Ia seakan-akan suatu medium eskapisme yang turut memberi keterujaan buat golongan tersebut.

Namun, keseronokan itu tidak dikecap oleh pasangan yang menemani khususnya lelaki kerana perlu menunggu berjam-jam lamanya semata-mata mahu mendapatkan sepasang baju.

Mati kutu. Begitulah perkataan paling sesuai yang menggambarkan situasi tersebut.

Menyedari isu tersebut, pasangan suami isteri, Johanna Renisa Mohd. Sani, 32 dan Azri Ahmad Tan Sri Jamaludin, 32, tampil dengan satu solusi.

Menunggu

Mereka mengasaskan butik fesyen berkonsepkan kafe iaitu Style Annexe X Coffee Bay yang dilancarkan di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengasasnya, Azri Ahmad berkata, beliau cukup teruja untuk membawakan konsep tersebut walaupun ia masih asing lagi di negara ini.

Idea itu tercetus daripada pengalamannya sendiri yang perlu menunggu lama ketika menemani isteri membeli-belah.

“Secara umumnya, apabila menemani pasangan membeli-belah, kita tidak tahu apa yang harus dilakukan.

“Jadi saya terfikir, alangkah baiknya kalau ada satu tempat untuk menunggu sambil berehat tanpa perlu berjauhan daripada pasangan.

“Bertitik tolak dari situlah idea untuk menubuhkan sebuah butik berkonsepkan kafe yang menempatkan kedua-dua individu pada satu masa itu muncul,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Style Annexe X Coffee Bay menempatkan pelbagai jenama kosmetik, perkakas perhiasan rumah, beg, aksesori dan bermacam lagi produk gaya hidup jenama tempatan.

Pengunjung bukan sahaja berpeluang membeli-belah, malah menjamu selera, beristirehat atau sekadar mencuci mata.

Tambah Azri Ahmad, ia menjadi satu tarikan terkini kepada mereka yang berkunjung ke pusat beli-belah Publika.

Style Annexe X Coffee Bay diilhamkan untuk pelbagai peringkat usia sama ada suri rumah, kanak-kanak, wanita berkerjaya mahupun sang jejaka.

Sementara itu, Johanna Renisa berkata, objektif utama Style Annexe X Coffee Bay adalah bagi memberi peluang kepada pereka fesyen, usahawan, pengamal kreatif untuk menempatkan produk mereka sebagai hasil jualan.

Ia merupakan sebahagian daripada azam sempena hari kelahirannya tahun lalu untuk menyumbang sesuatu untuk komuniti setempat.

“Saya mempunyai ramai kenalan terdiri daripada usahawan fesyen dan gaya hidup yang tidak tahu cara-cara untuk memasarkan produk mereka secara berkesan.

“Dari situ, saya rasa terpanggil untuk membantu golongan ini dan memastikan setiap usaha mereka berhasil.

“Style Annexe X Coffee Bay merupakan satu platform untuk meningkatkan taraf jenama vendor tempatan,” kata graduan jurusan sains Universiti Upper Iowa itu.

Kualiti

Bahkan, difahamkan pembukaan Style Annexe X Coffee Bay itu merupakan hadiah daripada suaminya sempena hari lahir baru-baru ini.

Setiap jenama yang ingin memasuki gedung itu dapat akan dikawal selia oleh pihak pengurusan bagi memastikan kualiti terpelihara.

Kongsinya, sebanyak tiga peringkat penilaian perlu dilalui oleh para pengusaha tempatan sebelum produk mereka diletakkan di Stylle Annexe X Coffee Bay.

“Pihak kami menitikberatkan faktor kawalan harga, kualiti produk, jahitan dan pelbagai kriteria lain termasuk menyediakan khidmat nasihat kepada para vendor yang mahu menyertai kami,” jelasnya.

Setiap produk di Style Annexe X Coffee Bay dijual pada harga mampu milik yang tidak melebihi RM1,000.

Premis penuh gaya itu menyenaraikan deretan koleksi fesyen sedia pakai lebih 20 jenama fesyen tanah air.

Antara jenama fesyen tempatan yang boleh didapati di Style Annexe X Coffee Bay ialah Noh Batik, SxS, Amy Search General Products, Maci Haflin, Tsar, Fireworks, Design East dan Haizi.

Menariknya, idea untuk memperkasa bakat tempatan Style Annexe X Coffee Bay itu mencuri perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau menyempurnakan majlis pelancaran pembukaan Style Annexe X Coffee Bay sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut menyerikan acara ialah para selebriti popular seperti Noryn Aziz, Arja Lee, Hanna Tan, Amy Search, Ayda Jebat dan Yasmin Hani.

Kewujudan ruang kafe di dalam premis berkenaan memberi kemudahan kepada para pelanggan untuk menikmati juadah ringkas menyelerakan.

Turut dihidangkan secangkir kopi hangat yang tidak seharusnya dilepaskan buat penggemar kopi.

Butik berkeluasan 185 meter persegi itu terbahagi kepada beberapa bahagian yang boleh dijadikan tempat penganjuran sesebuah acara, mesyuarat dan perjumpaan termasuk sesi fotografi.

Menariknya, ruang kafe tersebut menyediakan kuih-muih warisan asli hasil tangan warga tempatan.

Antara hidangan yang mesti dicuba ialah Kluang Nasi Lemak by Rail Canteen, Tok Ti’s Roti Naik by Asli Cafe, Mak Jah’s Kuih by Mak Jah’s Corner dan set minum lewat petang warisan.

Pasangan suami isteri Johanna Renisa dan Azri Ahmad mengetengahkan butik fesyen berkonsepkan kafe bagi menambah warna baharu dalam industri fesyen tempatan.