Meskipun baru berusia empat tahun, anak kecil itu tidak kekok bergaya di hadapan jurukamera yang sibuk membidik gaya terbaiknya.

Dia yang ditemani ibu, Nur Adriany Surua Yahya, sesekali berlari ke sudut permainan di butik tersebut untuk bermain bersama kanak-kanak yang datang membeli-belah di situ.

Walaupun mengenakan set baju Melayu lengkap bersamping daripada Pokoks, ia ternyata sama sekali tidak mengganggu kelincahannya meneroka dunia kecilnya dengan gembira.

Kecomelan wajahnya malah lebih terserlah dengan padanan kemas baju tradisional berwarna biru muda yang digayakan pada hari tersebut.

Paling menarik, potongan baju sedia pakai bersaiz empat tersebut cukup sempurna dan terletak elok pada tubuh Mior Darwish seolah-olah seperti ditempah khas mengikut badannya.

Itulah kekuatan Pokoks, sebuah jenama pakaian yang menawarkan varian busana tradisional dan kasual khusus untuk fashionista cilik dari usia setahun hingga 14 tahun.

Bukan sekadar selesa, setiap busana Pokoks turut memiliki kelebihan dari segi rekaan corak dan potongan yang sama cantik persis pakaian orang dewasa.

Baju Melayunya didatangkan khas dengan potongan moden kemas di bahagian dada sekali gus menjadikan ia terletak pada tubuh kanak-kanak.

Sementelah, baju kurung, jubah, palazo dan kemejanya pula disertakan dengan warna dan kemasan ringkas namun stailo digayakan anak kecil.

Wajar dimiliki

Disebabkan itu, jenama ini kini popular dalam kalangan ibu bapa di Malaysia lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Ia malah disenaraikan sebagai antara enam jenama yang wajar dimiliki oleh portal fesyen terkenal Malaysia Tatler di samping nama besar seperti Jovian Mandagie dan Alia Bastaman ketika baru tiga bulan melancarkan koleksi pertamanya pada tahun 2016.

Paling membanggakan, varian pakaiannya turut berjaya menawan hati ibu bapa di Brunei, Singapura, Australia, Amerika Syarikat, Jepun dan negara Asia Barat.

Ternyata, pengasas merangkap pereka fesyen Pokoks, Jessica Kim, 36, mempunyai cita rasa yang tinggi dalam menterjemahkan idea yang bernas untuk koleksi pakaian di bawah jenamanya.

“Di Pokoks, kami melihat kanak-kanak sebagai berhak memakai pakaian yang bukan sekadar ‘syarat’ untuk bergaya semata-mata, namun sebagai duta kepada pakaian kami.

“Disebabkan itu, kami sentiasa mementingkan dua perkara utama iaitu keselesaan dari segi material dan potongan serta mempunyai nilai komersial yang tinggi,” ujarnya ketika ditemui di Butik Pokoks, Jalan Setia Utama, Setia Alam, Selangor baru-baru ini.

Fabrik

Tambah Jessica, dia tidak mahu pakaian tradisional Melayu terutamanya dipandang sebagai pakaian yang mengehadkan pergerakan kanak-kanak.

“Disebabkan itu, Pokoks hanya menggunakan dua jenis fabrik iaitu kapas linen dan sifon yang sangat ringan dan sesuai untuk kanak-kanak.

“Kami juga mengelak meletakkan perincian sarat terutamanya yang bersifat timbul dan keras kerana ia tidak praktikal digayakan oleh anak kecil,” jelasnya yang berasal dari Shanghai, China.

Bercerita lebih lanjut mengenai Pokoks, ibu kepada tiga cahaya mata ini menyifatkan ia sebagai inspirasi daripada seorang ibu kepada seorang ibu yang lain.

Dia yang berkelulusan Sarjana Filosofi dan Sejarah Fesyen, Universiti Shanghai telah berkahwin dengan warga Malaysia.

Selama 10 tahun menetap di negara ini, hati suri rumah itu cukup terpesona dengan baju tradisional terutamanya baju kurung.

Baginya banyak baju kurung yang cantik, penuh gaya dan selesa namun mahal. Lantaran itu, dijahit sepasang baju kurung kain kapas untuk anak sulungnya, Tan Yashgin untuk dipakai ke tadika.

Tidak sangka ramai ibu bapa rakan tadika Yashgin menyukai hasil jahitannya dan ada yang meminta agar Jessica menjahit baju kurung untuk anak mereka.

“Dari situ saya terfikir untuk menghasilkan pakaian yang selesa, cantik dan murah dengan meletakkan anak-anak dan suami sebagai kayu pengukur rekaan.

“Saya mahu berkongsi rekaan baju terbaik, elegan dan selesa untuk anak-anak saya bersama kanak-kanak lain dengan harga serendah RM69 sehingga RM200 sahaja bagi sepasang baju,” katanya.

Bermula dari situ, koleksi pertama, Serai dihasilkan dan dijual secara online bermula Ramadan 2016 sebelum kedai fizikal dibuka pada awal tahun 2017.

“Tidak sangka, potongan baju kurung dan baju Melayu moden polos dengan minimal corak tropika yang kami bawakan melalui Serai mendapat perhatian ramai.

“Disebabkan enggan menjadi jenama ‘panas’ sewaktu perayaan semata-mata, pakaian kasual seperti kemeja dan palazo kemudiannya menyusul di bawah koleksi sama,” imbaunya mengenai detik bermulanya populariti Pokoks dalam bidang fesyen kanak-kanak.

Koleksi lebaran

Kini, jenama tersebut boleh didapati secara online, butik dan juga rangkaian hab fesyen terkenal, Fashionvalet.

Sementara itu, suami Jessica yang juga pengurus Pokoks, Tan Tai Koo teruja berkongsi mengenai tiga koleksi lebaran mereka bagi tahun ini iaitu Ingat, Tali dan Pulang.

Diilhamkan daripada keindahan, kemeriahan dan memori pulang ke kampung ketika berhari raya, koleksi terbaharu ini menampilkan baju kurung, jubah, baju Melayu, kain labuh, palazo uniseks dan kemeja.

Varian rekaan pula terdiri daripada motif polos, cetakan flora, corak origami, sulaman bunga di tangan serta perincian butang kayu hasil tangan artisan Hong Kong.

“Lebih istimewa, untuk tahun ini, Pokoks turut menawarkan samping segera yang cukup praktikal untuk pengalaman raya anak-anak.

“Tidak perlu lagi bimbang ia tertanggal ketika beraya, samping ini hanya perlu dilipat pada pinggang si cilik dan dilekatkan dengan kemas menggunakan pelekat fabrik,” katanya sambil memakaikan samping tersebut kepada Mior Darwish.

Berkongsi mengenai cara pemasaran Pokoks yang dilihat mencapai tahap antarabangsa, Tai Koo menyifatkan ia sebagai aura positif daripada konsep fotografi natural yang diamalkan oleh mereka.

Menurutnya, kesemua model Pokoks tidak disolek dan dipaksa bergaya keterlaluan kerana ketelusan wajah mereka sudah mencukupi.

“Jenama ini adalah tentang kanak-kanak. Jadi, ia seharusnya diinterpretasikan dengan baik melalui sifat mereka yang nakal, manja dengan gaya kandid dan bersahaja.

“Selain itu, kami juga menggunakan model pelbagai kaum dan warna kulit termasuk dari Korea, Jepun, Poland, Itali dan Malaysia agar imej busana Pokoks ‘dilihat’ oleh mereka di luar negara,” ujarnya memangku anak kesayangan, Tan Yano, 5, yang juga salah seorang model Pokoks.