Senyuman manis dengan anak mata berwarna coklat menyerlahkan lagi pesona gadis berasal dari Limbang, Sarawak itu.

Namun, di sebalik penampilan yang sempurna tersebut, ramai tidak mengetahui bahawa Lenny pernah berdepan dengan masalah kurang keyakinan diri ekoran bulu roma yang lebat di beberapa bahagian anggota badannya sewaktu remaja.

“Sejak umur 12 tahun, saya mula mengalami perubahan hormon yang menyebabkan bulu roma tumbuh lebat di bahagian atas bibir, lengan dan kaki.

“Disebabkan saya berkulit cerah, bulu roma yang tumbuh terutamanya di bahagian atas bibir kelihatan sangat jelas seakan-akan misai,” luahnya mengimbau masalah yang dihadapi sejak lima tahun dahulu.

Keadaan itu menyebabkan dia tidak selesa untuk berkomunikasi dengan sesiapa pun pada jarak dekat. Bahkan, rasa tidak selesa itu pernah menjejaskan persembahannya ketika ditemu duga untuk bekerja di sebuah syarikat korporat terkenal di ibu kota.

Pada masa sama, Lenny juga mempunyai keterbatasan dalam berfesyen ekoran bulu roma yang lebat tumbuh di bahagian kakinya. Lantaran itu, dia sering mengenakan seluar panjang ataupun skirt labuh bagi menutupi kakinya.

Mujurlah rakan baiknya memperkenalkannya kepada rawatan membuang bulu roma menggunakan teknik lilin ataupun lebih dikenali sebagai waxing.

Secara umumnya, teknik ini memerlukan cecair lilin disapu pada bahagian kulit yang berbulu. Sejurus sahaja bahan tersebut mengering, ia akan disentap sekali gus menarik bulu keluar dari liang roma.

Pilihan utama

Menurut Lenny, sejak pertama kali mencuba pada tahun 2016, dia terus menjadikan rawatan lilin sebagai pilihan utama dalam merias diri.

“Ya, ia sedikit sakit kerana bulu dicabut daripada anggota badan tetapi ia tidaklah keterlaluan.

“Lagipun, ia dilakukan dengan cepat dan kita dapat melihat hasilnya yang begitu jelas. Antaranya, warna kulit kelihatan sedikit cerah dan mulus kulit tanpa bulu roma,” kongsinya ketika ditemui di spa yang menawarkan perkhidmatan lilin, Strip, cawangan Bangsar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ironinya, bulu roma yang lebat bukanlah sesuatu yang asing kepada lelaki mahupun wanita.

Wanita kebiasaannya akan berdepan masalah ini apabila bulu tumbuh di bahagian kening, bibir, ketiak, kaki dan garisan bikini, manakala lelaki pula di belakang badan serta dada.

Selain mencukur, mencabut dan menggunakan krim, penggunaan cecair lilin adalah antara yang paling popular sebagai rejim kecantikan masa kini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kelebihan rawatan cecair lilin, Ketua Pegawai Khidmat Pelanggan Strip, Eline Chang berkata, ia berupaya menanggalkan bulu ke akar umbi sekali gus menjadikan kulit bebas rambut untuk jangka masa panjang.

“Berbanding rawatan lain yang hanya menyentuh permukaan kulit, kaedah ini menarik bulu roma dari bawah dan menjadikan bulu roma yang baharu lebih halus.

“Hanya dengan sekali rawatan, kulit licin tanpa bulu dalam masa sekitar tiga minggu. Jika kaedah rawatan ini dilakukan secara konsisten, kadar pertumbuhan bulu roma juga menjadi lebih rendah,” ujarnya yang berpengalaman selama 12 tahun menjalankan perkhidmatan ini.

Rawatan ini juga berkesan membuang kulit mati yang ‘menumpang’ lalu menjadikan tekstur kulit lebih licin dan kelihatan sihat.

Liang roma yang bebas bulu roma juga membolehkan aplikasi produk seperti pelembab dan losen pada kulit diserap lebih berkesan.

