Hatinya hancur setiap kali mengenangkan suami yang dinikahinya sejak 25 tahun lalu sanggup berlaku curang dan menduakan dirinya dalam diam-diam.

Lebih menyedihkan wanita kelahiran Perak ini adalah apabila mengenangkan perkahwinan yang disangkakan kekal hingga ke akhir hayat musnah di pertengahan jalan.

Biarpun kecewa, wanita ini mengakui dia amat bersyukur sekali.

Sekurang-kurangnya dia tidak lagi ditipu oleh lelaki tersebut yang dianggap jujur dalam perhubungan mereka selama ini.

Disebabkan itu juga, Mona rela berpisah dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama anak dan cucu.

Baginya, cukuplah dia ditipu oleh suaminya sebanyak dua kali dalam hidup.

Menurut Mona, dia mengetahui kecurangan suaminya, Rahman, 48, menerusi sekeping gambar bersama wanita lain yang dimuat naik oleh seorang kenalan di laman sosial Facebook.

“Mana saya mahu letak muka di hadapan anak dan cucu apabila suami tidak setia dalam diam-diam.

“Pada mulanya, saya cuba untuk menidakkan gambar yang dilihat itu.

“Namun apabila membaca komen-komen yang tertera pada gambar tersebut, hati saya mula runtun dan sedih sekali.

“Dia bukan sekadar berlaku curang, malah telah selamat bernikah dengan wanita terbabit dan dikurniakan dua orang cahaya mata berusia enam serta tiga tahun,” jelasnya.

Periuk nasi

Cerita Mona lagi, dia menjadi bertambah bengang setiap kali teringatkan temberang suaminya yang selama ini berpura-pura sibuk dan terpaksa bekerja di luar kawasan atas urusan perniagaan.

“Baru saya sedar mengapa sejak lapan tahun lalu Rahman begitu sibuk. Jarang sekali dia berada di rumah meluangkan masa bersama kami anak-beranak.

“Apabila tibanya Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, dia sering memberi alasan terpaksa menguruskan jemaah yang menunaikan ibadah umrah dan haji. Disebabkan terfikir perniagaan agensi umrah dan haji merupakan sumber pendapatan kami sekeluarga, saya terpaksa akur dan bertolak ansur.

“Biarpun begitu, siapa sangka rupa-rupanya semua itu hanyalah alasan untuk Rahman menghabiskan masa bersama isteri baharu,” cerita Mona lagi.

Menurut Mona, sepanjang 25 tahun menjadi isteri Rahman, hubungan mereka berdua baik-baik sahaja. Biarpun Rahman berusia lebih muda daripadanya, namun dia tetap menyayangi dan melayani Mona dengan penuh kasih sayang.

“Perkahwinan kami diserikan dengan kehadiran lima cahaya mata dan empat orang cucu. Sangka saya, kehidupan kami sekeluarga sudah cukup sempurna.

“Sebaik saya mengetahui kecurangan yang dilakukan Rahman, saya terus mengirimkan bukti-bukti tersebut menerusi pesanan WhatsApp.

“Pada malam itu, Rahman pulang dalam keadaan tenang. Wajahnya tidak menunjukkan rasa bersalah,” jelasnya.

Menurut wanita yang merupakan bekas guru itu, pada malam itu juga, dia dikejutkan dengan pengakuan Rahman yang mendakwa menghidap kanser prostat tahap empat.

Perasaan marah yang meluap-luap dalam diri Mona serta-merta terpadam dek kerana terlalu kasihan dengan suaminya itu.

Terlanjur

“Dia mengakui kesilapan yang telah dilakukan dan meminta maaf. Katanya, dia mengahwini wanita tersebut kerana sudah terlanjur dan tidak mahu menanggung dosa.

“Lemah dengan pengakuan yang diberikan Rahman, saya memaafkannya dan berjanji akan melupakan kisah tersebut. Biarpun begitu, saya memintanya agar tidak menemukan wanita itu dengan saya dan berlaku adil,” jelasnya.

Dua tahun selepas peristiwa tersebut, Mona mula mencurigai suaminya.

Mana tidaknya, Rahman langsung tidak kelihatan seperti orang sakit. Bukan sekadar aktif bergerak, Rahman juga bakal menimang cahaya mata ketiga bersama isteri mudanya itu.

Atas desakan anak-anak yang meragui tahap kesihatan bapanya, Mona mula memeriksa rekod rawatan suaminya di hospital yang merawat Rahman dengan bantuan seorang rakan.

“Hampir luruh jantung saya apabila mengetahui Rahman hanyalah berpura-pura menghidap kanser. Sebaliknya, dia hanya dijangkiti kulat pada alat kelamin. Itu pun tidaklah serius mana dan sudah sembuh sepenuhnya.

“Sekali lagi saya terasa seperti ditipu hidup-hidup. Mungkin kerana tidak mahu saya menuntut cerai beberapa tahun lalu menyebabkan dia sanggup menipu dan mengaku menghidap kanser,” jelasnya.

Menurut Mona lagi, disebabkan tidak mahu terus-menerus ditipu oleh suaminya, dia memfailkan tuntutan cerai.

“Biarpun telah setahun hidup menjanda, namun saya tetap berasa tenang dan gembira dengan kehadiran anak serta cucu. Saya reda atas ketentuan daripada Yang Maha Kuasa,” jelasnya.

Nenek kepada empat orang cucu nekad memfailkan penceraian selepas dicurangi dan ditipu suami yang berpura-pura menghidap kanser prostat tahap empat.