Alangkah indah berseri bertambah cantik

Oh abang yang manis oh nona yang lawa

Pakailah kain songket pakaian budaya

LAGU raya nyanyian Biduanita Negara, Puan Sri Saloma menggambarkan betapa songket dijulang sebagai pakaian yang memiliki nilai estetika yang tinggi dalam budaya Melayu.

Songket mula dipakai pada kurun ke-14 dan hanya dipakai oleh kerabat diraja pada waktu itu untuk majlis pertabalan dan majlis rasmi.

Melewati kurun ke-20, songket bukan lagi milik mutlak orang kenamaan dan pembesar apabila ia semakin meluas dipakai oleh orang kebiasaan sebagai pakaian rasmi raja sehari masyarakat Melayu.

Kebiasaannya, pengantin akan mengenakan busana kebaya songket yang cukup indah bergandingan bersama songket baju Melayu. Malangnya, arus pemodenan menyebabkan aura seri dan nilai eksklusiviti tenunan songket dipandang sepi oleh generasi muda.

Betah

Kemunculan fabrik moden seperti sutera Thai, sifon dan renda Perancis membuatkan songket semakin dilupai.

Tambah parah, pengaruh Barat membuatkan pasangan muda tidak betah menggayakan songket.

Menyedari hakikat tersebut, sebuah butik andaman pengantin, Kimie Kajang Sri Andaman yang terletak di Kajang, Selangor tampil memberikan penyelesaian.

Pemilik merangkap pereka busana pengantin, Hakimi Ali, 40, berkata, butik yang sudah beroperasi hampir dua dekad itu tekad mengetengahkan konsep moden tradisional untuk pelanggan sejak ia dibuka pada tahun 2001.

Mesra disapa Kimie, konsep moden tradisional diketengahkan sebagai memenuhi kehendak pelanggan dengan menghasilkan fesyen mengikut trend terkini dengan sentuhan tradisional.

“Rekaan kami tidak terbatas kepada kebaya dan baju kurung, tetapi rekaan moden seperti dres, gaun kembang, mini kurung, dan peplum yang digarapkan dengan elemen songket sebagai fabrik utama.

“Dalam pada itu, kami juga pakar dalam menghasilkan kebaya potongan pendek dan labuh beserta perincian indah buat si penggemar gaya klasik yang turut ditampilkan bersama busana songket,”katanya ketika ditemui di butik tersebut baru-baru ini.

Tambah Kimie, pihaknya sangat menitikberatkan pemilihan songket untuk dijadikan busana perkahwinan agar kehalusan seni tenunan yang dikatakan berasal dari Terengganu itu dapat diserlahkan.

Pakar kebaya

“Atas sebab itu, kami hanya memilih tenunan songket daripada pembekal yang dipercayai,” jelasnya bahawa pelanggan tidak perlu khuatir dengan rasa panas atau gatal.

Raja sehari pada pandangannya perlulah memilih busana yang sesuai dengan bentuk tubuh kerana ia akan mempengaruhi imej mereka. Menceritakan serba ringkas tentang koleksi sedia ada, Kimie memberitahu, antara koleksi yang mendapat perhatian ramai ialah koleksi gaun kembang songket berwarna kelabu metalik.

“Rekaan ini menampilkan songket sequin dengan perincian renda Perancis di bahagian dada. Hiasan manik ringkas di sekitar dada hingga ke pinggang busana ini sangat sesuai digayakan pengantin bertubuh langsing dan tinggi.

“Bagi pengantin yang sedikit berisi, menggayakan koleksi mini kurung moden dengan kain gunting payung ala Saloma adalah antara yang paling sesuai.

“Potongan ramping di atas dan mulai kembang bermula lutut ke bawah memberi efek langsing kepada si pemakai,” jelas Kimie.

Kimie Kajang juga menyediakan perkhidmatan menjahit baju pengantin.

Bagi perkhidmatan sewa, caj dikenakan adalah dari RM550 hingga RM2,500 bagi sepasang pakaian pengantin. Bagi tempahan, harga bergantung kepada jenis kain dan rekaan yang dipilih pelanggan.