Minat mendalam terhadap dunia artisan proses pembuatan pakaian berasaskan kain denim mendorong mereka bertiga untuk mengumpul modal bagi melahirkan jenama sendiri yang diberi nama Raw Denim House (RDH).

RDH memberi tumpuan dalam penghasilan jean buatan tangan atau lebih dikenali sebagai bespoke jeans. Ironinya, tiada seorang pun antara mereka mempunyai latar belakang dalam bidang rekaan fesyen.

Ahmad Safuan merupakan lulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Teknikal Tinggi Terengganu manakala abangnya, Ahmad Syukri graduan Kejuruteraan Pembuatan dari Universiti Islam Antarabangsa.

Muhamad Aidil pula bekas penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik.

Cabaran

Ahmad Safuan bercerita, cabaran utama memulakan bisnes tersebut ialah mereka perlu mendapatkan mesin vintaj buatan Amerika Syarikat (AS) kerana mesin jahit yang diperlukan untuk pembuatan jean tidak terdapat di Malaysia.

“Kami bukan sahaja menjahit sendiri produk Raw Denim Hose tetapi turut belajar membaik pulih mesin jahit tersebut kerana sukar mencari pakar yang dapat membantu memperbaiki model tersebut.

“Kami mendapatkan bekalan kain denim berkualiti daripada pembekal di luar negara seperti AS, Jepun dan China,” kongsinya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, RDH mengekalkan ciri-ciri tradisi pembuatan jenama jean asli. Jahitan berantai lazim dihasilkan daripada mesin jahit lama berusia lebih 60 tahun. Jahitan jenis tersebut menghasilkan kesan pudar yang cantik ke atas fabrik setelah lama dipakai.

Berpegang kepada moto Custom is the future Retails, koleksi rekaan dikeluarkan mengikut tempahan terhad kepada 30 sehingga 50 helai sebulan.

Antara produk pakaian yang dihasilkan ialah Classic 5 Pockets, Bush Pants, Double Knee Jeans, Ranch Wear dan Cargo Pant dengan variasi lebih 10 rekaan termasuk jaket yang diinspirasikan daripada gaya tahun 1950-an.

Julat harga jualan RDH ialah RM250 hingga RM350 untuk denim biasa dan bagi produk premium dipasarkan pada harga RM450 hingga RM650.