Rata-rata begitu terpesona de­ngan raut wajah dan susuk tubuh gadis itu yang disifatkan sungguh cantik dan luar biasa.

Namun, bagi gadis tersebut, apa yang dia miliki pada hari ini masih belum cukup memuaskan hatinya demi menggapai impian memiliki bentuk dan rupa paras persis se­perti anak patung Barbie.

Demi impian tersebut, dia sanggup berbelanja sehingga £1,000 (RM5,473) sebulan dengan menggunakan wang ibu bapanya untuk tujuan kecantikan dan membeli-belah.

Gadis itu, Gabriela Jirackova, 18, berasa sungguh obses untuk menjadi patung Barbie selepas terpe­ngaruh dengan kecantikan patung tersebut yang disifatkan sungguh sempurna.

Idola

Bahkan, kerana begitu meminati patung Barbie, Jirackova telah mempunyai sehingga 300 buah koleksi patung Barbie untuk dijadikan koleksi kesayangannya.

Pada tahun ini, Jirackova bakal menjalani pembedahan pertama untuk membesarkan payudaranya daripada saiz C kepada saiz G.

Sewaktu dalam fasa untuk me­ngubah dirinya menjadi seperti patung Barbie, gadis berasal dari Prague, Republik Czech itu terpaksa membiasakan diri dengan memakai rambut palsu berwarna perang, mengenakan solekan tebal dan bulu mata palsu pada setiap hari termasuk ketika berada di dalam rumah.

“Saya perlu sentiasa kelihatan cantik setiap masa walaupun ketika berada di dalam rumah untuk mengikut jejak langkah patung Barbie,” ujar Jirackova.

Menurut Jirackova, dia menjadikan individu lain seperti Pixee Fox dan Lolo Ferrari yang juga mempunyai obsesi serupa dengannya sebagai idola untuk menjadi patung Barbie bernyawa dan telah pun mencapai impian mereka.

Oleh sebab itu, Jirackova juga yakin dia pasti akan menjadi se­perti patung Barbie suatu hari nanti dan mengimpikan sebuah kehidupan bagaikan seorang puteri.

“Saya sukar untuk mempercayai tentang kecantikan semula jadi dan percaya seseorang itu perlu menjadi ‘palsu’ untuk kelihatan cantik dan menarik,” katanya.

Oleh sebab itu, gadis tersebut juga telah merancang untuk menjalani beberapa pembedahan kosmetik seperti memasukkan implan pada punggung, membuang tulang rusuk dan pembedahan pada wajah.

Jirackova mendedahkan, setiap hari dia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam setengah untuk bersolek dan me­ngakui ia bukanlah satu perkara mudah untuk berdiri di hadapan cermin semata-mata bagi memastikan dia kelihatan benar-benar se­perti patung Barbie.

“Selain menggunakan banyak masa, saya juga terpaksa membe­lanjakan wang yang banyak, namun beruntung kerana ia dibiayai oleh ibu bapa saya setiap bulan,” tuturnya.

Dakwa gadis itu, ibu bapanya tidak mempunyai masalah terhadap impiannya untuk menjadi patung Barbie memandangkan mereka sendiri berasa gembira melihat anaknya dapat mencapai impian yang diidam-idamkan itu.

Ibu gadis tersebut, Romana, 53, berkata, pada mulanya dia tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh anaknya untuk berubah menjadi patung Barbie, namun akhirnya dia sedar perkara tersebut membuatkan anaknya berasa gembira.

“Saya sebenarnya bimbang de­ngan kesihatannya dan tidak menggalakkan anak saya untuk membuat pembedahan,” kata Romana.

Sokongan

Namun begitu, Romana memberitahu bahawa dia tetap akan menyokong setiap tindakan yang dilakukan oleh anaknya jika perkara tersebut boleh membuatkan hidup gadis tersebut bahagia dan gembira.

Bagi Jirackova, dia tidak mahu dirinya dijadikan contoh oleh remaja lain yang turut mempunyai keinginan untuk menjadi patung Barbie.

Bahkan, dia mengakui pernah mendapat kecaman daripada ibu-ibu lain yang mendakwa dia memberi pengaruh negatif kepada anak mereka.

“Apa yang saya lakukan ini tidaklah seteruk seperti apa yang dilakukan oleh kebanyakan sele­briti dengan mengambil dadah, melakukan seks bebas atau melakukan jenayah,” jelas Jirackova yang menyimpan impian untuk berhijrah ke Amerika Syarikat apabila berusia 20 tahun nanti.

Gadis berusia 18 tahun dibiayai oleh ibu bapa setiap bulan bagi membolehkan dirinya tampil dengan imej seperti patung Barbie yang menawan.