Bermula dengan eksperimen menerusi cetakan motif kumbang dalam koleksi pakaian sedia-pakainya semasa Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) pada tahun 2015, Hatta kini merupakan antara pelopor dalam rekaan fesyen bermotifkan serangga dengan identiti kumbangnya.

Daripada cetakan pada kemeja-t dan seluar, rangkaian motif serangga pereka asal Melaka itu berkembang ke koleksi tudung dan seterusnya dinspirasikan sebagai kerongsang menerusi kerjasama pengeluar barang kemas, Behati.

Menurut Hatta, kumbang merupakan serangga unik yang mempunyai anatomi berseni yang boleh diterapkan dalam fesyen. Ia boleh diolah dalam cetakan yang pelbagai sesuai untuk lelaki dan perempuan.

“Penglibatan saya dalam dunia fesyen bermula dengan minat melukis. Pada awalnya saya banyak menghasilkan lukisan yang diilhamkan daripada persekitaran termasuk kumbang.

“Daripada lukisan itulah bermulanya inspirasi saya untuk menjadikan kumbang sebagai identiti dalam rekaan dan saya tidak sangka ia mendapat perhatian peminat fesyen tempatan,” kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Tambahnya, dalam industri tempatan, motif serangga jarang diimplimentasikan dalam rekaan busana meskipun ia telah lama dipraktikkan pereka antarabangsa.

Jelasnya lagi, motif serangga mempunyai identiti tersendiri sekali gus memberi nafas baharu dalam koleksi pakaian pereka fesyen.

Ia juga membawa satu signatur yang mengundang perhatian seterusnya menimbulkan tanda tanya.

“Hal ini yang menjadikan suatu rekaan itu mendapat perhatian peminat fesyen dan menempatkan rekaan itu dalam senario fesyen sekali gus menjadi trend semasa.

“Terdapat pelbagai cara untuk mengekstrak serangga dalam fesyen. Selain bentuk fizikal, anatominya juga punyai keunikan tersendiri yang boleh mewujudkan trend. Bentuk cetakan pula bergantung kepada kreativiti pereka sama ada menerusi olahan teknik iilustrasi atau animasi,” jelasnya.

Fokus

Tambah Hatta lagi, olahannya bagi rekaan motif serangga banyak bermain dengan ilustrasi, warna dan gabungan elemen floral bagi memberikan sentuhan maskulin dan feminin.

Motif serangga telah mengisi lensa fesyen di dalam dan luar negara. Malah pereka dan jenama terkemuka seperti Alexander McQueen, Jason Wu, Delfina Delettrez, Gucci, Dior dan ramai lagi telah menerapkan elemen serangga dalam koleksi mereka.

Penggayaan busana bermotif serangga pula perlu seimbang supaya ia tidak menjadi bencana fesyen buat si pemakai.

Bagi, Perunding imej, Mary Anni Masarip, 36, penataan gaya pakaian bercorak serangga perlu menyerlahkan elemen keseimbangan itu yang seharusnya menjadi fokus utama.

Menurutnya jika padanan buat pakaian kasual yang mempunyai corak serangga penuh, ia perlu dipadankan dengan padanan yang kosong atau polos.

“Keseimbangan gaya perlu dilihat kepada bentuk corak yang dipamerkan. Jika baju mempunyai motif serangga, seluar atau kain perlu lebih ringkas supaya pemakaian tidak kelihatan serabut.

“Untuk fesyen kelas atasan, busana dengan corak serangga memberi pernyataan yang berani dengan sentuhan glamor. Ia sesuai digayakan untuk acara berprestij atau majlis makan malam,” ujarnya.

Tambahnya, meskipun elemen serangga adalah motif yang unik, aksesori bentuk serangga boleh dipadankan dengan apa jua busana bagi melengkapkan gaya dengan sentuhan segar.

Jelasnya lagi, mereka yang gemar mengenakan busana bermotif serangga mempunyai identiti yang mencerminkan personaliti tertentu.

Menurutnya lagi, si pemakai kebiasaannya menyukai keunikan, kelainan dan perhatian. Mereka juga dikategori sebagai individu yang dramatik dan gemar berfesyen serta bereksperimentasi dalam padanan gaya.