Paling penting, badan juga kurang berbau kerana peluh tidak terperangkap pada bulu roma yang tumbuh lebat.

Meskipun rawatan ini boleh dilakukan sendiri, ia mungkin menyebabkan ketidakselesaan selain membuatkan bulu roma tidak dicabut sempurna terutama pada bahagian sulit.

Jenis rawatan

Justeru di Strip, terdapat lima pembahagian rawatan lilin. Ia terdiri daripada rawatan brazilian untuk bahagian sulit, bahagian atas badan (perut sehingga bawah lengan), bahagian bawah badan (pinggang sehingga kaki), keseluruhan bahagian wajah serta pergelangan kaki dan tangan.

Kongsi Eline, pelanggan juga tidak perlu bimbang mengenai keselamatan, kebersihan dan kesakitan jika mendapatkan rawatan di Strip.

Ia kerana spa bertaraf global ini sentiasa memastikan kesemua 50 cawangannya di 11 buah negara menjalankan perkhidmatan rawatan di bawah satu prosedur yang sama.

“Di Strip, kebersihan adalah perkara paling utama. Kami sentiasa memastikan spatula dalam setiap proses menanggalkan bulu tidak dikongsi dan terus dibuang bagi mengelak kuman jangkitan.

“Selain itu, setiap pakar pembuangan bulu roma di spa ini juga diwajibkan menjalani kursus khas selama sebulan di Singapura. Ini bagi memastikan mereka mendalami kaedah yang selamat untuk menanggalkan bulu di setiap inci tubuh pelanggan selain meminimumkan rasa sakit,” jelas ibu kepada dua orang anak itu.

Strip juga menggunakan dua jenis rawatan lilin jenama sendiri terdiri daripada Chocolate Berry (lilin keras) dan Queen Bee (lilin lembut) mengikut kesesuaian tekstur kulit.

Dirumus dengan titanium dioksida bersama ekstrak beri dan coklat, Chocolate Berry bertekstur lembut dan sedikit tebal sesuai untuk menanggalkan rambut pendek dan degil yang tumbuh di bahagian badan berkulit lembut seperti muka, bawah lengan dan alat sulit.

Sementelah Queen Bee Wax, diformula dengan madu lebah dan minyak sayuran, ia lebih sesuai digunakan pada bahagian badan rata dan luas seperti di lengan, kaki dan dada lelaki.

Bertauliah

Terbaharu, Strip turut mengeluarkan produk edisi terhad penggilap lilin jenis keras, Desert Rose. Ia merupakan kombinasi aloe vera dan ekstrak kayu manis bagi menggalakkan penghidratan kulit.

Meskipun, menyediakan tempat rawatan yang kondusif dengan kepakaran rawatan yang tinggi, harga rawatan di Strip adalah sangat munasabah dan berbaloi.

Berharga serendah RM12 sehingga RM155.50, pelanggan boleh mendapatkan kulit bersih dan cantik dalam masa hanya antara 15 hingga 30 minit sahaja.

Sementara itu, pakar kecantikan kulit, Dr. Khoo Oon Siang dari Klinik Kecantikan Kulit dan Poliklinik Perdana Sungai Petani, Kedah mengakui, kesan rawatan lilin sebagai antara medium terbaik untuk penampilan lebih menarik.

Bagaimanapun, beliau menyarankan pengguna supaya mendapatkan rawatan membuang bulu di pusat yang bertauliah dan berdaftar.

“Pastikan di mana sahaja anda lakukan rawatan, ia haruslah dilakukan oleh mereka yang terlatih dan mengikut standard kebersihan yang sepatutnya.

“Kenal pasti juga jika anda mempunyai penyakit seperti sakit jantung, alahan terhadap ubat, kanser atau hamil. Dapatkan nasihat doktor jika anda ragu-ragu bagi memastikan rawatan tersebut tidak memudaratkan anda,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menggunakan kaedah menarik bulu sehingga ke akar, ia menjadikan bulu roma baharu yang tumbuh semula lebih halus sekali gus meningkatkan keyakinan diri seseorang