Lima hari seminggu Nuriylia Insyirah, 25, atau mesra disapa Iylia lazimnya ditenggelami dengan kesibukan tugas dan komitmen selaku penganalisis akaun di sebuah syarikat swasta terletak di Subang Jaya, Selangor.

Namun, pada waktu senggang, anak ketiga daripada empat beradik itu gemar melakar rekaan pakaian mengikut citarasa dan personaliti dirinya yang menggemari gaya feminin.

Begitu mementingkan penampilan diri sejak dari usia remaja, identiti fesyen graduan Universiti Taylor dalam jurusan perakaunan dan kewangan itu banyak dipengaruhi ibu, Norida Mohamad dan neneknya, Ramelah Abdullah.

Ia diterjemahkan menerusi label Lily&Orkid yang mula-mula diperkenalkan pada tahun lalu menerusi platform pasaran online untuk pembelian dan penjualan barangan baharu dan terpakai, Ca­rousell.

“Saya membesar dengan baju lace, dres dan skirt. Pada masa yang sama turut meminati pakaian warisan Melayu seperti kurung dan kebaya. Itu antara elemen yang menjadi inspirasi kelahiran Lily&Orkid.

“Saya sebenarnya telah memulakan aktiviti menjual baju terpakai di Ca­rousell sejak 2015 menggunakan akaun ashleyallday dan mempunyai kelompok pengikut yang memberi respons memberangsangkan terhadap koleksi peribadi tersebut,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di ibu kota baru-baru ini.

Lily yang dieja dalam bahasa Inggeris dan Orkid yang dieja dalam bahasa Melayu merupakan paduan dua nama bunga iaitu lili yang mewakili ciri-ciri kelembutan, romantis dan sofistikated.

Manakala orkid yang berasal dan tumbuh meliar dari hutan mendukung nilai kekuatan dan memiliki keberanian. Namun, kedua-dua bunga tersebut mempunyai persamaan. Ia cantik dan menawan dalam sifat serta kejadiannya yang tersendiri.

Penjual popular

Muncul sebagai penjual popular bagi kategori fesyen di laman tersebut buat julung-julung kali, Carousell, syarikat penganjuran acara, Zombie Sneaky dan Akademi Amber Chia membawakan FashFab KL yang menampilkan Lily&Orkid sebagai sorotan utama pada Ogos lalu.

Dilancarkan pada tahun 2012, Carousell yang berpangkalan di Singapura, kini berada di 19 buah bandar di tujuh buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Taiwan, Hong Kong dan Amerika Syarikat dengan lebih 80 juta penyenarai­an barangan untuk dijual.

Di Malaysia, lebih 11.4 juta barangan disenaraikan di pasaran Carousell dengan lebih 3.6 juta item terjual.

Ia termasuk meliputi segmen produk fesyen, kereta, peranti, perabot, aksesori kenderaan dan barangan kelengkapan rumah dengan lebih 54 peratus daripada penggunanya merupakan mereka yang ber­usia 25 tahun ke atas.

Mengambil tempat di The Imaginarium, Pusat Beli-Belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor, FashFab KL bertujuan memberi peluang kepada vendor untuk mempersembahkan pratonton produk mereka secara langsung kepada golongan sasar sebelum ia berada dalam pasaran.

Iylia melihat kesempatan yang diberikan oleh Carousell sekali gus mengangkat jenama Lily&Orkid yang digayakan barisan model dari Amber Chia Academy ibarat bulan jatuh ke riba.

Naluri

Bagi dirinya, seolah-olah segala usaha keras selama ini terbalas. Maklumlah dia memulakan perniagaan ini menggunakan duit poket sendiri dan ia juga pendedahan yang jarang-jarang diperoleh oleh pereka baharu yang tidak berpengalaman serta bermula dengan kosong sepertinya.

Kepada Iylia, secara peribadi, lili dan orkid adalah paduan kontra yang begitu berbeza. Namun, saling memerlukan dan melengkapi. Pendek kata, ia mewakili sisi kontra dalam seorang wanita. Dia juga percaya kedua-dua ciri tersebut ada di dalam diri kita semua.

“Saya sedar bahawa tidak perlu terlalu terikat dengan pasaran dan trend semasa. Cukup sekadar mengikut naluri dan ilham yang terbit dari jiwa mengenai dan apa yang baik untuk jenama itu. Jika saya terlalu menurut apa yang ditentukan oleh industri, saya tidak fikir saya akan berada di tempat saya hari ini.

“Saya melihat gabungan kedua-duanya akan melahirkan keperibadian yang unik dan ia digandingkan dalam Lily&Orkid khas untuk wanita yang ingin bereksperimentasi dengan rekaan yang diketengahkan,” jelasnya.

Di samping beroperasi secara online, Iylia turut mengamalkan konsep perniagaan bergerak dengan pergi bertemu pelanggan termasuk ke rumah mereka.

Ia bagi memberi peluang kepada pelanggan untuk melihat rekaannya dengan lebih dekat sekali gus memberi idea mengenai apa yang diharapkan serta dimahukan si pemakai menerusi hasil tangannya.

Lebih membanggakan, selebriti pertama yang membeli kerja tangan Ilyia ialah Daphane Iking yang tertarik dengan satu daripada dres rekaannya.

“Pakaian rekaan saya bersifat fleksibel dan boleh dipadankan mengikut kesesuaian situasi sama ada secara kasual atau formal.

“Ia juga boleh dipakai di kedua-dua belah sama ada belakang atau hadapan atau dijadikan pakaian luar seperti jaket atau diintegrasikan bersama denim atau jaket kulit mengikut kreativiti pemakai,” ujarnya yang mengagumi Alia Bastaman dan pereka fesyen kelahiran Lebanon, Elie Saab.