Baju kurung Johor Riau rekaan asli yang dipakai neneknya mempunyai poket di sebelah kiri yang lazimnya digunakan untuk mengisi sirih dan sapu tangan.

Kain batik yang disarung pula tidak dijahit, sebaliknya dilipat secara manual dan dikemaskan dengan seutas tali dipanggil tali perut.

Arwah ibu Maslin, Zainab Mohd. Amin yang merupakan seorang guru turut mempunyai kegemaran serupa. Pakaian itu bagaikan menjadi uniform wajib baginya sejak zaman muda.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Daripada situ, timbul ilham Maslin untuk mengasaskan label Madam-M.co bagi mempopularkan kembali rekaan busana klasik seperti baju kurung Johor Riau atau baju kurung Johor berpoket.

“Reka bentuk kurung Johor Riau yang kembang ke bawah, labuh sehingga ke paras lutut dan berpesak besar menonjolkan imej wanita Melayu yang sopan serta anggun.

Pilihan warna

“Saya mengekalkan penggunaan fabrik asal iaitu kain kapas kasa Rubiah yang mempunyai sembilan pilihan warna buat masa ini. Ia tidak panas, malah selesa digayakan sebagai pakaian harian ke pejabat.

“Kurung Johor Riau digandingkan dengan kain batik aneka motif seperti flora, parang dan bunga merak,” ujarnya kepada Kosmo! pada majlis pelancaran jenama Madam-M.co di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Anak kelahiran Mersing, Johor itu menjelaskan, Madam-M.co yang turut membariskan koleksi busana tradisional asli Melayu daripada pelbagai negeri lain seperti Pahang dan Kedah.

Ibu kepada dua orang cahaya itu berharap, jenama yang diasaskan itu berupaya menonjolkan rekaan yang mencerminkan pesona gaya wanita Malaysia yang mempunyai kekuatan tersendiri dan tampil berkeyakinan menerusi rekaan pilihan mereka.

Bukan sekadar mengimbau nostalgia silam, ia diketengahkan untuk mempopularkan kembali busana klasik yang tinggi nilai budaya supaya tidak hilang ditelan zaman.

“Busana yang saya ketengahkan adalah hasil reka bentuk sendiri setelah merujuk kepada contoh rekaan asal. Ia tiada tokok tambah supaya keasliannya terpelihara.

“Saya sendiri sebenarnya boleh menjahit dan mewarisi kemahiran itu daripada arwah ibu dan nenek,” tutur graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang seni itu.