Begitulah yang disifatkan pasangan merpati dua sejoli, Nursyafiqah Aina Abdul Wahab, 24, dan Hafiz Mahamad, 25, yang buat pertama kalinya meraikan Aidilfitri sebagai pasangan suami isteri baru-baru ini.

Bagi pasangan popular di media sosial atau istilahnya instafamous itu, ia merupakan lebaran paling bermakna dalam hidup mereka dari segenap dimensi.

Manakan tidak, selain menyambut lebaran bersama-sama, mereka juga mengorak langkah berani dengan menceburi bidang fesyen yang dihasilkan khas untuk Syawal tahun ini.

Nursyafiqah Aina bertanggungjawab ke atas jenama busana kurung moden wanita, Syafiqah Aina RTW manakala Hafiz pula dengan jenama baju Melayu moden, Teruna by Hafiz Mahamad.

Lantaran itu, nama Nursyafiqah Aina dan Hafiz kini disifatkan sebagai pendatang baharu yang memeriahkan lagi industri fesyen tanah air.

Menariknya, koleksi busana kedua-dua jenama tersebut yang diperkenalkan sekitar dua bulan lalu itu sudah habis dijual sebelum kedatangan bulan Ramadan lagi.

Kejayaan tersebut dikatakan berkait rapat dengan populariti dan promosi besar-besaran yang kreatif.

Namun, di sebalik kegigihan tersebut, Aidilfitri yang disambut kedua-dua insan itu sama sahaja seperti kebanyakan umat Islam lain.

Kata Nursyafiqah Aina, dia sangat teruja dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga belah suaminya di Kota Bharu, Kelantan.

Penggiliran tersebut tidak sedikit pun mengecewakan dirinya kerana bagi Nursyafiqah Aina, ia memberinya ruang merasai kemeriahan suasana beraya di kampung.

Begitu pun, Nursyafiqah Aina mengakui dirinya telah pun melakukan persiapan rapi sebelum beraya di Kelantan.

“Antara persiapan yang saya lakukan bagi memastikan Aidilfitri ini berjalan lancar adalah dengan bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Maklumlah, kami ini baru sahaja berkahwin maka perlu berjumpa dengan saudara-mara untuk saling mengenali dengan lebih mendalam.

Menyesuaikan diri

“Selain itu, saya juga perlu menyesuaikan diri dengan budaya, loghat, makanan serta keadaan persekitaran di negeri tersebut kerana ia jauh berbeza dari negeri kelahiran saya iaitu Johor,” ujar anak keempat daripada enam orang adik-beradik itu.

Nursyafiqah Aina mengakui, suasana Aidilfitri di Kelantan itu cukup berbeza kerana walaupun perayaan itu disambut secara sederhana tetapi kemeriahan itu cukup terasa.

Hal ini kerana baginya, menyambut hari raya di bandar tidak semeriah seperti di kawasan kampung.

Katanya, kemeriahan di Kelantan itu kebiasaannya berpanjangan sehingga menginjak tempoh sebulan Syawal dengan rata-rata orang tempatan masih lagi menggayakan busana tradisional.

Ia berbeza dengan keadaan di Johor Bahru yang mana busana tradisional lazimnya dipakai pada beberapa hari terawal bulan Syawal sahaja.

Sedondon

Nursyafiqah Aina turut berkongsi, terdapat beberapa perbezaan antara menyambut hari raya secara solo dengan keadaan setelah berkeluarga.

Kongsinya, sebelum ini ketika masih bujang tidak banyak persiapan raya yang perlu dilakukan.

Namun, setelah menjadi seorang isteri, persiapan yang perlu dilakukan bukan sahaja kelengkapan dirinya tetapi juga untuk suami tercinta.

“Sebelum ini saya tidak berapa mengambil kisah sangat mengenai kuih raya, pemilihan baju yang sedondon mahupun aksesori rumah ketika hari raya.

“Disebabkan kini saya sudah memiliki rumah dan keluarga sendiri, saya perlu memikirkan terlebih dahulu mengenai semua hal ini sebelum menyambut kunjungan tetamu untuk beraya.

“Saya akui, bukan mudah untuk mendapatkan baju raya yang sedondon untuk dipakai sepanjang lebaran,” tuturnya sambil tertawa kecil.

Nursyafiqah Aina dan Hafiz masing-masing menggayakan busana daripada jenama sendiri iaitu Syafiqah Aina RTW dan Teruna by Hafiz Mahamad.

Baju kurung moden jenama Syafiqah Aina RTW yang dihasilkannya itu cukup elegan dan manis untuk dipakai sepanjang lebaran.

Ia ditambah pula dengan tambahan perincian aksesori eksklusif yang menyerlahkan lagi gaya feminin.

Selain itu, fabrik yang digunakan seperti satin dan kapas merupakan pilihan tepat untuk digayakan sepanjang Aidilfitri.

Warna pilihan

Dari segi pemilihan warna busana, Nursyafiqah Aina bermain dengan rona ceria seperti biru dan putih yang berupaya menyerlahkan lagi suasana riang ria Aidilfitri.

Baju Melayu jenama Teruna by Hafiz Mahamad pula merupakan baju Melayu klasik cekak musang yang mengekalkan ciri kesederhanaan.

Ia menampilkan varian fabrik seperti satin, kapas dan kapas campuran bertekstur yang selesa dipakai walaupun dalam cuaca panas.

Identiti klasik busana koleksi tersebut merupakan pilihan Hafiz namun disempurnakan dengan potongan slim fit.

Warna pilihan Hafiz pada hari lebaran ialah coklat, biru dan hijau kerana ia dilihat mampu menyerlahkan nilai maskulin sang jejaka.

Bagi Hafiz pula, definisi Aidilfitri dalam kamus hidupnya ialah masa terbaik untuk saling mengenali sesama seluruh ahli keluarga baharu.

Katanya, sebelum ini tidak banyak masa atau kesempatan yang dimiliki untuk mengenali saudara dengan lebih dekat namun, Syawal merupakan bulan mulia yang menyediakan platform berkenaan.

Tambah Hafiz, ia disempurnakan pula dengan jalinan ukhuwah menerusi aktiviti gotong-royong dalam menyediakan juadah istimewa sepanjang Aidilfitri.

Katanya, juadah yang wajib disediakan setiap tahun ialah seperti rendang, serunding, nasi dagang dan juga sate.

“Memang benar makanan itu merupakan salah satu elemen penting pada hari raya.

“Namun, kemeriahan suasana menyiapkan hidangan secara bergotong-royong sesama seluruh keluarga itu sebenarnya yang lebih penting,” jelasnya.

Sementara itu, Hafiz mencelah, terdapat cabaran yang perlu diharungi bagi mendapatkan nikmat Aidilfitri seperti menempuh kesesakan lalu lintas di atas jalan raya.

Kata Hafiz, kebiasaannya perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan akan memakan masa hampir lapan jam.

Namun, ketika hari-hari perayaan tertentu, ia boleh meningkat sehingga lebih 18 jam.

“Perjalanan itu memang jauh jadi, kami berdua memang perlu bersedia dari awal.

“Walaupun perjalanan itu memang memenatkan, tetapi semestinya pengalaman itu memberi kami sesuatu yang sangat berharga,” ujarnya menutup bicara.

Pasangan pendatang baharu dalam industri fesyen tempatan, Nursyafiqah Aina dan Hafiz menyambut Aidilfitri di Kelantan dengan menggayakan busana moden ciptaan sendiri.