Jalan raya yang lengang menjadikan perjalanan ke rumah Intan Suria Sabtu dan juga suami, Mohd. Fadly Daud terasa begitu mudah.

Sebaik sahaja tiba di rumah dua tingkat milik pasangan itu, warna biru lembut menerpa anak mata, sekali gus mencetuskan suasana tenang.

Rona sky blue yang dipilih diseimbangkan dengan rona putih bersih, menjadikan keseluruhan ruang kediaman tampak luas dan kemas.

Membuka bicara, Intan Suria memberitahu, kediaman tersebut mula didiami sejak tahun 2015.

“Sebelum ini, kami sekeluarga tinggal di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Sebaik sahaja rumah ini siap, kami berpindah masuk dan mula mengubah suai kediaman ini mengikut cita rasa tersendiri,” jelasnya.

Tambah Intan Suria, konsep dekorasi rumahnya ialah minimalis.

Banyak mengambil inspirasi dekorasi daripada majalah dan juga internet, Intan Suria cukup sukakan terjemahan hiasan rumah teres dua tingkat itu.

Jika dilihat, pemilihan dua rona utama itu menjadikan kediaman tersebut nampak terang.

Tambah ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, dia cukup sukakan suasana kediaman yang terang kerana ia lebih menyerlah dan cantik.

Terang

Ruang tamu kediaman seluas 143.07 meter persegi itu dilatari rona putih bersih manakala dua buah kerusi lengan utama adalah daripada rona beige.

Biarpun meletakkan satu rona berbeza pada sudut itu, ia tidak langsung menjadikan ruang tamu itu tampak serabut malah ia semakin menyerlahkan rona putih bersih yang cuba ditonjolkan.

Bagi mengelakkan ruang tamu kelihatan terlalu polos, pasangan suami dan isteri itu memilih permaidani bermotif flora yang ringkas untuk diletakkan pada ruang tersebut.

Hasilnya, ruang tamu itu kelihatan lebih berseri namun masih minimalis.

Tidak lokek berkongsi, Mohd. Fadly pula memberitahu, hampir 80 peratus item dekorasi dan perabot di kediaman itu dibeli daripada IKEA.

“Sewaktu masih menetap di Taman Tun Dr. Ismail, boleh dikatakan hampir setiap hari saya ke IKEA untuk melihat-lihat perabot dan item dekorasi rumah.

“Daripada situlah, kami mendapat idea untuk menghias rumah mengikut cita rasa sendiri,” ujarnya.

Barangan perabot lain pula diambil daripada rumah lama dan diberi sentuhan baharu.

Cat sendiri

“Kami mengecat beberapa item dekorasi seperti meja kecil pada sudut kiri bahagian ruang tamu ini dengan rona sky blue.

“Hal ini kerana ia masih elok dan selepas dicat, ia kelihatan sangat cantik dan sesuai dengan konsep pilihan rumah ini,” ujar Mohd. Fadly.

Bagi ruangan makan pula, pasangan ini memilih meja makan panjang berwarna putih dipadankan dengan kerusi makan rona yang sama.

Begitu pun, Intan mencipta kelainan dan berani bermain dengan warna terang apabila memilih kusyen kerusi makan daripada rona merah jambu terang.

Biarpun kelihatan agak berlawanan, ruang makan itu nyata mempunyai tarikannya yang tersendiri dan masih kekal dengan konsep minimalis.

Dindingnya pula diserikan dengan tulisan kufi yang dibingkaikan bagi mengelak ia kelihatan terlalu polos.

Dari sudut pencahayaan pula, rumah Intan Suria dilihat ringkas tanpa perlu lampu-lampu jenis sarat. Lampu-lampu kecil dari rona jingga malap sudah cukup untuk memberi pencahayaan yang cantik pada kediaman itu kerana kediaman Intan Suria sudah terang dengan pencahayaan semula jadi.

Begitu pun, bagi menyuntik elemen elegan dan mewah, dia meletakkan satu unit lampu candelier ringkas di ruang tamu.

Bagi mencipta kesenadaan dengan tema warna pilihan, lampu tersebut dipilih daripada rona biru lembut dan hasilnya cukup mempesonakan.

Menjengah dekorasi pada bilik yang terletak di aras dua kediaman itu, bingkai katil putih menjadi pilihan bagi bilik utama.

Bahagian dinding pula masih lagi mengekalkan palet warna yang sama iaitu biru lembut.

Tidak lokek berkongsi, Intan Suria memberitahu, kos dekorasi kediamannya pula cukup berpatutan kerana banyak perabot yang diambil dari rumah lama dan hanya diberi sentuhan baharu.

“Memandangkan ada perabot yang dibawa dari rumah lama dan diberi sentuhan baharu, kos dekorasi tidak menelan belanja yang cukup besar,” jelas Intan Suria menutup bicara.