Bermula dengan menulis buku berkonsep travelog yang menceritakan pengalamannya di luar negara, figura yang berasal dari Mentakab, Pahang itu mula mengorak langkah dalam industri media sosial pada awal tahun 2016.

Buku bertajuk Terkenal Di Langit yang ditulisnya pada tahun 2015 merupakan titik tolak sehingga digelar Bapa Viral Kebangsaan.

Gelaran tersebut diberikan oleh penerbit bukunya, DuBook Press sebagai promosi atau memudahkan namanya diingati oleh warganet.

Selepas menghasilkan buku tersebut, dia menyertai seminar mengenai dunia digital di Singapura dan Britain sebelum mencuba ilmu baharu itu di negara ini.

“Dari situ saya mula mengorak langkah untuk menghasilkan kandungan-kandungan seperti status yang menarik di laman media sosial saya. Peringkat awal, tidak semua perkongsian saya mendapat perhatian ramai.

“Namun, cubaan demi cubaan saya lakukan dan akhirnya, perkongsian saya mula mendapat perhatian warganet. Ia dikongsikan sehingga beribu-ribu dan saya mula dikenali ramai,” katanya ketika ditemu bual K2 di ibu pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pemutusan, Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia atau lebih dikenali sebagai MSU itu mempunyai minat yang mendalam dalam dunia penulisan dan turut mengambil kelas penulisan kreatif.

Siapa sangka, dia mempunyai potensi besar untuk menjadi seorang penulis buku yang mempunyai ramai pengikut di Facebook.

Khairul Hakimin yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan itu tetap merendah diri dan merasakan dirinya bukanlah seorang selebriti walaupun semua status yang dikongsikan beliau mendapat perkongsian yang tinggi.

Katanya, kebanyakan perkongsian status yang dikongsikan dilakukan secara santai namun masih mengikut etika.

Status tertinggi

Antara status yang mendapat perhatian sehingga kini ialah resipinya membuat kek Brownies Walnut di laman sosial Facebook yang mendapat 84,000 perkongsian.

Resipi tersebut ilhamnya sendiri selepas belajar membuat kek brownie semasa melawat beberapa buah negara.

Jelas Khairul Hakimin, dia tidak hanya berkongsi mengenai masakan, malah turut membuat perkongsian mengenai kebaikan selain menyebarkan ayat-ayat positif dengan memuat naik status di Facebooknya, Khairul Hakimi Muhammad setiap hari.

Dengan ilmu yang dipelajarinya itu, segala perkongsian statusnya di laman Facebook mendapat tempat di hati warganet dan banyak dikongsikan kepada pelayar laman sosial yang lain.

Tambahnya, resipi masakan dan ayat-ayat positif kerap mendapat perhatian ramai kerana ia mempunyai impaknya yang tersendiri selain dekat dengan jiwa pengguna media sosial.

Permulaan karier

“Apabila sudah dikenali dan mendapat perhatian ramai, saya merasakan sudah tiba masa untuk berkongsi pengalaman dan mengajar mereka yang berminat.

“Pada Oktober 2016, saya membuat kelas pertama, namun tidak mendapat sambutan. Seingat saya, hanya tiga orang yang hadir ke kelas tersebut namun ia tidak mematahkan semangat saya,” ujarnya yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

Kongsinya, selepas beberapa bulan, kelasnya mula mendapat perhatian kerana peserta-peserta sebelum ini berjaya dalam video masing-masing.

Lebih menyeronokkan, Khairul Hakimin mula didekati oleh ahli-ahli perniagaan yang ingin mengembangkan perniagaan masing-masing.

Sehingga kini, puluhan syarikat kecil dan besar seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), syarikat penapisan air Coway dan syarikat khidmat pengurusan, Ingress Corporation Berhad telah mendapatkan khidmatnya.

Kadar bayaran untuk kelas tersebut yang dipanggil Master Class ialah RM359 seorang. Kelas diadakan selama dua hari satu malam di pejabatnya di Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor atau di hotel-hotel.

Setakat ini, kelasnya yang paling ramai disertai oleh 600 orang.

Dalam pada itu, walaupun kehidupannya semakin sibuk, Khairul Hakimin tetap meluangkan masa untuk menulis buku. Buku yang dihasilkannya kini mencecah 13 buah dan antara yang mendapat perhatian ramai ialah Rahsia Bapa Viral Kebangsaan, Emak Rindu Mathanga Erissery, Terkenal Di Langit, Rahsia Penulisan Berpengaruh dan Brownies Paling Agung.

Berkongsi mengenai corak perkembangan media sosial di Malaysia, Khairul Hakimin menjelaskan bahawa tahap penggunaan media sosial dalam negara sebenarnya tergolong dalam 10 terbaik dunia.

Namun begitu, pengguna media sosial dalam negara tidak berada di tahap matang kerana masih banyak warganet yang menyalahgunakan platform tersebut.

Berhemah

Jelas Khairul Hakimin, warganet di Malaysia kerap kali dilihat hanya membuat ‘bising’ tanpa solusi. Rata-rata mereka itu hanya meninggalkan komen jelek pada sesetengah perkongsian malah banyak yang meninggalkan komen berbaur lucah.

Kongsi beliau, warganet perlu menggunakan media sosial dengan berhemah selain untuk menyebarkan kebaikan dan bukannya menulis perkara-perkara negatif.

“Setiap perkongsian yang baik perlu mengambil kira beberapa perkara terlebih dulu sebelum ia dikongsikan di laman media sosial masing-masing.

“Perkongsian tersebut perlu mempunyai fakta yang jelas, ditulis dengan emosi, menulis dengan ejaan yang betul selain memastikan ia memberi impak terhadap masyarakat.

“Warganet juga perlu bersikap rasional terhadap semua perkara dan sudut pandangan, tidak digalakkan untuk meninggalkan komen tanpa memikirkan akibatnya suatu hari nanti,” jelasnya lagi.

Katanya, dengan memasukkan unsur-unsur positif pada setiap perkongsian, nescaya kita akan mendapat lebih banyak perhatian dari orang ramai dan jika kena dengan cara yang betul, kita boleh menjalankan perniagaan dengan baik menggunakan medium tersebut.

Dalam pada itu, dirinya tidak menolak bahawa memuat naik komen pada sesuatu perkongsian adalah satu ‘kesalahan’ atau perlu dielakkan oleh orang ramai. Katanya, memberi komen yang berbaur positif juga mampu menarik perhatian orang ramai jika tidak melanggar undang-undang atau etika.

“Menulis komen pada sesuatu perkongsian sebenarnya adalah sesuatu perkara yang bagus. Malahan, kita secara tidak langsung dapat melihat pendapat-pendapat orang lain mengenai sesuatu perkara justeru ia dapat membantu kita melihat dari sudut pandang yang lain tentang sesuatu isu,” jelasnya.

Menutup bicara, Khairul Hakimin berharap agar pengguna media sosial dapat merancakkan lagi perkembangan media sosial masing-masing dengan memuat naik perkongsian yang lebih membina dan lebih matang dalam mengupas isu-isu yang tukar di laman sosial.

Wan Khairul Hakimin mampu menghasilkan teknik penulisan kreatif di Facebook hingga menjana pendapatan untuk dirinya serta warganet.