Ibu kepada tiga cahaya mata yang menetap di Utah, Amerika Syarikat itu mula aktif dengan aktiviti yang dikenali sebagai refashion sejak tahun 2008 dengan kebanyakan pakaian yang diubah suai diterima daripada saudara-mara atau baju miliknya sendiri.

Mempunyai minat yang sama dengan Susan tetapi dalam versi lelaki, Asrul Azwan Apandi, 23, mula meminda baju sendiri sejak berusia 14 tahun.

Anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu malah membuka kedai mini di hadapan rumahnya dan sering menerima tempahan mengubah suai pakaian terutamanya seluar sekolah rakan-rakannya.

“Dahulu trend potongan boot cut yang lebar di bahagian bawah namun agak sempit di bahagian atas begitu diminati. Apabila hantar di kedai jahit, ia biasanya tidak dibuat mengikut kehendak kami.

Sokongan

“Jadi saya belajar sendiri dan selepas banyak kali mencuba, hasilnya lebih memuaskan hati. Sejak itu rakan-rakan upah untuk ubah suai seluar mereka.

“Pada masa tersebut saya hanya gunakan mesin jahit kaki kepunyaan ibu,” imbau graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Halus itu ketika ditemui Stailo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, dalam tempoh setahun, dia berjaya mengumpul wang membeli mesin jahit elektrik. Aktiviti itu turut mendapat sokongan ibunya yang tidak lama kemudian turut menghadiahkannya sebuah mesin jahit tepi.

Dia kini merupakan seorang tukang jahit sepenuh masa di kedai Alter&Go yang menawarkan segala jenis perkhidmatan mengubah suai pakaian yang beroperasi akhir tahun lalu.

Dia pernah menghasilkan sehelai kemeja menggunakan dua helai seluar jean lama dan baju corak tampal menggunakan material daripada beberapa helai baju lain yang menghasilkan corak berlainan di bahagian lengan dan belakang.

Begitupun, anak ketiga dan keempat itu melihat, kesedaran orang ramai di negara ini terhadap perkara tersebut masih rendah.

Dalam hal ini, pelanggan cenderung menganggap ubah suai pakaian hanya sekadar melibatkan kerja potong-memotong baju atau seluar labuh atau meminda dari aspek saiz.

Buatan tangan

“Tidak ramai sedar bahawa pakaian siap sama ada skirt, dres, baju atau seluar boleh ditetas jahitannya, dibentang dan dijadikan pakaian yang disukai.

“Pendek kata bukan sahaja motosikal dan kereta boleh buatan tangan, pakaian juga boleh,” tuturnya.

Bersetuju dengan pandangan tersebut, pengasas Alter&Go, Nizar Manaf, 42, berkata, transformasi pakaian tidak sekadar mengitar pakaian lama yang tidak boleh dipakai.

Ia boleh jadi, pakaian yang diperbuat daripada material berkualiti namun mempunyai potongan yang kurang menarik atau tidak menepati cita rasa si pemakai.

Pengasas bersama jenama pakaian lelaki, Benua Clothing (Benua) itu berkata, dia sendiri telah lama menerapkan budaya tersebut dan percaya ia turut mendidik seorang manusia menjadi insan bersyukur dan menghargai barangan yang dimiliki.

“Mungkin ada antaranya pakaian berjenama namun dijual lebih murah daripada biasa disebabkan perkara-perkara tertentu. Jika kena gayanya pakaian sebegitu boleh ditukar menjadi gaya versatil edisi terhad.

“Amalan ini bukan sahaja menyuburkan kreativiti pada masa yang lebih menjimatkan wang,” ulasnya.

Dalam hal ini Alter&Go menawarkan perkhidmatan serendah RM8 hingga RM15 dengan rekaan buatan tangan boleh mencecah sekitar RM35 hingga RM40 bergantung kepada tahap kesukaran membuatnya.