Iklan untuk produk susu Amul dengan maskot utamanya, gadis berambut biru berpakaian baju bercorak polka dot turut berkembang sejak beberapa dekad lalu, sekali gus mempengaruhi kehidupan masyarakat dari segi sosial, politik dan kebudayaan.

“Kuasa Singa? Amul - Ketua sukakannya!” antara iklan yang dibuat ketika kunjungan dan pertemuan bersejarah Trump bersama pemimpin Korea, Kim Jong-un di Singapura baru-baru ini. Iklan itu memaparkan Trump berwajah kemerahan menyerahkan sekeping roti disapu keju kepada Jong-un sambil tersenyum nakal.

“Iklan kami merangkumi semua topik. Bagaimanapun, kebanyakan isu yang diketengahkan adalah membabitkan negara India,” kata Rahul daCunha, ketua kreatif kempen yang ditemui AFP di pejabatnya di Mumbai.

Pelbagai iklan yang berwarna-warni dengan perkataan bahasa Inggeris dan Hindi itu telah ke udara sejak 52 tahun lalu sama ada di papan iklan, surat khabar dan terkini laman sosial. Ia menyentuh perasaan orang ramai secara bijak, terutamanya di kawasan bandar.

Kebanyakan topik dipaparkan secara lawak jenaka merangkumi kontroversi politik hingga skandal rasuah, kejayaan dan kegagalan sukan, filem-filem pecah panggung dan kehidupan selebriti.

“Membuat kempen iklan yang mampu menjadi buah mulut masyarakat adalah sesuatu yang luar biasa. Ia menyentuh perasaan, adakalanya membuatkan saya tersenyum atau tidak menyukai sesuatu perkara,” kata pakar pemasaran, Deepali Naair.

Iklan-iklan tersebut merupakan hasil kerjasama tiga individu yang bekerja di agensi iklan daCunha Communications. Selain daCunha, mereka ialah kartunis, Jayant Rane dan penulis iklan, Manish Jhaveri.

Lebih 4,000 iklan telah dihasilkan oleh agensi tersebut sejak ditubuhkan bapa daCunha, Sylvester daCunha. Ia bermula sejak 1966 sebelum diambil alih oleh Rahul pada awal 1990-an.

Ketika itu secara purata satu iklan dihasilkan dalam sebulan, namun pada zaman Twitter ini, mereka menghasilkan empat atau lima iklan seminggu.

Lurus bendul

Kebanyakan iklan itu terdapat watak gadis Amul yang sangat terkenal di India. Wataknya yang lurus bendul, bermata bulat, berpakaian baju putih bertompok merah dan bertubuh gemuk mampu melembutkan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

“Apabila berkata tentang sesuatu perkara, dia sering tersenyum, tiada perasaan hasad dengki dan sentiasa berhati murni,” kata daCunha, 55. Kebanyakan syarikat menghasilkan maskot seperti gadis Amul kerana masyarakat lebih mudah mengenali produk keluaran mereka.

Gadis Amul turut digunakan di bungkusan produk yang mempunyai jualan tertinggi seperti keju dan susu. Ia merupakan maskot yang paling dikenali di India.

Menyingkap kembali iklan pertama yang menggunakan maskot gadis Amul adalah pada Mac 1966. Ia memaparkan gadis Amul menunggang kuda sambil memegang sebuku roti. Ketika itu lumba kuda begitu popular di Bombay dan Mumbai.

Iklan itu berbunyi, “THOROUGHBREAD” seiring slogan “Utterly Butterly Amul”.

“Pada tahun pertama, kempen berkaitan makanan lebih banyak, mujur ayah saya menyedarinya dan mengubahnya kepada pelbagai topik. Dia juga tidak perlu meluluskan sesebuah iklan itu sebelum ditayangkan, sekali gus memberi kebebasan berkarya dalam dunia periklanan.

Selepas itu, daCunha Communications mula menghasilkan iklan berbentuk berita termasuk acara sukan, filem Hollywood dan Bollywood serta kisah-kisah kontroversi.

Pada tahun 1976, antara peristiwa besar ialah kerajaan melaksanakan prosedur pensterilan ketika kecemasan di hospital. Pada Mac lalu, gadis Amul berselfie dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan isteri ketika kunjungan rasmi ke India.

Kempen tersebut berbunyi, “Growing Frenchship! Amul - France loafs it! Kempen tersebut mendapat sambutan baik daripada orang ramai. – AFP