Keadaan ini menyebabkan pemilihan pakaian untuk digayakan seorang ibu sangat terhad.

Kebanyakan mereka akan memilih jubah dan dres yang mempunyai zip ataupun butang di dada untuk membolehkan anak menyusu.

Namun, bagi ibu yang bekerja pastinya jubah dan dres bukanlah pilihan yang sesuai untuk digayakan.

Menyedari kepentingan penggayaan baju menyusu yang lebih sesuai dan bergaya, jenama Bondamilk telah mengambil inisiatif menyediakan variasi baju menyusu khas untuk para ibu.

Pemilik jenama tersebut, Hajar Syafiqah Hadzir, 24, berkata, Bondamilk mahu dikenali sebagai jenama yang menyokong pemberian susu ibu kepada anak kecil.

“Setiap rekaan baju menyusu Bondamilk menampilkan ciri unik belahan kecil tersembunyi di bahagian dada bagi memudahkan proses penyusuan.

“Bagi memberi lebih keyakinan kepada para ibu, fabrik kapas rayon digunakan sebagai melapik bahagian yang mungkin ternampak apabila belahan diselak.

“Sifat fabrik yang mudah regang serta menyerap susu yang tertumpah menjadikan Bondamilk sebagai pilihan terbaik untuk kaum ibu,” katanya yang baru melancarkan jenama ini pada November tahun lalu.

Tambah Hajar Syafiqah, Bondamilk mahu mengetengahkan konsep blaus menyusu kasual dan formal yang sesuai digayakan di pejabat mahupun ketika bersantai.

Potongan

Atas sebab itu, dia sangat menitik beratkan potongan baju dan warna yang menarik agar tidak kelihatan ketara sebagai baju menyusu.

Sehingga kini, Bondamilk telah menghasilkan tiga rekaan baju menyusu iaitu Ummi Basic, Ummi Aisya dan Ummi Luxe Revival.

Terbaharu, dia bakal mengeluarkan koleksi terbaharu baju menyusu menggunakan fabrik antibakteria pada bahagian dalam dada. Ia dijangka dikeluarkan pada bulan Mac depan.

Mengulas lanjut mengenai koleksi sedia ada, Hajar Syafiqah menjelaskan, Ummi Basic sebagai pilihan bagi mereka yang gemarkan gaya ringkas baju satu warna.

“Ummi Basic didatangkan dengan pelbagai pilihan warna kegemaran seperti biru gelap, pink, merah, hijau sesuai untuk mereka yang gemarkan total plain. Paling menarik, bahagian dada yang berfungsi untuk penyusuan, menampakkan kesan langsing kepada si pemakai terutama yang tinggi lampai.

“Ummi Aisya pula menampilkan potongan tunik dengan dua ton warna kontra bagi menampakkan si pemakai lebih elegan dan berani. Masih mengekalkan ciri kesopanan sesuai dengan imej seorang ibu, ia sesuai digayakan dengan seluar jenis palazo mahupun skirt labuh.

“Ummi Luxe Revival pula didatangkan dengan rekaan berlisu di bahagian hadapan. Gabungan berlisu di bahagian bawah dada memperlihatkan ibu seakan-akan memakai blaus dalam versi peplum yang lebih longgar,”ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Istimewanya, setiap rekaan turut menampilkan poket di sebelah kiri dan kanan bertujuan memudahkan para ibu menyimpan barang seperti kunci.

Selain itu, ia juga dilengkapi zip di bahagian lengan untuk memudahkan ibu berwuduk.

Ibu yang mengalami masalah pertambahan berat badan selepas melahirkan anak juga tidak perlu bimbang kerana setiap rekaan menampilkan saiz bermula dari saiz XS sehingga XXL pada harga antara RM59 sehingga RM119.