Ditambah pula dengan elemen songket yang menghias rapi pada bahagian-bahagian tertentu, ia akan menyebabkan sesuatu sut itu tampak lebih mewah.

Begitulah yang cuba diketengahkan oleh pereka fesyen prolifik, Bon Zainal menerusi koleksi yang dipersembahkan semasa Minggu Fesyen Malaysia 2017 di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nama Bon Zainal tidak asing lagi dalam radius fesyen tanah air.

Sebut sahaja nama Bon Zainal, masyarakat pasti terbayang eksperimentasi sut eksklusif dengan fabrik ikonik warisan dari Kelantan dan Terengganu itu.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang jahitan sut lelaki eksklusif, Bon Zainal atau nama sebenarnya Bon Zainal Harun itu sehingga kini masih mengangkat songket sebagai seni warisan tradisi negara.

 

Golongan atasan

“Suatu masa dahulu, songket merupakan pakaian warisan yang dikhususkan untuk golongan atasan, kenamaan dan diraja disebabkan nilai eksklusif serta mewah yang ditonjolkan.

“Namun, kini songket juga mendapat tempat di hati masyarakat selain penghargaan ke atas seni warisan tersebut.

“Justeru, persembahan koleksi kali ini adalah sebagai introduksi keindahan fabrik songket yang diselitkan ke dalam sepasang sut untuk diperkenalkan di peringkat antarabangsa,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Koleksi sut yang diketengahkan Bon Zainal itu diperbuat daripada kain baldu.

Padanan itu disifatkan paling serasi kerana menyempurnakan lagi elemen mewah dan sofistikated dalam sesebuah sut.

Katanya, jika kain songket dipadankan dengan fabrik selain baldu, ia tidak padan untuk digandingkan bersama.

Ujar Bon Zainal, jika suatu masa dahulu pakaian yang diasaskan daripada songket adalah lebih bersifat tradisional, sut yang dihasilkannya itu kini mendapat sentuhan potongan moden.

Sut yang diperhalusi dengan potongan moden adalah untuk menjadikan busana itu relevan bagi digayakan pada masa kini.

Berkongsi mengenai songket yang digunakan dalam koleksi sut istimewa Bon Zainal, terdapat dalam dua varian iaitu songket tenunan tangan asli dan songket buatan kilang.

“Songket ini ada peminat yang tersendiri. Ada yang gemar songket tenunan tangan dan begitu juga sebaliknya.

“Perbezaan itu adalah untuk memberi pilihan kepada para pelanggan mendapatkan sut sentuhan hasil kerja tangan Bon Zainal pada harga yang minimum mahupun yang eksklusif.

“Songket kilang ini juga sebenarnya sangat membantu golongan pereka kerana produksi songket yang dihasilkan di kilang adalah lebih cepat, sekali gus menjimatkan banyak masa,” ujarnya.

Sut Bon Zainal yang disasarkan kepada golongan lelaki berusia 25 tahun ke atas itu boleh didapati pada harga lingkungan RM10,000 hingga RM15,000 bergantung kepada jenis material.

Bon Zainal percaya, ia menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk memelihara warisan kesenian tanah air menerusi garapan busana eksklusif bertaraf antarabangsa itu.