Sebuah kafe di Subang Jaya, Selangor misalnya, mencetuskan fenomena apabila memilih konsep hiasan dalaman seumpama dalam sebuah komik.

Kunjungan kru Panorama ke sebuah kafe baharu yang terletak di Sunway Geo Avenue baru-baru ini adalah untuk mengintai dekorasi kafe tersebut yang cukup cantik dan unik bertemakan lukisan dua dimensi (2D).

Menurut salah seorang pemiliknya, See Khai Shen atau lebih mesra disapa See, dia cukup sukakan konsep kafe yang diketengahkan kerana ia merupakan konsep kafe dalam komik pertama di Malaysia.

“Sejujurnya, kami sama sekali tidak menyangka konsep unik yang dipilih ini mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan.

“Ia belum dilancarkan secara rasmi, namun sudah dibanjiri pengunjung yang teruja untuk bergambar di dalam premis ini,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Dua rona

Biarpun hanya dilatari dua rona iaitu hitam dan putih, lukisan serta penataan perabot menjadikan kesemua bahagian dalam kafe itu begitu menarik untuk dijadikan port untuk bergambar.

Jelas See, kesemua sudut dalam kafe itu dicat rona putih sebelum memulakan kerja-kerja melukis.

“Kesemua rona hitam yang didapati dalam premis ini sama ada pada dinding kafe atau pun perabot seperti kerusi dan kayu ini dilukis menggunakan tangan sepenuhnya.

“Ia disiapkan dalam tempoh dua bulan oleh salah seorang rakan kami yang juga merupakan seorang pelukis berbakat,” kata See.

Tambah jejaka tinggi lampai itu lagi, idea untuk mewujudkan kafe sedemikian timbul apabila dia mahukan satu premis unik dan lain daripada lain.

“Saya tahu golongan muda di negara ini suka mengunjungi kafe dengan dekorasi menarik untuk merakamkan gambar.

“Kebetulan, rakan saya, Tan Hwei Ling merupakan seorang pelukis berbakat besar dan saya bekerjasama dengannya bagi melukis setiap sudut di

“Saya mahu bakatnya dilihat oleh orang ramai menerusi kewujudan kafe 2D ini,” jelasnya.

Lukisan yang seolah-olah hidup itu menjadikan kafe ini berada pada kelasnya yang tersendiri.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa setiap sudut di kafe ini cukup cantik dalam gambar.

Lebih mengujakan, memandangkan kafe tersebut hanya dilatari rona hitam dan putih, setiap makanan yang disajikan nampak lebih hidup dan memukau di dalam premis berkenaan.

Konsep berbeza

Sebaik sahaja pengunjung masuk ke kafe tersebut, mereka akan disajikan dengan lukisan bertemakan sebuah perpustakaan di bahagian hadapannya.

Di hadapan ruang tersebut pula, pemilik mewujudkan satu laluan kecil yang akan membawa pengunjung ke beberapa ruang makan utama yang setiap satunya mempunyai tema tersendiri.

Antara tema yang dipilih See bagi ruang makan dan ruang santai utama adalah hiasan dalaman kediaman Jepun, hiasan seolah-olah sedang berada di dalam sebuah kelas dan hiasan dalaman konsep Barat.

Biarpun menggabungkan banyak hiasan dalaman berbeza dalam satu ruang yang sama, ia langsung tidak kelihatan serabut memandangkan See hanya menggunakan dua warna utama yang sama.

“Kami memilih konsep-konsep yang berbeza bagi setiap ruang yang ada bagi mewujudkan kepelbagaian.

“Ia juga membolehkan pengunjung untuk duduk dan bersantai pada ruang pilihan masing-masing,” jelasnya.

Tambahnya, ruang kegemaran pengunjung buat masa ini ialah sebuah ruang yang dilukis menyerupai sebuah bilik mandi.

Dilengkapi dengan tab mandi yang diisi bola-bola kecil, pengunjung pastinya tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto-foto unik di situ.

Memandangkan kawasan kafe berwarna putih, ia kelihatan terang tanpa perlu penataan cahaya yang banyak.

Begitu pun, See mengakui pemilihan rona putih pada premis miliknya itu menjadikan ia cepat kotor dan perlu sentiasa dibersihkan.

“Saya akui, pemilihan rona putih lebih-lebih lagi pada lantai kafe memerlukan saya dan pasukan untuk sentiasa membersihkan lantai bagi memastikan ia kelihatan kemas dan bersih.

“Selain lantai, kami juga perlu melakukan touch up pada perabot agi memastikan ia sentiasa kelihatan baharu dan berseri,” jelasnya.