Seramai 12 orang cef daripada pasukan kulinari PICC mempersembahkan lebih 300 jenis sajian di 30 gerai makanan.

Antara hidangan yang menanti ialah kambing panggang golek PICC, kuetiau tomyam, laksa Thai, pulut mangga, som sam, laksa Kedah ikan sekoq, ayam percik golek, aneka sup, kuih keria PICC, nasi Arab khabsa dan mendy.

Semua hidangan itu disajikan kepada para pelanggan sepanjang bulan Ramadan dari 18 Mei hingga 13 Jun 2018.

Di bawah kendalian Cef Eksekutif Abdul Rahim Abu Bakar yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri itu, pasukan kulinari tersebut menyediakan pelbagai juadah tempatan mahupun antarabangsa.

Menariknya, sebahagian daripada sajian itu juga disediakan secara langsung dengan berkonsepkan gerai di bazar Ramadan.

Katanya, Restoran Pot&Pan menyajikan hidangan daripada pelbagai negara Asia, Eropah dan Malaysia.

“Pada tahun ini juga, pihak kami memberikan penekanan untuk mengekalkan keaslian makanan pelbagai etnik dalam hidangan bufet yang disediakan.

“Bagi yang inginkan kelainan, kami juga menyediakan hidangan makanan Barat seperti pasta dan gril yang dimasak secara langsung mengikut cita rasa pelanggan.

“Pencuci mulut seperti air batu campur (ABC) disaluti aiskrim, cendol, kek, buah-buahan dan teh tarik juga disajikan pada tahun ini,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di PICC, Putrajaya baru-baru ini.

Bagi mengutamakan keselesaan pelanggan, ruang solat dan imam untuk solat Maghrib, Isyak dan tarawih juga disediakan.

Selain itu, alunan bacaan al-Quran oleh Ustaz Syed Omar serta penampilan khas kumpulan busker, KamiJadi Band memeriahkan suasana berbuka puasa.

Cabutan bertuah untuk pelanggan dengan hadiah terkumpul bernilai RM10,000 turut diadakan.