KAWASAN perumahan yang terletak di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor itu sememangnya cukup terkenal dengan deretan kafe yang mengetengahkan pelbagai konsep unik dalam tatariasnya.

Jemputan yang diterima kru Panorama untuk mengintai dekorasi sebuah kafe baharu di situ minggu lalu disambut baik.

Setibanya di kafe yang diberi nama Catcher in The Rye itu, kru Panorama terus tertarik dengan kecantikan tulisan pada papan tanda kafe.

Pemilihan rona hitam pada tulisan yang berlatar belakangkan papan tanda rona putih itu kelihatan cukup menyerlah dan menonjolkan sisi minimalis pada kafe berkenaan.

Jam menunjukkan pukul 3 petang dan kelihatan beberapa orang pelanggan mula memenuhi ruang kafe untuk minum petang.

Menghidangkan minuman kopi dan sajian pencuci mulut, tidak hairanlah kafe Catcher in The Rye tetap dipenuhi pengunjung biarpun selepas waktu makan tengah hari.

Berkongsi cerita tentang konsep dan ilham hiasan dalaman premis itu, pemiliknya, Chris Yap, 44, berkata inspirasinya diambil daripada kafe-kafe yang ada di Jepun.

Kafe Jepun

“Jika diperhatikan, kebanyakan kafe di Jepun cukup ringkas tanpa banyak barangan dekorasi.

“Kafe di Jepun amat ringkas dan lazimnya bermain dengan rona putih pada tatariasnya.

“Saya sukakan ketenangan dan suasana terang yang dihasilkan daripada rona putih kosong dan tertarik untuk menggunakan rona itu pada premis saya,” jelasnya.

Kafe yang mula membuka pintunya secara rasmi pada pertengahan Februari lalu itu cukup mudah menjemput pengunjung dengan dekorasi yang diketengahkan.

Padanan perabot kayu dari rona coklat cair mewujudkan suasana santai yang amat menenangkan.

Sebaik sahaja pintu dikuak, pengunjung akan melihat sebuah meja kayu besar pada sudut sebelah kiri kafe.

Dinding kaca yang digunakan pada segenap ruang kafe pula amat membantu dari segi pencahayaan.

Limpahan cahaya semula jadi yang menembusi tingkap kafe menjadikan Catcher in The Rye sentiasa kelihatan terang dan pengunjung mampu merakamkan foto-foto cantik tidak kira di mana pun lokasi tempat duduk mereka.

Menjelaskan lebih lanjut, Chris memberitahu, sudut kegemarannya dalam premis itu ialah sudut hujung kafe yang dipanggil the courtyard.

“Secara peribadi, ini merupakan ruang kegemaran saya dan juga ruang kesukaan pengunjung yang datang. Pencahayaan yang cantik di sudut ini menjadikan ia lokasi paling ideal untuk merakamkan gambar di sini,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Ruang makan berkonsepkan open air itu masih mengekalkan warna putih sebagai warna tema, namun bagi menyuntik elemen ceria, Chris meletakkan kerusi santai dari rona biru firus.

Hasilnya, kawasan tersebut kelihatan menyerlah, namun masih minimalis. Bagi menyuntik elemen semula jadi pula, Chris meletakkan beberapa unit pokok menghijau yang juga digunakan pengunjung sebagai prop bergambar.

Lantai klasik

Ruang kecil itu juga boleh memuatkan sehingga 20 orang pengunjung pada satu-satu masa dan cukup sesuai untuk pengunjung yang mahu menyambut hari lahir.

Biarpun dilatari konsep minimalis moden, Chris masih lagi mengekalkan motif pada lantai kafe.

Ujar lelaki berkaca mata itu, lantai pada premis itu bermotifkan corak abstrak klasik yang popular sekitar tahun 1970-an.

“Motif sebegini sudah tidak lagi dihasilkan dan disebabkan itu, seboleh-bolehnya saya mahu mengekalkannya pada Catcher in The Rye.

“Rona kuning lembut pada lantai ini juga cukup berpadanan dengan palet warna kafe dan apabila semuanya digabungkan, ia kelihatan senada,” jelasnya.

Bagi menghasilkan konsep minimalis itu sendiri, ia sebenarnya bukanlah mudah dan lazimnya memerlukan belanja yang besar.

“Ramai yang menganggap bagi menghasilkan konsep yang ringkas dan minimalis, ia tidak memerlukan belanja besar walhal ia sebenarnya salah.

“Konsep minimalis tetap memerlukan perbelanjaan yang besar kerana dekorasi yang dihasilkan perlu bersifat ringkas namun praktikal,” ujar bekas jurutera awam itu yang enggan mendedahkan kos dekorasi bagi kafe miliknya.

Catcher in The Rye dibuka setiap hari bermula pukul 12 tengah hari sehingga 10 malam dan menyajikan sajian pencuci mulut seperti kek dan ais krim buatan tangan serta seleksi kopi.