Memulakan karier selepas bergelar finalis program realiti televisyen, Akademi Fantasia pada tahun 2013, penyanyi yang popular menerusi single Pematah hati dan Vroom Vroom itu turut dikenali menerusi imej fesyen yang sering ditampilkan.

Nabila, 26, yang juga graduan sarjana dalam bidang Seni Bina daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberitahu, sebagai selebriti bertudung, dia tidak membataskan dirinya dengan tampil satu imej sahaja sebaliknya sentiasa cuba bereksperimentasi dengan fesyen setiap kali tampil di depan lensa.

“Saya gemarkan fesyen dan pada masa sama sentiasa merujuk trend terkini untuk disesuaikan dengan imej sebagai selebriti. Boleh dikatakan saya mengetengahkan identiti gadis moden bertudung yang bersesuaian dengan umur dan genre muzik.

“Dalam berfesyen, saya suka merujuk kepada trend antarabangsa terutama gaya yang ditampilkan pada acara Minggu-Minggu Fesyen. Selain itu, saya juga mengagumi dan mendapatkan inspirasi daripada gaya yang dibawakan selebriti tempatan, Neelofa,” katanya ketika ditemui Stailo pada sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Membersihkan muka

Tambahnya, dalam mengenakan sebarang persalinan, dia akan merujuknya terlebih dahulu kepada keluarga dan pengurus sebelum tampilkannya kepada umum. Kebiasaannya, setiap persalinan yang dipilih bergantung kepada kesesuaian sesuatu majlis atau tema.

Di sebalik lensa, Nabila merupakan seorang gadis yang gemar memakai pakaian santai atau lebih kepada elemen keselesaan dan praktikal. Cukup bergaya dengan denim dan kemeja-T, Nabila adakalanya akan berpakaian formal jika menghadiri mesyuarat bersama pihak pengurusan atau penaja.

Dalam bergaya, Nabila gemarkan penggunaan aksesori seperti cincin, jam tangan dan beg. Selain itu, dia juga gemar bertukar tas tangan mengikut kesesuaian baju.

“Aksesori yang paling penting untuk saya adalah jam tangan kerana tanpanya persalinan yang dikenakan seperti tidak lengkap. Cincin juga memainkan peranan kerana dalam bergaya ranggi, aksesori berkenaan amat penting.

“Jika berada di luar, item fesyen dan kecantikan yang sentiasa ada bersama saya adalah bedak kompak, maskara dan gincu kerana sebagai selebriti ketika berada di tempat umum, kita perlu sentiasa tampil segar dan bersedia,” jelasnya.

Imej sebagai selebriti juga tidak lengkap tanpa penjagaan kecantikan. Nabila juga seorang yang mengambil berat akan perkara itu dan sentiasa memastikan kulitnya dibersihkan setiap kali tiba di rumah selepas bekerja.

Jelasnya, dalam membersihkan muka, dia rajin menggunakan skrub untuk menanggalkan kulit mati selain memastikan solekannya ditanggalkan dengan bersih sebelum tidur.

“Saya juga akan kerap menggunakan losen dan pelembab muka untuk memastikan kulit tidak kering semasa berada di luar terutamanya ketika melakukan persembahan nyanyian atau dalam set lakonan.

“Pengambilan air yang cukup juga amat penting. Saya sentiasa meminum air untuk mengelakkan daripada dehidrasi dan kulit kering,” ujarnya.

Tambahnya dalam memilih wangian, Nabila akan mengenakan semburan berbeza pagi dan malam. Wangian yang menjadi kegemarannya adalah Miss Dior dan Signorina by Salvatore Ferragamo.