Rambut yang juga menjadi sebahagian daripada keterampilan diri merupakan sebahagian daripada aset maskulin lelaki. Namun, ia tidak terpakai dalam imej yang diketengahkan oleh selebriti pilihan minggu ini, Harris Annuar.

Dikenali dengan kata gelaran abang botak dan #bangkitbotak, Harris atau nama penuhnya, Mohammad Harris Shahrul Annuar, 26, memberitahu, berkepala botak menjadikan dia lebih menonjol dalam industri seni.

“Saya tidak pernah menyesal berkepala botak. Malah, ia umpama satu tuah kerana dengan imej ini, saya lebih dikenali sebagai artis. Tambahan pula, kehidupan jadi lebih mudah, tidak perlu memikirkan tentang rutin penjagaan rambut dan lebih cepat bersiap.

“Menjadi botak tidak menjadikan kita janggal atau pelik kerana dalam membawa imej diri, keyakinan itu penting. Selain itu menjadi imej botak juga fleksibel dan membolehkan saya mencuba apa jua jenis stail,” katanya ketika ditemui Stailo pada sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, meskipun pernah rasa rindu untuk mempunyai rambut semula, dia bagaimanapun percaya, bahawa imej botak lebih sesuai dengan dirinya dan pada masa sama mencerminkan personaliti anak bongsu daripada lima beradik itu.

Pempengaruh

Mula menapak dalam industri hiburan sebagai model dan pempengaruh (influencer) media sosial, Harris mula dikenali selepas mendapat tempat kedua dalam pertandingan pencarian bakat, Hero Remaja pada tahun 2017.

Dia juga pernah melibatkan diri dalam pertandingan peragawan anjuran pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat iaitu Hatta Him pada tahun sebelumnya dan mengakui, menjadi botak tidak menghalangnya untuk terus maju dalam bidang yang diceburi.

Bukan sekadar mendapat watak utama dalam drama televisyen, Harris berkongsi pengalamannya ketika bergiat aktif menjadi model sekitar tahun 2016 apabila bukan sahaja mendapat tawaran untuk menjadi wajah buat jenama pakaian, malah berjalan di pentas peragaan seperti Minggu Fesyen Kuala Lumpur selain menjadi penghias majalah.

Apabila ditanya apa yang paling diminati antara menjadi model dan pelakon, Harris memberitahu, kedua-duanya merupakan bidang pilihan sejak dahulu, namun sejak aktif dalam dunia seni dia kurang mengambil tawaran model.

“Saya bermula sebagai model kemudian menjadi pelakon dan perjalanan ini turut pernah dilalui oleh beberapa selebriti lain. Tidak dinafikan, sejak aktif berlakon, saya rindu untuk melakukan aktiviti peragaan.

“Menjadi model memberikan pengalaman yang berbeza. Sama ada menjadi wajah jenama atau di pentas peragaan, ia memberikan satu kepuasan tersendiri lebih-lebih lagi semasa sedang berjalan di atas pentas,” jelasnya.

Bercerita tentang imej fesyen, bagi Harris selain botak, dia merupakan sorang yang lebih gemar bergaya ringkas, kemas dan maskulin selain ada ketikanya suka mencuba memadankan stail 70-an dalam penggayaan.

Seleksi pakaian pilihannya adalah sut, kemeja dan kemeja-T. Pada masa sama Harris juga mempunyai obsesi mengumpul seluar dan kasut.

Menurutnya, dalam penggayaan sebagai selebriti, Harris selesa membawa imej bersut lengkap atau berkemeja dan ketika santai sekadar memakai kemeja-T dan denim.

“Bagi saya, imej kemas lebih menonjolkan sisi maskulin lelaki dan kerana itu, saya suka mengenakan sut. Tetapi adakalanya saya akan memberikan sentuhan 70-an seperti memakai seluar bell bottom atau kemeja berkotak selain bermain dengan warna pastel bagi menonjolkan personaliti periang dan manja.

“Selain itu, aksesori wajib adalah jam tangan kerana ia umpama pelengkap dalam apa jua gaya. Saya juga wajib mengenakan wangian dan sentiasa membawa ia bersama ke mana jua tidak kira untuk keluar bekerja atau bersantai,” katanya yang meminati wangian Dior Sauvage, One Million Pacco Rabane dan The Game by Davidoff.