Ditambah pula dengan hobi membeli-belah pakaian di pusat beli-belah terkemuka ibu kota, membuatkan Nur Aqilah Hanoum atau mesra disapa Aqilah teruja untuk menghasilkan busananya sendiri suatu hari nanti.

Namun, kekangan utama yang dihadapi ialah dia langsung tidak mempunyai sedikit pun ilmu jahitan.

Meskipun begitu, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat anak sulung daripada empat beradik itu untuk menceburi bidang perusahaan fesyen.

“Saya mengambil inisiatif menjual baju sedia pakai yang diimport dari China sejak di bangku sekolah.

“Baju tersebut saya jenamakan semula kemudian dijual secara kecil-kecilan menerusi media sosial.

“Alhamdulillah, pulangan jualan itu dapat saya gunakan untuk membeli sebuah mesin jahit industri berharga RM1,200 dan melanjutkan pelajaran,” kata graduan peringkat ijazah sarjana muda jurusan Pemasaran Fesyen di salah sebuah universiti swasta di Shah Alam, Selangor.

Dari situ, Aqilah mula belajar menjahit secara formal di universiti selama hampir tiga tahun setengah.

Malah, dengan menjahit juga dapat menjana sumber pendapatan sampingan buat Aqilah sebagai kelangsungan hidup di peringkat universiti.

Aqilah turut gigih mempelajari selok-belok jahitan menerusi tontonan video tutorial di laman Youtube sebagai input tambahan buat dirinya.

Dari situ, lahir idea untuk menghasilkan koleksi baju raya bertema kira-kira enam tahun lalu.

“Masa mula-mula saya tonton di Youtube nampak macam senang. Jadi saya terus ikut langkah demi langkah jahitan itu sehingga akhirnya terhasil koleksi baju raya sedia pakai Que Qollection mengikut tema tertentu.

“Antara tema koleksi yang pernah dihasilkan ialah puteri-puteri watak animasi Disney, drama Gossip Girl dan Mean Girl serta tema ikon selebriti, Britney Spears.

“Saya memang suka tampilkan tema tertentu dalam setiap koleksi supaya ia lebih bermakna kerana mempunyai inspirasi di sebalik busana itu,” jelasnya.

Aqilah tidak menolak kemungkinan bakat menjahitnya itu diwarisi daripada ibunya.

Hal ini kerana ibunya memang gemar menjahit malah baju kahwin mereka turut dijahit sendiri.

Walaupun dia tidak belajar secara terus daripada ibunya tetapi yakin ia merupakan bakat yang diwarisi secara tidak langsung.

Aqilah mula serius dengan jenama Que Qollection apabila mengambil keputusan menghasilkan sendiri pakaian pengantin untuk dipakai pada majlis persandingannya Julai lalu.

Walaupun hasrat membuka butik sendiri memang sudah lama diidam-idamkan, namun Aqilah terpaksa akur apabila dihimpit kekangan dari segi ruang dan masa.

Sebaik majlis perkahwinannya berlangsung pertengahan tahun lalu, Aqilah menganggap ia merupakan momen terbaik sebagai permulaan segar suatu kehidupan baharu.

Detik indah

Aqilah nekad menggunakan wang hasil pusingan modal menerusi jahitan separuh masa, wang simpanan, duit salam kaut majlis kahwin termasuk wang hantaran dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM50 ribu untuk membuka butiknya di Shah Alam penghujung tahun lalu.

Pertaruhannya itu nyata membuahkan hasil apabila hampir setiap hari butiknya dikunjungi oleh pelanggan baharu.

“Perkara yang paling digeruni ialah sekiranya kita sudah buka butik fizikal, namun tidak ada orang yang datang, malangnya rasa sangsi itu nyata meleset.

“Tidak disangka-sangka walaupun baru sebulan butik ini dibuka, pengunjung tidak henti-henti datang biarpun pada hari bekerja.

“Syukur alhamdulillah, perkara paling digeruni itulah yang menjadi antara termanis dalam momen perusahaan ini,” ujarnya yang melayan kehadiran secara purata empat pengunjung setiap hari.

Walaupun pengunjung datang bersama ragam yang pelbagai, Aqilah tidak sedikit pun ralat melayan kehendak mereka.

Hal ini kerana baginya, cabaran memenuhi seratus peratus kehendak pelanggan merupakan satu ruang penambahbaikan kepada perusahaannya.

Bahkan, ia juga memberikan kepuasan terhadap dirinya.

Ujarnya, pelanggan boleh membuat janji temu sama ada menerusi aplikasi WhatsApp, e-mel, platform media sosial seperti Instagram dan Facebook atau datang terus ke butiknya. Kebiasaannya, rundingan akan dilaksanakan terlebih dahulu mengenai sesuatu rekaan yang diingini

“Kalau boleh, kita tidak mahu rekaan itu berulang-ulang. Jadi, setiap pelanggan memiliki rekaan tersendiri.

“Ada pelanggan yang datang membawa gambar contoh rekaan yang diimpikan kemudian kita hasilkan semula dengan perincian baharu,” jelasnya.

Dari segi penggunaan material fabrik pula, kebanyakannya diimport dari negara pengeluar tekstil terbesar seperti Indonesia, Vietnam dan China.

Hal ini kerana kain-kain tersebut mudah diperoleh selain boleh didapati pada harga yang berpatutan.

Menariknya, kain yang diimport dari negara berkenaan adalah lebih tinggi kualitinya berbanding yang terdapat di pasaran tempatan.

Jelas Aqilah, kepelbagaian sumber tersebut memberikan pelanggannya variasi pilihan fabrik yang pelbagai.

Harga

Oleh sebab itu, Aqilah mahu pelanggannya berpuas hati dengan setiap sen yang dibelanjakan.

Aqilah menawarkan perkhidmatan jahitan pakaian di butiknya bermula dari RM180 bagi pakaian sedia pakai dan busana untuk hari keraian.

Bagi pelanggan yang ingin merasai sentuhan pakaian pengantin Aqilah pula boleh mendapatkannya pada harga bermula RM800 tidak termasuk harga kain.

Que Qollection memiliki dua orang pekerja pemotong teras dan seorang tukang jahit. Oleh itu, setiap satu busana yang ditempah di Que Qollection dijangka dapat disiapkan antara empat hingga enam minggu.

“Semua orang boleh tampil menawan pada harga yang sangat berbaloi.

“Pada masa sama, pelanggan dapat menikmati kualiti perkhidmatan setaraf dengan pereka fesyen pengantin terkemuka negara,” jelasnya.