Namun, kehadiran bulu terutamanya pada bahagian bawah lengan menimbulkan rasa tidak selesa dalam keadaan dirinya yang banyak berpeluh sewaktu melakukan aktiviti fizikal tersebut.

“Lantaran itu saya mencuba pelbagai kaedah termasuk bercukur dan mencabut satu persatu menggunakan tweezer. Proses itu agak menyakitkan dan merenyahkan.

“Saya mendapati penggunaan krim tertentu untuk membantu proses bercukur membuatkan bahagian kulit menjadi gelap,” ujarnya kepada Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru, apabila mengetahui terdapat kaedah penyingkiran bulu menggunakan cahaya dikenali sebagai Teknologi Pendarfluor Maju (AFT) yang diperkenalkan di pusat kecantikan dikenali sebagai Strip, Nana, 32, teruja mencubanya.

“Pada peringkat awal menjalani AFT, saya dapati bulu roma kian berkurangan dan menjadi lebih halus. Sekarang saya melakukan terapi dari semasa ke semasa dua hingga tiga bulan sekali untuk terus mendapatkan kulit yang licin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Khidmat Pelanggan Strip, Eline Chang berkata, teknologi itu memfokuskan bahagian akar rambut dengan menggunakan cahaya yang telah ditapis serta bebas radiasi dan kandungan bahan yang mencederakan kulit.

Begitupun, katanya, kesan penggunaannya tidak dapat dilihat serta-merta apabila dalam tempoh satu hingga empat minggu, bulu tersebut akan gugur sendiri.

“Jumlah yang disyorkan adalah enam sesi AFT pada selang waktu lima hingga enam minggu dengan pengguna boleh mendapatkan kulit licin sehingga dua tahun bergantung kepada tubuh seseorang individu.

“Ini kerana ada individu yang mengalami masalah hormon yang menggalakkan pertumbuhan bulu pada badan mereka dengan lebih cepat,” ujarnya.

Tidak menyakitkan

Menurutnya, terapi cahaya itu hampir tidak menyakitkan dan hanya memberi rasa suam pada kulit.

Kaum lelaki juga tidak ketinggalan mencuba AFT dengan kebanyakan mereka cenderung mencubanya untuk membuang bulu pada bahagian belakang badan, dada, perut dan bawah leher.

“Bagi segelintir individu yang memiliki kulit sensitif, kemungkinan ia akan meninggalkan kesan merah. Tetapi kesan tersebut akan beransur hilang dalam tempoh sehari. Mereka juga dinasihatkan tidak menggaru kulit jika berasa gatal.

“Terapi AFT hanya menembusi lapisan kedua kulit yang dipanggil dermis,” katanya.

Strip yang berasal dari Singapura mula memperkenalkan AFT di negara ini sejak pertengahan tahun lalu. Ia kini mempunyai sembilan cawangan di negara ini. Antaranya di Bangsar, Kuala Lumpur; Petaling Jaya, Selangor dan George Town, Pulau Pinang.

Selama 13 tahun berada dalam bidang tersebut, Eline melihat ramai dalam kalangan pelanggannya menjalani prosedur penyingkiran bulu yang tidak dikehendaki atas sebab kebersihan dan mendambakan penampilan lebih rapi.

Hampir setiap bahagian tubuh sesuai melakukan terapi AFT, termasuk kaki, bahagian peribadi, belakang badan, bawah lengan, tangan dan bahagian atas bibir. Dapat dilihat juga trend mendapatkan wajah licin bak selebriti Korea Selatan mendorong pengguna berhasrat mengaplikasikannya pada muka mereka.

Jurusolek profesional, Ahmad Firdaus Abdul Aziz pula berpendapat, wajah yang ditumbuhi bulu roma memerlukan sentuhan yang lebih teliti untuk kesan solekan yang kemas.

“Misalnya, apabila bedak kompak dioles pada wajah, ia akan kelihatan berdebu kerana tidak sampai kepada kulit secara terus. Jurusolek biasanya perlu menyembur cecair penyembur wajah berulang kali dan perlu sentiasa bersedia dengan tisu untuk merapikan solekan,” tuturnya.