Warna merah yang melambangkan ong atau tuah melatari pemandangan di sana sini dengan elemen-elemen seperti naga, limau mandarin, tanglung dan kaligrafi Cina.

Lensa AFP, AP dan Reuters merakamkan kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini yang merupakan Tahun Anjing mengikut zodiak kalendar Cina.

Di Hong Kong, bukan sahaja pusat beli-belah dan bangunan-bangunan pejabat dihiasi dengan dekorasi perayaan itu, bahkan sekolah-sekolah juga.

Di Lisbon, Portugal, pesta Tahun Baru Cina disambut besar-besaran termasuk mengadakan perarakan, persembahan kungfu, aneka tarian kebudayaan Cina seperti naga dan kipas.

Di Jakarta, Indonesia, kedai-kedai menjual barangan dekorasi bergemerlapan dengan cahaya tanglung manakala di Manila, Filipina, maskot berpakaian anjing yang berjalan di sekitar Chinatown menarik perhatian ramai.

Semoga Tahun Baru Cina ini membawa tuah dan kemakmuran kepada dunia sejagat.