ratu pop dunia, Lady Gaga, Born This Way (2011), jurucakap produk Loreal (2012) itu juga melebarkan sayapnya dalam lakonan pada tahun 2013.

Percayalah, tanpa imej yang sedikit pelik, Genest pastinya tidak mampu menjadi model terkenal sehinggalah di penghujung hayatnya pada Ogos lalu.

Begitu juga istimewanya perbezaan yang dibawakan oleh model berkelas tinggi seperti Ashley Graham dan Tess Holiday; model bersaiz besar, Nyadak Duckie Thot (model berkulit hitam dan bersinar), Madeline Stuart (model sindrom Down profesional pertama dunia) serta Winnie Harlow (model berpenyakit vitiligo).

Tidak ketinggalan, si model kacak yang pekak dan bisu, Nyle DiMarco serta pastinya Halima Aden, seorang model hijab kini menjadi inspirasi kepada mereka di luar sana untuk sentiasa yakin diri dan percaya dengan kewajipan serta cita rasa fesyen masing-masing.

Jangan takut mencuba. Mana tahu, nasib anda nanti seperti Plasma yang cukup kreatif bereksperimentasi di luar kebiasaan.

Sebagai perkongsian, negara juga kini sedang ‘dilanda’ fesyen gaya jalanan terutamanya dari Jepun.

Jadi, jika anda pernah dikecam selekeh dan pelik, tunjukkan sahaja kejayaan Plasma kepada mereka.