Walaupun hampir setiap hari mengenakan solekan ketika bekerja dan bersantai, dia mahu tampil lebih istimewa berbanding hari biasa.

Manakan tidak, eksekutif projek itu akan bertemu dengan kekasih hati setelah hampir tiga bulan tidak bersua kerana tuntutan kerja.

Akhirnya, dia memilih solekan sweet natural look dengan pemerah pipi warna merah jambu agar kelihatan lebih manis dan ayu.

Tangannya pantas memulakan solekan. Setelah menyapu sedikit pelembab, dia kemudian memicit sedikit bedak asas atau foundation ke belakang tangannya.

Menggunakan sebatang berus, Nur Hidayah mula mencalit cecair berwarna coklat muda itu ke sekitar wajah sebelum diratakan.

Dalam masa yang singkat, wajahnya kelihatan berseri dan halus berbanding sebelum kosmetik tersebut disapu.

Gadis kelahiran Perlis itu berkata, bedak asas adalah perkara yang sangat penting bagi kaki solek sepertinya.

Akuinya, dia tidak pernah keluar dari rumah jika tidak mengenakan bedak asas kerana kekurangan yang terdapat pada wajahnya.

“Masalah utama saya adalah memiliki tona kulit tidak sekata di bahagian bawah mata dan pipi akibat kesan tudung. Selain itu, saya juga memiliki tanda lahir seakan-akan tahi lalat kecil pada wajah.

“Disebabkan itu, walaupun tidak mengenakan solekan penuh, saya akan memakai sekurang-kurangnya bedak asas untuk menutup cela tersebut,” katanya yang juga merupakan seorang jurusolek sambilan di sekitar Lembah Klang.

Tambah Nur Hidayah, kerja hakiki dan sambilan menuntutnya bertemu orang baharu hampir setiap hari.

“Atas sebab itu, saya perlu sentiasa tampil yakin dan menarik. Mempunyai wajah yang sempurna adalah perkara yang paling saya utamakan dan saya tidak berani keluar jika tidak mengenakan bedak asas,” jelasnya yang menggunakan nama komersial Dayah Jelita untuk khidmat solekan.

Sejarah

Perkongsian Nur Hidayah membuktikan bedak asas berperanan menyamar noda, parut jerawat atau apa sahaja yang terdapat pada wajah individu.

Mengikut sejarah, bedak asas dicipta oleh wanita Mesir kuno sekitar 3,000 tahun Sebelum Masihi. Pada waktu itu, ia berbentuk serbuk putih diperbuat daripada kapur dan serbuk timah.

Ia dipakai di muka agar kulit yang kusam dan gelap akibat sinaran matahari dapat ditutup memandangkan trend pada ketika itu ialah wanita mestilah berwajah putih dan pucat seakan-akan mayat.

Kemunculan bedak asas komersial pertama, Max Factor’s Pan-Cake pada tahun 1935 menjadi titik tolak meluasnya penggunaan alat kosmetik itu dalam kalangan wanita.

Menurut Jurusolek Profesional, Asy Shadilla Abdullah, 34, terdapat tiga jenis bedak asas yang popular di pasaran iaitu cecair, batang dan krim.

Asy Shadilla yang sering menjadi jurusolek kepada artis terkenal seperti Lisa Surihani, Scha Al-Yahya, Elizad dan Izara Aishah berkata, perkara pertama dalam memilih bedak asas ialah mengenal pasti jenis kulit.

“Pengguna perlu tahu kategori kulit wajah mereka sama ada jenis normal, kering, berminyak ataupun sensitif.

“Jangan memilih bedak asas semberono kerana ia akan mempengaruhi keseluruhan solekan anda,” katanya yang juga merupakan pensyarah di Geomatika University College, Kuala Lumpur.

Katanya, bedak asas jenis krim mengandungi bahan pelembab dan sesuai bagi mereka yang berkulit kering, tetapi tidak sesuai untuk kulit berminyak kerana diasaskan daripada minyak yang boleh menyebabkan masalah kulit seperti jerawat.

