Kali pertama menjejakkan kaki di pusat kecergasan itu, dia kagum melihat ramai lelaki membina badan menyebabkan minatnya mula berputik.

Sejak detik itu, lelaki berusia 31 tahun itu yang kini merupakan jurulatih kecergasan mula belajar membina badan.

Bukan sekadar meminta tunjuk ajar daripada rakan, dia turut melakukan rujukan di internet dan jurulatih profesional yang juga ahli bina badan, Attia Shaalan.

Ketika itu, dia yang berusia 17 tahun hanya memiliki bentuk badan sederhana iaitu tidak terlalu kurus dan gemuk.

Menurutnya, dia tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa membina badan merupakan rutin yang baik untuk lelaki.

“Sebelum ini, saya berfikiran lelaki tidak perlu menjaga penampilan, tidak seperti perempuan yang memerlukan alat solek dan kelihatan langsing. Selepas memulakan hobi ke gimnasium, baru saya faham kenapa lelaki perlu kelihatan sasa.

Gaya ala kadar

“Membina badan bukanlah satu kemestian buat golongan lelaki tetapi perlu untuk mereka tampak lebih segak, maskulin dan bergaya. Selain itu, ia baik untuk lebih cergas dan penjagaan kesihatan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia yang berhijrah ke Malaysia sejak tahun 2013 mengakui, perubahan dirinya telah membantu mengubah hidupnya ke arah lebih baik.

Bercerita tentang perubahan diri, Amir memberitahu, dia sebelum memiliki badan yang sasa jarang mengambil tahu tentang penampilan dan bergaya ala kadar.

Padanya ketika itu, sudah cukup baginya memiliki badan yang kurus dan mudah mencari pakaian dalam saiz XS atau S.

Malah, adakalanya dia perlu ke bahagian kanak-kanak untuk mencari pakaian baharu.

Baju pinjam

Dia tidak sedar, pemakaiannya itu boleh diibaratkan seperti memakai baju pinjam. Ada antaranya tidak padan dengan bentuk badan dan longgar.

Selepas memiliki badan yang sasa, baru dia mengerti istilah bergaya. Walaupun masih memakai baju saiz yang sama, tetapi penampilan lebih menarik.

Jelasnya, pakaian lebih terletak pada badan, potongan pada lengan tampak lebih kemas menjadikan penampilan lebih segak.

“Ia mengubah perspektif saya dalam penjagaan diri, saya lebih prihatin tentang gaya hidup sihat, malah keyakinan juga bertambah. Saya bukan sahaja lebih tegap dan segak tetapi kadar kesihatan juga meningkat.

“Ini adalah perubahan yang berlaku dalam kehidupan saya. Selain itu, dari segi kendiri saya lebih bersedia secara fizikal dan mental untuk menjalani kehidupan. Ia juga membantu saya membina kerjaya bukan sekadar jurulatih kecergasan tetapi juga ahli bina badan,” ujarnya yang merupakan juara pertandingan bina badan amatur di Jordan pada tahun 2014.

Tambahnya lagi, dalam berpakaian dia memilih gaya yang ringkas, kemas dan santai.

Adakalanya amir juga berani mencuba pelbagai fesyen lelaki maskulin, malah turut yakin mengenakan singlet mahupun kemeja-T tanpa lengan.