Dicampur dengan halia dan sedikit buah baobab, ramuan itu sudah boleh dinikmati.

Ia merupakan permulaan kepada jus kesihatan semula jadi yang dihasilkan oleh Aissata Diakite, seorang wanita berketurunan Mali berusia 28 tahun yang dilancarkan pada Disember tahun lalu.

Ia mempunyai rasa asli tradisional yang digabungkan dengan kepakaran kejuruteraan untuk rasa yang lebih enak.

Idea untuk memperkenalkan jus buah-buahan yang menggunakan sumber tempatan daripada tanah gersang di Afrika itu tercetus ketika Diakite masih kanak-kanak dan tinggal di Mopti, sebuah kawasan yang terletak di tengah Mali serta berhampiran Sungai Niger.

“Ketika saya belajar kursus perniagaan pertanian di Perancis, saya kerap pulang ke Mali untuk bercuti.

“Saya akan memandu di sepanjang kawasan pertanian yang terletak di luar bandar untuk bertemu petani, memahami masalah yang dihadapi dan bagaimana mereka berhadapan dengan keadaan di luar musim,” katanya.

Pada bulan lalu, Diakite melancarkan produk jus Zabbaan selepas bertemu dengan pembeli berpotensi ketika menghadiri satu forum pelaburan di Mali.

Nama produk itu diambil sempena nama zaban atau saba senegalensis iaitu sejenis pokok renek yang banyak tumbuh di wilayah Sahel terutamanya di kawasan berhampiran tebing sungai dan dalam hutan. Buah dan daun pokok memiliki nilai yang sangat tinggi.

Ketika ini, Mali sedang bergelut dengan masalah pemberontakan jihad yang melibatkan satu kawasan yang agak luas termasuk di daerah yang didiami Diakite.

Resipi

Kawasan itu kini sedang dipantau oleh beberapa pasukan tentera antarabangsa.

“Jika anda datang ke Mali, itu merupakan tindakan yang sangat ikhlas,” kata Presiden Ibrahim Boubacar Keita dalam ucapannya semasa pembukaan forum tersebut.

Ketika forum itu berlangsung, para pelabur menjanjikan sebanyak AS$63 juta (RM248 juta) nilai pelaburan meliputi pelbagai perniagaan, daripada tenaga suria sehingga ke pembuatan simen dan pembungkusan.

“Menghasilkan apa yang kita makan, itulah cara kita mencipta peluang pekerjaan dan kekayaan,” kata Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohamed Aly Ag Ibrahim ketika majlis pelancaran rasmi Zabbaan.

Beliau juga memuji Diakite dan menganggap dia sebagai seorang wanita yang berinspirasi sejurus selepas kembali daripada luar negara untuk menyahut cabaran di negara sendiri, sekali gus mencapai kejayaan.

Kini, terdapat 10 jenis jus yang telah dihasilkan. Bagi jus yang mempunyai tanda The King, ia merupakan campuran mangga dan baobab, The Duke adalah jus zaban dan baobab manakala The Warrior adalah campuran bunga raya dengan pudina serta baobab.

Menurut Diakite, resipi asasnya ialah daun, bunga dan buah yang diambil daripada tanah gersang Afrika dengan kebanyakan bahan-bahan tersebut merupakan tumbuhan liar serta dipetik secara segar.

“Kami menjalinkan hubungan dengan golongan petani untuk mendapatkan bahan mentah itu, sekali gus dapat membantu mereka memperoleh pendapatan tambahan bagi menyara keluarga.

“Produk ini juga boleh digunakan dalam kaedah perubatan tradisional masyarakat Afrika,” katanya.

Sebagai usaha untuk memasuki pasaran baharu selain mengeksport ke luar negara, syarikat itu kini dalam proses untuk memperoleh sijil organik.

Jus Zabbaan kini dihasilkan dalam jumlah kira-kira 1,000 botol sehari di kilang pengeluaran yang terletak ibu negara Mali dan telah dipasarkan di hampir kesemua pasar raya besar di Bamako pada harga AS$0.90 (RM3.50) sebotol.

Jus berbentuk pastur itu dipeket dalam botol plastik jernih bersaiz 30 mililiter.

“Bukan satu perkara yang mudah untuk membina jaringan pasaran kerana kami masih baharu. Ia mungkin mengambil masa kira-kira tiga tahun lagi untuk benar-benar stabil,” katanya.

Kualiti

Di tingkat bawah bangunan kilang itu, kesemua pekerja sedang tekun menghasilkan produk terakhir pada hari tersebut.

Sebelum dimasukkan ke dalam botol, produk The Prince itu perlu dirasa terlebih dahulu dan ia merupakan tugas semua pekerja bagi memastikan kualitinya pada tahap terbaik.

“Ada orang beranggapan ia kekurangan rasa halia, jadi kami akan menambah bahan itu sedikit lagi,” kata Lala Coulibaly yang bertanggungjawab mengawal kualiti dan kebersihan produk itu.

Dengan memiliki seramai 65 orang pekerja, Diakite kini sudah merancang untuk meningkatkan pengeluaran bagi tujuan eksport dan jus pertama keluaran syarikat itu akan mula dihantar ke Perancis pada Februari ini.

Malah, wanita itu juga kini sedang menghasilkan beberapa produk baharu termasuklah mengekstrak esen asli dan mengeksportnya ke luar negara dengan menggunakan label ‘Diperbuat di Mali’. – AFP