Ia sebaliknya dianggap tidak sinonim dengan wanita kerana memerlukan kelasakan dan ketangkasan.

Jika diimbas kembali detik awal pembabitan wanita dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekitar tahun 1980, ternyata skeptikal wanita itu lemah sangat kuat.

Jika pun bergelar seorang anggota tentera, wanita dikatakan tidak akan mempunyai masa depan cerah dalam kerjaya yang didominasi lelaki itu.

Peranan tradisi wanita dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM sama ada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia pada ketika itu hanya tertumpu kepada bidang pentadbiran dan rawatan kesihatan.

Seiring dengan pembangunan sistem dan organisasi badan keselamatan, peranan wanita menjadi sama penting dengan lelaki baik di ATM mahupun agensi keselamatan yang lain.

Kini, ramai wanita diangkat menduduki jawatan kanan dalam pasukan beruniform.

Antaranya, Leftenan Kolonel Norhana Abd. Manaf selaku juruterbang helikopter wanita pertama, Leftenan Maritim Aida Arzahari (wanita pertama negara dilantik sebagai Pegawai Memerintah Kapal) dan Kapten Rohana Jupri (wanita pertama dilantik sebagai kapten dalam TLDM).

Pegawai Staf 1, Teknikal dan Piawaian Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel Zainon Mohamed percaya, sifat keterbukaan yang diamalkan oleh pengurusan agensi keselamatan adalah faktor kepada kejayaan yang ditempa wanita hari ini.

“Perbezaan dahulu dan sekarang ialah peluang yang lebih sama rata. Wanita dahulu tidak diberi peluang untuk menyerlah, tidak diberi tanggungjawab besar kerana menurut orang atasan, masih ada lelaki untuk melakukan kerja tersebut.

“Namun, peredaran zaman membuatkan perubahan-demi perubahan berlaku. Arus permodenan bukan hanya mengubah struktur negara malah, mengikis pandangan sinis mengenai kebolehan wanita untuk bekerja setanding lelaki malah untuk memimpin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jurang

Katanya yang sudah 36 tahun berkhidmat dengan ATM, perubahan ketara yang boleh dilihat adalah apabila pihak pengurusan tertinggi mula merapatkan jurang antara wanita dan lelaki dalam perkhidmatan tentera.

“Anggota wanita kini boleh melakukan latihan ketenteraan, mengelola peralatan ketenteraan, malah diberi peluang menduduki ujian kenaikan pangkat sama rata seperti lelaki.

“Kejayaan yang dilakar dalam bidang ini adalah bukti kebolehan dan kemahiran wanita adalah setanding dengan lelaki. Ia bukannya sekadar mencukupkan kuota seperti dakwaan sesetengah pihak,” tegasnya.

Sementara itu, pakar sosiologi, Prof. Madya Dr. Rumaya Juhari berkata, tiada had yang perlu diletakkan terhadap wanita dalam memilih dan berjaya dalam apa jua bidang.

“Sempadan mengenai kerjaya wanita dan lelaki dibuat oleh manusia sendiri mengikut budaya dan amalan sesuatu masyarakat. Atas sebab itu, wujud pandangan sesuatu kerjaya itu tidak sesuai bagi wanita.

“Sedangkan, wanita dan lelaki sebenarnya mempunyai keupayaan yang sama untuk melakukan tugasan yang diberikan kepada mereka. Perkara yang membezakan kejayaan dan kegagalan seseorang adalah kemahiran dan pengetahuan, bukannya bergantung kepada jantina seseorang,” ujarnya.

Tambah Rumaya, kejayaan wanita dalam bidang keselamatan yang dikatakan milik lelaki adalah kerana wujudnya sumber untuk wanita beraksi dalam kerjaya itu.

“Sumber yang dimaksudkan di sini adalah peluang dan sokongan untuk wanita menceburi sesuatu bidang atau peringkat perkhidmatan tersebut.

“Atas sebab itu, penting untuk masyarakat lebih berfikiran terbuka mengenai peranan wanita sama seperti penghormatan yang diberikan kepada lelaki.

“Aneh tak semestinya salah. Asalkan kerjaya tersebut tidak menyalahi undang-undang dan boleh menyumbang kepada masyarakat, tiada salahnya perspektif kemampuan mengikut jantina itu dibuang jauh,” katanya.