Ungkapan ringkas tetapi padat itu memperlihatkan amalan pemakaian minyak wangi bukan sekadar bertujuan menambat deria bau.

Malah, ia mempunyai matlamat menyuntik imej yang baik buat diri si pemakai supaya tampak menyenangkan dan selesa didekati.

Selain itu, haruman atau minyak wangi turut mampu menggamit ingatan seseorang terhadap kenangan silam, lokasi dan individu-individu tertentu yang pernah melewati kehidupan kita.

Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan jenama minyak wangi oriental Abdul Samad Al Qurashi (ASQ) yang telah bertapak selama 150 tahun di Mekah, Arab Saudi dan baru menjengah pasaran Malaysia sejak Disember lalu mampu mengubat kerinduan mereka yang pernah menjadi tetamu kota suci itu.

Cipta wangian sendiri

Syarikat jenama tersebut yang mencipta dan mengeluarkan haruman setiap produk yang dihasilkan merupakan satu daripada pembekal utama haruman untuk Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Ketua Pegawai Eksekutif PNS ASQ Asia Sdn. Bhd., Mardziah Kasim yang menerajui pemasaran jenama berkenaan di empat buah negara iaitu Indonesia, Singapura, Brunei termasuk Malaysia menjelaskan, minyak wangi oriental bermaksud haruman yang berasaskan kandungan semula jadi.

Antara bahan yang digunakan ialah kayu gaharu yang berusia lebih 80 tahun, bunga-bungaan seperti jasmin termasuk ros yang diambil dari Taif, Arab Saudi, kasturi, amber dan safron.

“Satu daripada kelainan yang ditawarkan oleh ASQ dalam pasaran minyak wangi Malaysia ialah koleksi minyak wangi semburan yang dinamakan Fragrance Wheel Bouquet.

“Dalam hal ini, kami menggunakan aplikasi digital yang memerlukan pelanggan menjawab beberapa soalan berunsur ujian psikometrik seperti warna kesukaan dan suasana yang ingin dilawati untuk memadankan wangian yang sesuai dengan mood dan personaliti seseorang.

“Selain itu pelanggan juga berpeluang mencipta sendiri campuran minyak wangi dan menjadikannya eksklusif mengikut cita rasa mereka,” ujarnya ketika ditemui Stailo di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Katanya, memilih haruman bersesuaian dengan tubuh dan personaliti merupakan tugas rumit bagi sesetengah orang. Sementelah, wangian yang dicalit pada kertas tidak boleh dijadikan perbandingan kerana ia cenderung memberi tindak balas berbeza pada tubuh.

Bau minyak wangi juga tidak sama dengan yang dihidu secara terus di dalam botol, kertas dan kulit. Bau pertama yang menyelinap deria hidu ialah haruman utama (top note). Ia merupakan bahagian terkuat dalam sesuatu haruman tetapi baunya akan pudar sekitar dua jam.

Tip

Selepas itu, bau haruman pertengahan (middle note) akan dibebaskan yang kemudiannya digantikan dengan haruman dasar (base note). Base note ialah bau yang kekal paling lama dan mampu bertahan antara lapan hingga 10 jam, bergantung kepada jenis minyak wangi.

Namun, ada pengguna yang membeli minyak wangi kerana tertarik pada bentuk botol tanpa menyedari atau memahami perubahan bau tersebut.

Berkongsi tip penggunaan minyak wangi, Mardziah yang turut berpeluang mempelajari perbezaan ratusan aroma haruman daripada pakar bauan ASQ berkata, aroma yang bersifat segar seperti flora dan buah-buahan lebih sesuai digunakan pada waktu pagi.

Bauan yang lebih keras atau kuat lebih sesuai dipakai pada waktu malam. Secara peribadi, Mardziah berkata, penggunaan haruman ibarat aksesori yang membantu menyerlahkan keyakinan diri selain mengimbangi emosi sepanjang hari.

Sebagai panduan, minyak wangi yang berbau tajam dikhuatiri mengandungi alkohol berlebihan. Ia berbeza dengan minyak wangi menggunakan bahan semula jadi yang berbau lembut.

“Waktu terbaik untuk mengenakan haruman atau minyak wangi ialah selepas mandi kerana tubuh berada dalam keadaan segar dan bersih membuatkan penyerapan aroma lebih berkesan.

“Bahagian tubuh yang diberi keutamaan minyak wangi ialah berdekatan nadi leher dan tangan selain dada. Bagi mereka yang kuat berpeluh disarankan menyemburkan haruman pada baju,” katanya.