MUHAMMAD RIDUAN
MUHAMMAD RIDUAN

Sukar untuk tidur lena apabila memikirkan ujian berat yang dihadapi Muhammad Riduan Abdullah.

Keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu yang membatalkan haknya untuk mengislamkan tiga orang anak tanpa persetujuan ibu mereka sungguh mendukacitakan.

Pasti menambah parah luka di hati kerana mahkamah juga memutuskan supaya kesemua anak Muhammad Riduan dikembalikan ke penjagaan ibu mereka yang beragama Hindu.

Sebagai seorang insan bertuah yang Allah kurniakan iman untuk memeluk agama Islam setelah dilahirkan sebagai seorang Hindu, tentulah keputusan mahkamah itu sangat mencelarukan fikiran dan perasaannya.

Bersabarlah kerana sabda Rasulullah SAW, kesabaran itu adalah separuh daripada iman.

Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa Muhammad Riduan telah berusaha sedaya mungkin untuk membawa anak-anak bersama ke jalan yang benar.

Pasti beliau telah bertindak di atas keinsafan bahawa Rasulullah juga pernah bersabda bahawa:

“Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih, ibu bapa yang bertanggungjawab mewarnai dan mencorakkan sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi.” - HR Bukhari dan Muslim

Namun, sekuat mana usaha kita, akhirnya pada Allah jua terletak segala ketentuan. Jangan putus asa, teruskan berserah diri kepada-Nya dengan berdoa.

Semoga ada kebaikan di sebalik kesusahan. Dalami isi kandungan Quran dan hayatilah betapa banyak pengajaran untuk orang-orang beriman.

Betapa Nabi Nuh sendiri gagal untuk menyelamatkan anaknya daripada ditenggelami banjir besar kerana dia enggan mempercayai wahyu yang disampaikan oleh bapanya.

Begitu juga Nabi Luth yang tidak dapat menyelamatkan isterinya daripada ditimpa bencana yang Allah turunkan ke atas kaum yang mengamalkan homoseks.

Penghulu imam, Nabi Ibrahim juga memohon kepada Allah supaya dikurniakan zuriat keturunan yang beriman dan soleh.

Walaupun ramai nabi dalam keturunannya, termasuk Ismail dan Ishak, ada juga yang menyimpang daripada jalan yang benar sebagaimana firman Allah:

“Dan Kami limpahi berkat kepadanya (Nabi Ibrahim) dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap diri mereka sendiri.” (As-Saffat:113)

Ketentuan Allah

Nabi Muhammad sendiri juga gagal mengislamkan Abu Talib, bapa saudara yang membesarkannya walaupun baginda sedaya upaya mendakwahnya.

Begitulah segalanya tertakluk kepada ketentuan Allah sekalipun terhadap hajat para nabi yang merupakan golongan yang paling dikasihi-Nya.

Majoriti umat Islam berasa gundah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu tetapi apa yang diputuskan adalah berdasarkan realiti pentadbiran sebuah negara majmuk yang berpaksikan perlembagaan.

Perlembagaan ini meletakkan kedudukan mahkamah sivil lebih tinggi daripada mahkamah syariah dalam urusan melibatkan semua kaum dan agama.

Mahkamah syariah hanya mutlak dalam hal ehwal yang meliputi agama Islam dan pengikutnya.

Sebarang peruntukan dalam perlembagaan negara yang tidak disukai sekalipun oleh golongan majoriti hanya boleh dipinda dengan mendapat sokongan daripada dua pertiga ahli Parlimen.

Pengalaman menunjukkan apa jua usaha untuk memperkukuh perlaksanaan syariat Islam melalui pindaan undang-undang pasti menghadapi tentangan kuat bukan Islam.

Contohnya ialah betapa sukarnya usaha untuk menambah berat hukuman di bawah undang-undang syariah melalui pembentangan Rang Undang-Undang 355 di Dewan Rakyat.

Tidak hanya ahli-ahli Parlimen bukan Islam yang menentang tetapi sebilangan ahli politik beragama Islam juga tidak bersetuju.

Demokrasi berparlimen dalam negara majmuk seperti Malaysia menuntut kepentingan dan suara semua kaum dan agama diambil kira jika sesebuah parti atau gabungan mahu menang dalam pilihan raya.

Hanya di negara-negara majoriti Islam yang diperintah oleh raja, seperti Arab Saudi dan Brunei, undang-undang Islam boleh dilaksanakan menyeluruh dengan mudah.

Di Indonesia yang juga mengamalkan demokrasi berparlimen, hanya di wilayah autonomi Acheh dapat dikuatkuasakan undang-undang Islam. Itu pun kerana hampir seluruh penduduknya beragama Islam.

Saudara Muhammad Riduan, inilah realiti politik yang umat Islam di Malaysia yang perlu terima sekalipun tersangat pahit rasanya.

Semoga saudara bersabar mengharungi realiti ini. Berdoalah dengan penuh istiqomah agar anak-anak saudara diberikan hidayat apabila dewasa kelak sebagaimana yang saudara sendiri lalui.

Jalin dan semarakkan hubungan baik dengan bekas isteri supaya mudah bagi anda untuk meneruskan hubungan dengan anak-anak.

Manalah tahu jika bekas isteri anda juga akan terus dikurniakan hidayat bersama anak-anak suatu hari kelak dan turut memeluk agama Islam tanpa paksaan.

Kes-kes seumpama ini telah berlaku ke atas keluarga yang pada mulanya hanya si suami memeluk Islam. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya ke atas saudara.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menyampaikan penghakiman yang bersejarah apabila memutuskan pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Panel lima hakim yang disidangi oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali mengetepikan keputusan berhubung penukaran agama tiga anak guru tadika, M. Indira Gandhi oleh bekas suaminya yang merupakan seorang mualaf.