Itu antara bait kata yang pernah diucap pereka fesyen tersohor kelahiran Itali, Gianni Versace.

Ungkapan ringkas tetapi padat itu menyingkap makna mendalam bahawa cara berpakaian yang ditonjolkan menjadi wadah untuk seseorang menonjolkan diri dalam acara tertentu yang disifatkan sebagai istimewa.

Barangkali dalam memenuhi keperluan tersebut, seseorang itu tidak semestinya perlu sentiasa keluar membeli-belah atau berbelanja besar untuk memiliki pakaian idaman yang akhirnya mungkin hanya terperam di dalam almari selepas digunakan sekali.

Itu merupakan antara faktor Loo Phik Wern, 34, memperkenalkan Lylamod yang merupakan platform menyewa dres dan pakaian mewah khas untuk golongan wanita dan kanak-kanak perempuan secara online.

Pakaian moden

“Lylamod merupakan gabungan nama anak perempuan saya Lyla dan mod yang merujuk kepada pakaian moden untuk wanita moden. Idea ini hadir pada tahun 2014 sewaktu Lyla berusia dua tahun dengan hasrat ingin mengekspresikan pertalian erat antara ibu dan anak menerusi fesyen.

“Saya merasakan, tiada yang lebih menggembirakan apabila anak-anak melihat ibu mereka sebagai heroin dan inspirasi gaya mereka,” ujarnya kepada Kosmo! selepas pelancaran Lylamod di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Baginya, wanita cenderung mempunyai terlalu banyak pakaian. Namun, acap kali golongan tersebut berdepan masalah tiada baju yang boleh dipakai selain sukar mencari busana yang bersesuaian dengan majlis yang ingin dihadiri.

Justeru, Lylamod mencadangkan pakaian yang ideal dengan pelanggan selain mereka turut boleh memberi maklumat lanjut mengenai acara yang bakal dihadiri supaya mengikut tema yang diingini.

Biarpun beroperasi secara online, pelanggan turut boleh mencuba dres yang digemari terlebih dahulu di bilik pameran yang terletak di Subang Jaya, Selangor.

“Tempah waktu temu janji dan cubalah pakaian sebanyak mana dikehendaki. Biarpun tidak dapat menyewa beberapa pakaian sekali gus, ia mungkin boleh dimanfaatkan untuk acara pada masa depan.

“Kami turut berkolaborasi dengan dengan jurudandan, perunding gaya dan jurugambar profesional dan boleh mengaturkan sesi khas fotografi buat pelanggan bersama rakan-rakan dan keluarga mereka,” ujar anak kelahiran Selangor itu.

Pemegang ijazah sarjana Psikologi daripada sebuah universiti awam di England itu berkata, buat masa ini Lylamod mempunyai kira-kira 200 produk dengan jangkaan penambahan sebanyak 20 helai pakaian ditambah setiap empat bulan.

Ia terbahagi kepada pakaian wanita, kanak-kanak perempuan dan koleksi padanan mini antara ibu dan anak lebih daripada 30 label terkenal seperti Dolce & Gabbana, Alessandra Rich, Peter Pilotto, Alexis dan Charabia Paris.

Ada antara koleksi tersebut dikumpul sepanjang Phik Wern menetap di London atau dibeli ketika mengembara ke negara-negara Eropah beberapa tahun lalu.

Segmen pakaian antaranya meliputi maxi, midi serta dres mini, gaun petang, gaun perkahwinan, dres prom, gaun labuh dan pendek ditawarkan pada lingkungan harga serendah RM50 sehinggalah pilihan premium serta mewah dari RM150 hingga RM1,500 ke atas.

Dari aspek kebersihan, Lylamod bekerjasama dengan pakar cucian kering bagi memastikan bagi memastikan busana yang ditawarkan berada dalam keadaan baik dan bersih.

“Tempoh sewaan ialah selama empat hari dengan pelanggan perlu memilih tarikh tempahan dua hari sebelum acara supaya mereka mempunyai masa untuk melengkapkan pakaian yang dipilih dengan kasut dan aksesori sebelum pakaian perlu dipulangkan pada hari keempat.

“Usai memakainya, pelanggan hanya perlu meletakkan kembali pakaian ke dalam kotak seperti asal sebelum mengeposnya semula kepada kami,” jelasnya.