Jari-jarinya menggenggam kemas laras senjata M4 miliknya. Peluh me­rintik dek matahari yang kian me­ninggi. Sebarang kesilapan dalam operasi itu boleh menyebabkan anggotanya terkorban.

‘Kampung’ berkenaan bertukar gempar setelah sekumpulan pengganas berjaya menyusup masuk pada malam sebelumnya. Mereka berjaya menawan beberapa bangunan se­perti Madrasah Othmaniah al-Fadzil, Restoran Halim Cincang serta Pasar Raya Semaon dalam kawasan perkampungan itu. Keadaan menjadi onar dan teriakan tebusan yang ditawan pengganas mencemaskan lagi suasana.

Pegawai itu kemudian mengarahkan anggotanya membaling bom asap bagi mengelirukan pandangan pengganas. Serentak itu, sekumpulan empat askar lengkap dengan senjata berlari menyerbu ke arah bangunan pertama, Bar James Hodge yang terletak di dalam ‘kampung’ itu. Kedengaran bunyi tembakan meme­cah gegendang telinga mereka yang berada di situ sebelum beberapa pengganas ditum­paskan.

Pasukan tentera tersebut kemudian berlari mendapatkan perlindungan terdekat. Lebih ramai anggota tentera keluar menyerbu perkampungan itu menyebabkan pengganas mula cemas dengan kehadiran pasukan berkenaan.

Madrasah Othmaniah al-Fadzil setinggi dua tingkat menjadi bangunan kedua diserbu anggota keselamatan. Setelah berjaya menyelamatkan madrasah, askar-askar itu kemudian bergerak secara taktikal bagi menyerbu Restoran Halim Cincang setinggi dua tingkat.

Berlaku insiden tembak-menembak antara pengganas dan anggota tentera. Beberapa minit selepas itu, anggota-anggota lain menyerbu Pasar Raya Semaon dan menembak mati lapan orang pengganas. Dengan tumpasnya pengganas berkenaan, ‘kampung’ itu kembali aman.

Kontena

Begitulah situasi demonstrasi operasi pertempuran di kawasan terbina (OBUA) yang dijalani beberapa anggota Tentera Darat (TD) di lapa­ngan sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor Bharu, Johor baru-baru ini.

Menariknya, demonstrasi tersebut mengambil tempat di sebuah ‘kampung’ dan lokasi yang dimaksudkan ialah perkampungan OBUA, Zulkiple Urban Combat Village (ZUCoV).

Nama fasiliti latihan berkenaan diambil bersempena dengan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim dan dirasmikan oleh beliau pada 31 Oktober lalu.

Tidak dinafikan, pertempuran OBUA kini mendominasi senario peperangan pada masa ini. Melihat kepada keperluan tersebut, TD mengambil inisiatif untuk menaik taraf fasiliti OBUA bagi memantapkan latihan anggotanya.

Ketua Cawangan Ketua Kompeni Pulada yang juga jurulatih OBUA, Mejar Yousrie Muhamad berkata, perancangan untuk menaik taraf fasiliti itu bermula pada hujung tahun lalu dan kerja-kerja tinjauan bermula pada Jun lepas.

“Kita menggunakan konsep sama yang diguna oleh Tentera Darat Australia (TDA) memandangkan pembinaan fasiliti ini dibiayai dan di­terajui mereka.

“Sebanyak 20 buah kontena digunakan sebagai bangunan di tempat latihan ini. Pelan kedudukan kontena juga boleh diubah suai mengikut kehendak latihan,” katanya ketika ditemui kru Jurnal selepas perasmian ZUCoV baru-baru ini.

Jelas Yousrie, tahap latihan OBUA terdiri daripada empat pe­ringkat iaitu permulaan (beginner), pertengahan (intermediate), lanjutan (advanced) dan pakar (expert).

Menurutnya, pada peringkat permulaan, penuntut dan pasukan akan dilatih mengenai kawad-kawad asas OBUA seperti Rapid Drill Exercise dan OBUA Drill ­Exercise. Peringkat pertengahan pula ialah peringkat para anggota akan berlatih atur gerak seksyen atau platun di dalam bangunan.

“Peringkat pertengahan ini memberi pendedahan kepada penuntut untuk mempraktikkan taktik, teknik dan prosedur OBUA.

“Selepas mereka mahir dalam peringkat ini, latihan akan dibawa ke peringkat lanjutan yang mana penuntut akan merancang dan melaksanakan OBUA sama ada ofensif atau defensif dalam persekitaran pekan kecil,” ujar Yousrie.

Pertempuran moden

Peringkat pakar ialah latihan yang menggunakan peluru sebenar. Bagaimanapun, fasiliti yang dinaik taraf ini hanya boleh digunakan untuk peringkat lanjutan.

Pegawai TDA yang bertanggungjawab membina ZUCoV, Mejar James Hodge berkata, komitmen itu dibuat di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia.

“Tentera Darat Malaysia mempunyai kepakaran luas dalam pertempuran hutan, namun pengalaman pertempuran bandarnya terhad. Justeru, pihak TDA membantu membina pusat latihan itu supaya Malaysia mempunyai kepakaran seimbang.

“Selain pasukan Malaysia, TDA yang berpangkalan di Butterworth, Pulau Pinang juga boleh menggunakan fasiliti ini.

“TDA juga merancang untuk menambah kontena di fasiliti ini pada tahun hadapan,” ujarnya yang juga merupakan pegawai tumpangan di Pulada.

Sementara itu, Leftenan Muda R. Suhanraj daripada Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja yang terlibat dalam perancangan utama demonstrasi serangan itu berkata, peperangan di kawasan bandar sememangnya berlainan dengan pertempuran di hutan.

“Cabaran utama OBUA ialah pertempuran ini sering melibatkan orang awam. Pasukan ke­selamatan juga tidak tahu pakaian musuh dan apa senjata yang dimiliki mereka. Justeru, pasukan yang dikerahkan untuk OBUA perlu membuat keputusan dinamik.

“Selain itu, perhubungan antara anggota seksyen juga perlu komprehensif untuk kita memastikan keadaan terkawal,” ujarnya yang terlibat dalam demonstrasi tersebut bersama 25 lagi anggota lain.

Lebih mencabar, Suhanraj memberitahu, kebiasaannya anggota pertama yang mema­suki bangunan berkemungkinan tinggi untuk terkorban.

Katanya, antara situasi yang terdapat dalam OBUA ialah breaching dan room clearing, membawa keluar anggota yang terkorban dan situasi tahanan perang.

“Kunci kepada kemahiran mantap dalam OBUA ialah latihan yang berterusan kerana situasinya yang unik dan berbeza-beza,” katanya.

Fasiliti latihan dinaik taraf bagi memenuhi keperluan pertempuran urban agar kepakaran dan kesiagaan dalam pertempuran bandar seimbang dengan pertempuran hutan.