Bergaya cantik di samping menguruskan anak-anak ketika berhari raya pastinya sukar jika mengenakan pakaian yang dihias keterlaluan dan tidak selesa.

Memahami situasi tersebut, jenama yang popular dengan seleksi rekaan tudung, Sophie.rtw tampil menawarkan koleksi pakaian sedia pakai pertama mereka berkonsepkan gaya polos dan minimal istimewa untuk Hari Raya Aidilfitri.

Pengasas dan pereka fesyennya, Sofia Eleena Abu Bakar, 32, berkata, koleksi tersebut terdiri daripada empat busana yang direka khas untuk menjamin keselesaan dari pelbagai aspek termasuk potongan, corak, perincian serta pemilihan warna.

“Untuk penggemar baju kurung, terdapat dua pilihan istimewa iaitu Fatimah (baju kurung Kedah) dan Aisyah (baju kurung moden) ditawarkan. Kedua-dua koleksi ini hanya dihias di bahagian tangan, bawah dan dada menggunakan renda tiga dimensi yang dijahit kemas.

“Bagi yang mementingkan potongan ilusi ramping, boleh memilih antara rekaan Mariam (kebaya pendek) ataupun Saloma (peplum) juga dengan perincian hiasan minimal sebagai penyeri anda di pagi raya,” jelasnya ketika ditemui di gerai Sophie.rtw di pusat beli-belah The Curve, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menariknya, Sophie.rtw turut menawarkan pilihan busana kanak-kanak bagi rekaan Aisyah dan Mariam khas untuk para ibu yang mahu bergaya sedondon dengan anak perempuan tersayang.

Tidak lari daripada konsep yang ingin diketengahkan, kesemua koleksi didatangkan tanpa corak dan mainan warna sejuk seperti pic, krim, kelabu, hijau emerald, rona ungu lembut dan ungu violet, biru, jingga lembut dan merah hati.

“Usah bimbang bergaya dengan koleksi ringkas dari Sophie.rtw kerana material yang kami gunakan iaitu dull satin pastinya memberikan kesan eksklusif meskipun hanya berharga di antara RM110 hingga RM260,” ujarnya.

Khas bersempena lebaran, koleksi Sophie.rtw boleh didapati di gerai mereka di tingkat satu, pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, butik Rumoda di Bangi Sentral dan menerusi Instagram, @sophie.rtw.