Lantaran imej anggun yang dibawakan sang puteri, dres mendapat tempat di hati bukan sahaja kanak-kanak malah setiap peringkat umur hingga dijadikan sebagai busana pilihan pada hari istimewa termasuk majlis perkahwinan.

Mengambil inspirasi daripada trend pemakaian masa kini, sebuah jenama pakaian wanita, Qamraa tampil mengetengahkan varian koleksi dres ala puteri untuk para jelitawan.

Menariknya, rekaan yang ditawarkan Qamraa tidak tertumpu kepada majlis perkahwinan semata-mata, malah sesuai digayakan ketika menjadi pengapit pengantin, bertunang, konvokesyen, kasual, majlis rasmi malah oleh ibu mengandung.

Pengasasnya, Rabiatul Adawiyah Mohd. Saad, 30, berkata, Qamraa konsisten mengeluarkan dua hingga tiga rekaan dres baharu setiap bulan sejak ditubuhkan pada tahun 2012.

“Secara dasarnya, rekaan signatur kami adalah koleksi Blossom Series yang terdiri daripada tiga rekaan iaitu Aisyah, Bella dan Diamond.

Blossom Series ini boleh didapati sepanjang tahun dan sesuai untuk penggemar gaya minimalis.

Rekaan baharu

“Rekaan baharu yang dikeluarkan setiap bulan pula adalah merupakan dres edisi terhad dengan perincian tertentu sesuai untuk digayakan pada majlis istimewa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Untuk bulan Julai, Qamraa mengeluarkan koleksi Blossom Premium yang mengetengahkan rekaan bunga tiga dimensi (3D) indah di bahagian bawah.

Ia dilengkapkan dengan rekaan juraian terbuka yang pastinya membuatkan si jelita kelihatan bak sang puteri.

Seperti semua koleksi Qamraa yang lain, Blossom Premium juga menggunakan fabrik krep como yang tidak jarang, tidak panas dan menyerap peluh.

Secara keseluruhan, terdapat lebih 15 warna terdiri daripada pastel dan terang boleh dipilih untuk semua koleksi Qamraa.

Si cantik yang berbadan montel juga tidak perlu bimbang kerana varian saiz dres Qamraa adalah dari XS sehinggalah XXL.

Paling istimewa, Qamraa turut mengambil tempahan dres mengikut kehendak pelanggan dengan mengenakan caj tambahan sebanyak RM20 sahaja.

Berharga antara RM170 hingga RM599, koleksi edisi terhad dan sedia ada Qamraa boleh didapati di butik mereka di Alor Setar, Kedah ataupun menerusi online di www.qamraa.com.