Meskipun hanya mengenakan jean pendek bersama top berwarna putih yang cukup kasual, personaliti dan karakter Hadid sebagai seorang ikon fesyen tetap menyerlah.

Olahan gaya santai diiringi rambut perang yang dibiar lepas bersama santunan kaca mata rona biru merangsang mood percutian buat sesiapa sahaja yang melihat gambar tersebut di aplikasi sosial Instagram.

Lebih daripada itu, terdapat satu lagi elemen penting dalam foto yang dimuat naik Hadid yang tanpa disangka menjadi trend hangat wanita masa kini.

Elemen dimaksudkan ialah beg manik potongan empat segi bersama paduan warna oren, putih, merah jambu dan lut sinar yang sentiasa dibawa ke mana sahaja sepanjang percutian musim panasnya.

Pemerhati dan Pengkritik fesyen dari Amerika Syarikat, Lindsey Lanquist berkata, gaya beg manik yang sebelum ini kurang diberi perhatian tampak begitu malar segar digayakan Hadid sehingga berhasil mencipta fenomenanya sendiri.

“Secara jujurnya, apabila melihat gambar Hadid di Instagram, saya melihat persalinannya sebagai hanya biasa yang sememangnya praktikal digayakan oleh kebanyakan orang sewaktu bercuti.

“Namun, apabila terpandang beg manik tersebut, saya melihat betapa karakter elegan Hadid dalam dunia peragaan diserlahkan dengan begitu baik oleh kilauan beg manik yang dahulunya hanya menjadi permainan kanak-kanak di rumah. Impaknya automatik membuatkan saya juga ingin mendapatkan satu beg manik seperti Hadid,” kongsinya teruja.

Kraf tangan

Tidak pernah dianggap sebagai aksesori yang bernilai tinggi, beg manik sama ada di negara kita mahupun di luar negara secara umumnya sebelum ini hanya dianggap sebagai kraf tangan semata-mata.

Di Malaysia umpamanya, meskipun beg manik dari Sarawak dan Sabah telah lama dihasilkan dengan susunan manik yang cukup indah dan menarik, kehadirannya dipandang sepi dek kerana skeptikal ia bukanlah diperbuat daripada material kulit yang digunakan oleh kebanyakan jenama beg terkenal.

Namun, apabila ianya digayakan oleh model hebat seperti Hadid, estetika beg manik bagaikan diberi nafas baharu sehinggakan berada dalam senarai tiga aksesori wajib fesyen bagi tahun 2018 oleh blog fesyen dari Britain, Independent.

Paling beruntung pastinya pereka beg manik digayakan Hadid, Susan Alexandra, seorang pereka barangan kemas di Bandar New York, Amerika Syarikat.

Menggunakan namanya sendiri sebagai jenama, Alexandra bermula dengan menghasilkan sebuah beg tote manik bercorak buah tembikai, dia percaya antara sebab populariti hasil tangannya mendadak naik adalah kerana sifat perincian manik itu sendiri yang cukup indah, berkilau, teliti, klasik dan unik.

“Sebagai seorang pereka barang kemas selama enam tahun lamanya, saya cukup obses dengan item yang cantik, berkilat dan sedikit pelik.

Gemerlapan manik

“Saya tidak pernah merancang untuk bertukar kerjaya menjadi seorang pereka beg wanita. Kebetulan, sewaktu melewati sebuah gerai menjual manik di Chinatown, New York tahun lalu, saya tertarik dengan ribuan gemerlapan manik yang disusun di atas meja jualan, lantas membeli dan menghasilkan beg tembikai,” jelasnya mengenai penglibatan awalnya dalam dunia rekaan beg.

Menggunakan varian saiz, warna dan bentuk manik termasuklah manik material kristal dan plastik, Alexandra akan terlebih dahulu membina rangka beg dan memilih fabrik lapik yang sesuai dengan rona beg.

Berpuas hati dengan bentuk beg sama ada beg kapit, beg tote bersaiz lebar dan besar, beg silang, beg hobo (bertali pendek), beg kepit mahupun beg uncang, Alexandra secara peribadi akan menjahit kesemua beg manik di bawah jenamanya dengan penuh teliti.

“Bagi saya beg manik perlu mempunyai nilai tarikan tersendiri. Untuk menyesuaikan relevansi beg manik dalam kalangan wanita kontemporari, kami sentiasa memastikan warna dipilih adalah paduan kategori terang dan segar.

Pelopor

“Sebagai contoh, beg Merry yang dipakai oleh Hadid sangat digemari ramai kerana warnanya disusun secara bersilang dengan kombinasi warna segar dan menarik pandangan. Selain itu, saya juga gemar menggunakan motif warna kuning, biru, hijau dan oren,” katanya dalam satu temu bual pada hari pelancaran pertunjukan fesyen berprestij, Minggu Fesyen New York (NYFW) pada tahun lalu.

Secara umumnya, boleh dikatakan bahawa Alexandra adalah merupakan pelopor kepada perkembangan fesyen retro beg manik yang kini cukup digilai oleh wanita pencinta fesyen.

Mempunyai 28 koleksi beg manik secara keseluruhan termasuk siri buah-buahan seperti Watermelon Dream, Strawberry, Monogram Beaded dan Ash Bag.

Lebih menghangatkan populariti luar biasa beg manik Alexandra, beberapa jenama terkenal termasuk Zara dan Topshop turut sama mengambil peluang mempelbagaikan pilihan produk mereka dengan menghasilkan beg tote manik untuk peminatnya.

Dijual dengan harga sekitar RM185 hingga RM300, beg manik sememangnya mencipta fenomena luar biasa dalam trend perkembangan fesyen dunia.

Sama ada bergaya kasual mahupun formal, penggayaan beg klasik tersebut paling banyak dilihat digayakan di kota metropolitan New York, Amerika Syarikat, United Kingdom, London malah di Paris, Perancis.

Justeru, memandangkan beg manik kini sudah mempunyai ‘tempat’ dalam dunia fesyen, mungkin rakyat di negara ini yang sememangnya berbakat dalam penghasilan aksesori berasaskan manik, boleh menggunakan kesempatan ini untuk sama-sama menghasilkan karya yang boleh dijulang.

Bermula dengan penampilan beg manik daripada Susan Alexandra yang digayakan beberapa ikon ternama dunia fesyen termasuk Gigi Hadid, Kate Moss, Irene Kim dan aktres Emily Ratajkowski, beg tangan berasaskan manik kini semakin digilai pencinta fesyen luar negara untuk bergaya stailo.