Nafsu syahwat adalah seperti dadah dan kegilaan harta yang boleh membawa seseorang menjadi mabuk dan lupa segala-galanya.

Justeru, sebelum menjadi lebih parah kerana zina akan merosakkan keturunan manusia, Islam hadir dengan kaedah menutup pintu supaya segala kebejatan zina dihindari dan dijauhi.

Allah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud: “Dan jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah perbuatan yang keji dan jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Larangan ini menegaskan segala-gala yang menjadi pintu ke arah mendorongnya perlakuan zina perlu dijauhi.

Sifat malu

Baru-baru ini viral satu tweet di media sosial mengenai perbincangan beberapa orang remaja akan keinginan melakukan hubungan intim bersama sepupu sehingga menimbulkan kemarahan netizen.

Ia jelas menunjukkan imaginasi seksual yang kurang sesuai dan melanggar norma agama apatah lagi ia dilakukan ketika umat Islam masih menyambut Aidilfitri.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Ahmad Sanusi Azmi berkata, tweet berkenaan menunjukkan sifat keterbukaan golongan remaja tanpa rasa malu membincangkan perkara yang tidak sepatutnya menjadi perbincangan umum.

“Rasulullah mendidik umatnya dengan sifat malu melalui perwatakan Baginda. Abu Said Al-Kudri pernah menceritakan Baginda sangat pemalu mengatasi malunya seorang perawan di dalam bilik tidur bersama suami yang belum dikenalinya.

“Betapa Rasulullah menekankan sifat malu dalam kalangan umatnya tetapi anak muda kita tanpa segan silu melakukan perkara yang tidak menggambarkan sifat seorang muslim,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ahmad Sanusi berkata, terdapat banyak peringkat yang harus memainkan peranan namun peranan yang paling penting adalah ibu bapa itu sendiri.

“Ibu bapa harus mengetahui bahawa apa yang dikatakan sebagai zina mata atau melihat kepada sesuatu yang berunsurkan maksiat.

“Dalam hal ini, mereka perlu maklum bahawa sebarang bahan atau kandungan yang memaparkan secara jelas alat kelamin atau perlakuan seksual bagi membangkitkan nafsu syahwat adalah haram,” katanya.

Allah juga memberi peringatan kepada lelaki dan wanita supaya menjaga pandangan serta kemaluan.

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

Nilai agama

Apakah kaitan antara menjaga pandangan dan kemaluan? Pandangan adalah laluan pertama yang mendorong seseorang untuk menghampiri zina.

Ahmad Sanusi memberitahu, sekiranya ibu bapa dapat mengawal rancangan televisyen tertentu yang berbentuk hiburan atau mengghairahkan akan mengurangkan risiko anak-anak terdedah kepada kancah zina.

Ahmad Sanusi menyarankan, ibu bapa harus membekalkan diri anak-anak dengan acuan Islam yang sebenarnya iaitu menekankan hukum halal dan haram ketika usia mereka masih kecil.

“Terdapat ibu bapa yang melihat hal ini tidak perlu kerana anak-anak masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Natijahnya, ramai ibu bapa yang hanya mendidik anak-anak tentang solat dan puasa tetapi tidak mengambil berat tentang pakaian dan adab pergaulan,” ujarnya.

Di samping itu, Ahmad Sanusi mencadangkan supaya ibu bapa turut menguasai teknologi agar tidak ketinggalan seterusnya mampu mengawasi tingkah laku anak-anak mereka.

Hal ini menurut beliau penting supaya tingkah laku anak-anak sentiasa diawasi.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat, Persatuan Ulama Malaysia, Ustazah Asmak Hussain berkata, kejadian zina semakin membimbangkan dalam kalangan remaja melihat kepada peningkatan anak luar nikah serta berleluasanya gejala lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Asmak berpandangan, institusi keluarga perlu diperkukuhkan kembali dengan nilai-nilai agama dan budaya ketimuran supaya anak-anak tidak tersalah langkah.

“Terdapat ibu bapa yang tidak memahami maksud pendidikan agama itu apabila kebanyakan mereka menganggap dengan menghantar anak-anak mengaji al-Quran dan belajar fardu ain sudah mencukupi sedangkan konsep agama itu luas.

“Ia harus bermula dengan akidah yang kukuh kerana tanpanya jati diri anak-anak akan goyah dan mereka tidak mampu bertahan dengan cabaran” katanya.

Asmak berpendapat, ibu bapa perlu memahami konsep pendidikan agama dan menyeimbangkannya dengan pendidikan formal dalam usaha melahirkan anak-anak yang kukuh jati diri.

ZINA semakin membimbangkan dalam kalangan remaja melihat kepada peningkatan anak luar nikah. - Gambar hiasan