Jenama fesyen terkemuka dunia seperti Valentino, Versace, Prada, Armani, Dolce & Gabbana, Missoni dan Zegna semuanya berasal dari negara tersebut.

Malah, pereka fesyen ternama seperti Alessandra Facchinetti, Carlo Palazzi, Daniela Zuccoli dan Elsa Schiaparelli bangga dilahirkan di Itali.

Dibesarkan dalam persekitaran yang menyambut baik perkembangan fesyen, ikon muda dari Milan, Itali, Fabio Attanasio, 30, disifatkan sebagai menambah warna yang memeriahkan lagi industri fesyen tempatan.

Attanasio merupakan penulis fesyen untuk majalah Itali seperti GQ Italy, Fashion Illustrated, Arbiter, Vedomosti dan RBC Daily.

Nama tersebut kini menjadi ikutan dalam kalangan penggemar fesyen lelaki lebih-lebih lagi mendapat sambutan khalayak terhadap artikel yang ditulis berkaitan panduan penggayaan.

Ikuti temubual Kosmo! bersama Fabio Attanasio untuk mendalami personaliti ikon fesyen muda ini.

Kosmo!: Bagaimanakah anda mula menceburi industri ini?

Attanasio: Sewaktu kecil, saya kerap melihat gaya ayah yang pulang ke rumah sambil menggayakan sut dan bertali leher.

Dia memandang tinggi aspek kekemasan dan lama-kelamaan minat itu semakin dirasakan dalam diri ini.

Membesar di Milan, Itali yang merupakan hab artisan produk fesyen semestinya membuatkan saya teruja untuk mendalami ilmu berkaitan fesyen.

Ketika berumur 18 tahun, saya mula serius sehingga menghasilkan blog sendiri iaitu thebespokedudes.com.

Boleh ceritakan sedikit mengenai thebespokedudes.com?

Laman blog ini merupakan suara bagi golongan muda yang membincangkan mengenai jahitan dan kerja tangan bespoke dalam bidang fesyen.

Saya percaya, ramai golongan muda yang berminat untuk tampil bergaya namun tidak begitu arif bagaimana untuk berbuat demikian.

Justeru, kami merantau dari satu negara ke negara lain demi mengumpulkan panduan penggayaan khususnya bagi golongan lelaki.

Ia kini menjadi ikutan lebih 10,000 pembaca dari seluruh dunia dan pada masa sama menjadi inspirasi bagi orang lain.

Apakah perkara paling asas yang perlu diberi perhatian ketika bergaya?

Bagi saya, kunci utama kepada penggayaan yang sempurna ialah keselesaan.

Jika kita terlalu cerewet dalam sesuatu hal remeh, ia akan menjejaskan keyakinan dan imej kita nanti.

Misalnya, kain yang diselit pada dada poket sut. Anda tidak perlu melipatnya betul-betul mengikut bucu dan sisi sebaliknya sumbat sahaja di dalam poket.

Sebenarnya, yang ringkas itu akan tampak lebih elegan.

Adakah jenama itu penting dalam menentukan gaya individu?

Hakikatnya, jenama itu tidak lebih sekadar memberi keyakinan kepada si pemakai sahaja.

Kita tidak perlu pun bergantung kepada jenama untuk tampil menarik, sebaliknya anda boleh menjadi pereka sendiri untuk gaya harian.

Pastikan anda memakai saiz yang tepat kerana pakaian yang terletak pada tubuh itu membuatkan penampilan anda kemas.

Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Saya kini sedang giat mempromosikan cermin mata The Bespoke Dudes.

Ia merupakan cermin mata buatan tangan artisan dari Itali.

The Bespoke Dudes berkolaborasi dengan Lord’s sebagai pengedar sah di Malaysia.

Lebih 13 koleksi cermin mata The Bespoke Dudes boleh didapati di butik Lord’s yang terletak di pusat beli-belah Bangsar Sopping Centre, Jalan Maarof, Kuala Lumpur.