Bergantung pada cahaya bulan, remaja itu berjaya mendekati kawasan tersebut dan terus mengeluarkan kamera dari beg yang digalas di bahunya.

Bagi mendapatkan gambar yang menarik, dia menunggu labah-labah pemburu itu menerkam mangsanya iaitu seekor katak pohon.

Sebaik aksi yang dihajatinya tercapai, dia lantas merakamkannya.

“Labah-labah pemburu kebiasaannya memburu pada waktu malam. Haiwan ini selalunya tidak memakan mangsa yang melekat di sarangnya. Ia akan mendekati haiwan buruan secara perlahan dengan menuruni benangnya.

“Saya telah menghabiskan masa kira-kira sebulan di paya terpencil di utara Queensland, Australia ini bagi mendapatkan gambar seekor labah-labah memburu katak. Malah, gambar tersebut adalah satu-satunya yang berjaya diambil,” katanya di laman sosial Instagram miliknya.

Keunikan gambar itu, bukan sahaja mempopularkan lagi nama Robert malah, telah melayakkannya menerima anugerah Jurugambar Terbaik Hidupan Liar 2018.

Setiap tahun, Muzium Sejarah Alam yang terkenal di London akan mengadakan pertandingan fotografi yang paling berprestij yang terbuka kepada setiap lapisan masyarakat di seluruh dunia.

Gambar hasil bidikan Robert yang diberi nama The Catch itu telah dipilih sebagai gambar yang paling banyak menerima pujian bagi kategori yang disertainya.

“Saya sangat bangga apabila gambar itu terpilih untuk menerima anugerah dan bakal dipamerkan di pameran fotografi antarabangsa.

“Saya berharap, ia memberi inspirasi kepada anak muda untuk menceburi bidang fotografi dan seterusnya menghargai alam semula jadi,” katanya.

Bukan setakat itu sahaja, Robert juga terpilih sebagai Pemenang Terhormat pada Nature’s Best Windland Smith Rice International Awards yang berlangsung pada November lalu.

Minat

Pasti ada yang tertanya-tanya siapakah gerangan yang bernama Robert itu? Bagi mereka yang meminati rancangan hidupan liar The Crocodile Hunter sudah pasti akan mengenali Steve Irwin.

Kehebatan Steve beraksi bersama haiwan membuatkan namanya dikenali di seluruh dunia malah, keluarganya merupakan pemilik Zoo Australia yang terletak di Queensland.

Walau bagaimanapun, pada 4 September 2006, dunia telah dikejutkan apabila Steve maut pada usia 44 tahun akibat terkena sengatan seekor ikan pari.

Menteri Queensland ketika itu, Premier Beattie telah menawarkan untuk mewujudkan satu makam buat mendiang sebagai tokoh negara.

Bagaimanapun, ia ditolak ahli keluarganya kerana mendiang lebih suka dikenali sebagai orang biasa.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Terri Irwin dan sepasang anak iaitu Bindi Irwin dan Robert.

Walaupun selepas kematiannya, keluarga itu tetap meneruskan legasi mendiang dalam mendekati haiwan liar dan antara yang paling menyerlah ialah Robert.

Sejak berusia dua tahun lagi, Robert telah menunjukkan minat terhadap hidupan liar selepas sering dibawa bersama oleh mendiang ayahnya semasa bermain dan melakukan persembahan.

Robert kini bukan sahaja bergelar ahli zoologi yang mahir dalam mendekati haiwan liar malah turut dikenali sebagai seorang jurugambar haiwan yang berjaya dan berdedikasi.

Bagi Robert, kemahirannya dalam mengambil gambar itu adalah bakat yang diwarisi daripada mendiang bapanya.

Jurugambar hebat

Jelasnya, dia tidak pernah mendapat pendidikan khusus dalam teknik mengambil gambar tetapi kemahirannya itu diperoleh melalui pengalaman dan tunjuk ajar keluarga.

“Ayah saya juga merupakan seorang jurugambar yang hebat. Ke mana sahaja dia pergi tanpa mengira jauh atau dekat, dia pasti akan membawa set kameranya untuk menangkap gambar haiwan liar yang dilihat dalam perjalanan,” katanya.

Robert mula dikenali umum melalui penampilan dalam rancangan televisyen, Free Willy: Escape from Pirate’s Cove bersama kakaknya pada 2009.

Pada 2012, Robert muncul lagi dalam rancangan bersiri bertajuk Steve Irwin’s Wildlife Warriors yang dikendalikan bersama oleh ibu serta kakaknya. Penglibatannya dalam rancangan itu telah membolehkan dirinya tercalon sebagai Bakat Baharu Paling Popular pada Anugerah Logie 2013.

Seterusnya, Robert mengeluarkan buku serta terlibat dalam beberapa lagi program televisyen dan kesemuanya adalah melibatkan haiwan liar.

Pada 16 Februari 2017, Robert membuat debut program televisyen lewat malamnya melalui rancangan Tonight Show Starring Jimmy Fallon. Dia telah tampil sebanyak lapan kali dalam rancangan tersebut dan yang terakhir ialah pada 22 November lalu.

Bukti

Dalam tempoh itu, boleh dikatakan puluhan haiwan telah dibawanya bersama untuk tontonan penonton.

Bahkan, Robert turut mempunyai saluran sendiri melalui Australia Zoo TV.

“Akhirnya saya dapat membuktikan bahawa saya mampu mengikut jejak langkah mendiang ayah dan memastikan hasil kerjanya sentiasa diingati orang ramai.

“Saya sangat bernasib baik kerana dibesarkan di Zoo Australia, Queensland dan mempunyai keluarga luar biasa yang tidak jemu mengajar saya,” katanya dalam satu temu bual bersama akhbar Daily Express.

Sementara itu, Terri mendedahkan bahawa dia tidak pernah berasa terlampau sedih kecuali ketika kehilangan teman hidupnya itu.

Setiap kali teringatkan mendiang suaminya, wanita itu pasti akan mengalirkan air mata memandangkan terlampau banyak perkara yang telah dilalui serta dikongsi bersama.

Dia juga sering diajukan dengan soalan yang sama iaitu adakah keluarganya akan meneruskan legasi mendiang dalam penglibatan bersama hidupan liar?

Wanita itu menjelaskan bahawa mereka tidak pernah berhenti melakukannya.

“Hidupan liar telah menjadi sebahagian daripada hidup kami sekeluarga buat bertahun-tahun lamanya malah, anak-anak turut menunjukkan minat yang sama seperti mendiang ayah mereka.

“Saya tidak akan berhenti dan menghalang minat anak-anak kerana mereka sangat mengagumi keberanian ayah mereka,” katanya.