Ton warna

Tambahnya, mereka dengan kulit berminyak boleh memilih bedak asas jenis stik yang mempunyai tekstur lebih keras dan kering.

Bedak asas jenis cecair sesuai dipakai untuk semua jenis kulit seperti matte dan luminious untuk kulit berminyak, manakala bagi kulit kering.

“Bedak asas tidak boleh dipakai terus ke kulit wajah tanpa lapisan perlindungan daripada produk penjagaan kulit seperti pelembab dan primer. Jika tiada lapisan, liang roma akan terbuka dan bedak asas dapat masuk membuatkan pori tersumbat.

“Mereka yang mempunyai kulit bermasalah juga boleh menggunakan bedak asas, tetapi perlu memakai produk penjagaan kulit dengan lebih tebal,” jelasnya yang sudah lapan tahun berkecimpung dalam bidang solekan.

Menurut Asy Shadilla, terdapat tiga kumpulan ton warna bedak asas iaitu kuning, beige dan merah jambu.

Kumpulan tersebut kemudian dipecahkan kepada warna paling cerah sehinggalah paling gelap.

“Bagi orang Asia, ton warna yang paling sesuai ialah kuning. Tidak kira sama ada berkulit putih ataupun gelap, ton kita masih sama iaitu putih kekuningan.

“Ton beige pula lebih sesuai untuk orang kulit putih dari Barat yang sedikit gelap, manakala ton merah jambu untuk yang berkulit putih,” ujarnya mengakui ramai kaki solek salah memilih ton warna merah jambu kerana ingin tampil putih kemerah-merahan seperti artis K-Pop.

Katanya, efek kemerah-merahan bukanlah dihasilkan oleh bedak asas, tetapi melalui kosmetik lain termasuk pemerah pipi dan pembayang mata.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan warna bedak asas, dia berkata, ia perlu mengikut warna tangan pemakai.

“Sebelum membeli, picitkan sedikit bedak asas dan oleskan pada tangan. Jangan bimbang jika kesemua warna yang dicuba tidak sama dengan warna tangan kerana bedak asas boleh dicampur untuk mendapatkan warna yang sesuai.

“Paling penting, dapatkan khidmat pembantu jualan untuk menunjukkan warna bedak asas di bawah kumpulan ton kuning agar solekan anda terlihat neutral dan senada dengan bahagian kulit yang lain,” kongsi ibu kepada empat orang anak itu.

Sementara itu, Pengasas Imaan Jardin Foundation, Siti Mizalwa Idris berkata, terdapat beberapa perkara yang boleh diambil kira oleh pengguna dalam memilih jenama bedak asas.

Katanya, pengguna disaran memilih bedak asas yang mempunyai pelindung matahari (SPF) di antara SPF 15 ke SPF 30 memandangkan cuaca panas di negara ini.

Selain itu, pengguna juga perlu bijak memilih bedak asas yang berfungsi bukan hanya untuk menyamar noda, malah mampu membaiki dan memelihara struktur kulit.

Minyak argan

“Sebagai contoh, bedak asas yang mengandungi minyak argan seperti Imaan Jardin Foundation mampu melambatkan penuaan, memutihkan kulit, menyembuhkan luka dan mengubati jerawat.

“Memandangkan kosmetik ini adalah asas dalam solekan, kekerapan menggunakannya tidak akan menjadi masalah kepada pengguna kerana ia juga terkandung kebaikan untuk kulit,” ujarnya yang juga seorang perunding imej profesional.

Tambahnya, kepentingan bedak asas juga telah membawa kepada pelbagai inovasi produk yang lebih bersifat mesra pengguna.

“Pengasas produk seperti saya memahami keperluan wanita Malaysia terutamanya Muslimah yang ingin bersolek tetapi kurang keyakinan mengenai kandungan produk.

“Atas sebab itu, terhasilnya pelbagai produk di pasaran tempatan termasuklah produk kami yang mendapat sijil halal untuk kegunaan semua wanita,” katanya menutup bicara.