Gadis yang berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Thailand yang sering dilihat menjadi duta kepada produk tempatan serta antarabangsa itu juga boleh dikatakan mempunyai gaya berunsur androgini namun masih mengekalkan keayuan sebagai seorang gadis.

Androgini dalam terma fesyen bermaksud keupayaan seseorang untuk tampil menyerupai jantina yang berbeza. Mungkin kerana itu, dirinya pernah menggalas watak gadis berperwatakan lelaki seperti drama My Coffee Prince.

Menyingkap fesyen Janna sepanjang bergelar insan seni, orang ramai telah menyaksikan pelbagai transisi pelatun lagu Mungkin Saja ini dalam bergaya sama ada di laman sosial mahupun pada acara glamor.

Menurut Janna dalam mentafsir gaya kesukaannya, dia gemarkan gaya yang ringkas dan kasual seperti mengenakan kemeja-T, seluar jean dan kasut sniker.

“Sebagai selebriti, gaya dan pemakaian merupakan perkara yang perlu diambil perhatian terutama ketika berada dalam khalayak umum. Di sebalik lensa, saya ialah seorang gadis yang bersahaja dan lebih gemarkan gaya kasual.

“Namun, ketika bekerja atau menghadiri acara, saya sebolehnya akan mengikut tema tetapi masih mengekalkan identiti fesyen sendiri. Dalam pemakaian adibusana (haute couture), saya gemarkan sesuatu yang tidak berlebihan dengan perincian tetapi kemas serta feminin,” katanya ketika ditemui pada majlis NH Colla Plus 3 Date With Janna Nick di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah gadis asal Sungai Petani, Kedah itu, dalam pemakaian dia juga menitikberatkan gaya yang sopan tidak kira dalam gaya glamor mahupun santai.

Menurutnya lagi, dia tidak mempunyai sebarang jenama pilihan yang spesifik dan lebih gemar memilih pakaian jika rekaannya padan dengan ‘deria fesyennya’.

Apabila ditanya mengenai imej rambut, Janna menjelaskan buat masa ini dia selesa berambut pendek kerana ia lebih mudah diurus.

Eksperimentasi

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, gaya rambut tidak menjejaskan imej femininnya sebagai seorang wanita malah ia memberikan satu perspektif dan imej tersendiri sebagai seorang selebriti.

“Bukan mudah untuk membawakan imej berambut pendek, namun ia menjadi salah satu faktor yang membezakan saya dengan orang lain. Gaya ini juga menjadikan orang lebih mengenali saya selain menerusi drama dan lagu nyanyian saya.

“Rambut pendek juga boleh menjadikan seorang wanita itu nampak feminin. Ia bergantung kepada penggayaan yang diberikan dan penggunaan aksesori yang bersesuaian selain gaya keseluruhan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dalam aspek imej fesyen, dia juga merujuk pada trend dan gaya terkini agar tatarias yang dikenakan relevan dengan konsep semasa.

Janna juga memberitahu dirinya sering bereksperimentasi dengan fesyen dan kadangkala cuba menampilkan sesi berbeza dalam gaya.

Bagaimanapun, dalam pemilihan kasut, Janna berseloroh dia memang gemar mengenakan kasut sniker berbanding tumit tinggi.

“Jika tidak pada acara mahupun bekerja, kasut pilihan saya semestinya sniker. Ia selesa, mudah digayakan dan lebih padan dengan personaliti saya.

“Tetapi, saya juga tidak mempunyai masalah untuk mengenakan kasut tumit tinggi, ia bergantung kepada keperluan dalam pemakaian,” selorohnya.