Setelah merancang hampir setahun, akhirnya impiannya itu tercapai beberapa bulan lalu untuk bercuti selama hampir seminggu di secara backpacker.

Ketika sedang berlegar-legar menikmati pepasir putih bersih dan pukulan ombak di pantai itu, Julia perasan suatu perkara yang seakan-akan tidak kena.

“Semasa meronda di kawasan tepi pantai, saya dapati rata-rata pelancong mengenakan cermin mata hitam sedangkan saya tidak.

“Malah saya rasa ganjil kerana tidak memakai cermin mata sedangkan kebiasaannya di Malaysia, kita tidak pun memakainya walau cuaca panas sekali pun.

“Ia secara tidak langsung memberi perspektif baharu kepada saya mengenai penggunaan cermin mata hitam yang selama ini dipandang remeh,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sekembalinya ke tanah air, Julia masih menggayakan cermin mata hitam lebih-lebih lagi ketika cuaca panas.

Katanya, berkaca mata itu menambahkan lagi seri pada personalitinya dalam gaya seharian.

Penggunaan cermin mata kini bukan sekadar alat untuk menjelaskan pancaindera penglihatan manusia.

Ia kini berkembang luas sehingga menjadi salah satu elemen penting dalam aksesori fesyen di peringkat global.

Bahkan, pelbagai tahap inovasi telah dilakukan sekali gus merancakkan trend gaya berkaca mata.

Jika dahulunya, cermin mata yang terdapat di pasaran hanya terdapat dalam bentuk bulat dan segi empat, ia kini hadir dalam variasi yang pelbagai sekali gus menyempurnakan pelbagai gaya individu.

Kehendak pasaran

Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa industri cermin mata dunia serius mengusahakan cermin mata yang bukan sahaja berkualiti malah memenuhi kehendak pasaran.

Salah sebuah rangkaian kedai cermin mata yang komited membawakan variasi gaya cermin mata sejak tahun 1930 dari Himeji, Jepun ialah Optique Paris Miki.

Ia diasaskan oleh Yoshio Tane pada tahun 1930 dan menjadi peneraju rangkaian optik di Jepun dengan lebih 1,000 cawangan merentas 15 buah negara seperti Perancis, Jerman, Britain, Amerika Syarikat, China dan Asia Tenggara.

Menurut Pengarah Urusan Optique Paris Miki Malaysia, Nakano Toru, kejayaan jenama itu berkembang sehingga kini ialah komitmen serius terhadap unsur fesyen dan inovasi dalam cermin mata.

“Bagi kebanyakan individu, cermin mata itu tidak lebih sekadar aksesori pada wajah.

“Begitu pun, Optique Paris Miki melihat sepasang cermin mata itu sebagai sebuah hasil seni yang akhirnya menjadi item eksklusif individu.

“Kami telah memperkenalkan sistem teknikal dan studio yang dikendalikan oleh golongan berkemahiran tinggi untuk membangun serta menghasilkan cermin mata dengan gaya eksklusif,” katanya ketika ditemui di Optique Paris Miki, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gaya individu

Setiap cermin mata itu dihasilkan dengan menggabungkan unsur sains, kebudayaan serta teknologi yang cukup efisien.

Ia sejajar dengan etika kerja dan nilai kesempurnaan yang dikejar oleh rakyat Jepun.

Antara jenis cermin mata yang terdapat di Optique Paris Miki ialah Wayfarer, Aviator, Teashade, Brownline, Oversized, Shield dan tidak berbingkai. 

Wayfarer ialah cermin mata berbingkai sederhana tebal dan menutupi mata sehingga kening.
Aviator pula kaca mata berbingkai halus.

Jenis cermin mata Teashade berbingkai sederhana tebal dan rekaannya sedikit bersegi.
 Brownline pula merupakan kaca mata separuh bingkai.

Oversized ialah cermin mata bersaiz besar manakala Shield pula cermin mata dengan bingkai berunsur futuristik.

Kesemua cermin mata itu ditawarkan kepada pengguna bagi melengkapi gaya individu yang pelbagai.

Sempena ulang tahun ke-88 baru-baru ini, Optique Paris Miki memperkenalkan jenama baharu iaitu Oliver Peoples.

Ia merupakan jenama cermin mata eksklusif yang mengikut trend, berstail dan vintaj.

Oliver People terkenal dengan cermin mata aviator retro pada tahun 2008 dalam industri fesyen.

Jenama tersebut telah berkolaborasi dengan Paul Smith pada 1994 dan melancarkan cermin mata dengan bingkai berwarna-warni.

Selain itu, jenama itu turut melancarkan siri cermin mata fesyen bersama Prada dan Miu Miu pada tahun 1997.

Menurut Pengurus Latihan Luxottica Malaysia, Melissa Yap, Oliver People merupakan item fesyen klasik yang mesti dimiliki.

“Setiap cermin mata Oliver People dihasilkan dalam kuantiti yang terhad.

“Ia terkenal dengan rekaan yang unik selain dihasilkan dengan penuh teliti,” katanya.

Cermin mata Oliver People boleh didapati pada harga bermula RM1,350 dan ke atas.

Ia boleh didapati di kaunter Optique Paris Miki di pusat beli-belah terkemuka seperti KLCC, 1 Utama, Mid Valley, Pavilion dan Jaya Shopping Centre, Kuala Lumpur.